Razzi Armansur

Masih ramai yang hanya pandai sebut IKS

Tak lama dulu, kira-kira 5 tahun lepas perkataan IKS amat popular di kalangan usahawan. “Ini IKS ke?” Tanya mereka. Tetapi, sebagaimana biasa, istilah sebenar disalah tafsir, makna IKS tidak tepat. Asal saja perusahaan kecil-kecilan di sebut sebagai IKS. “Kerajaan menggalakkan IKS… bla bla…”

Baru-baru ini seorang timbalan pengarah bahagian jualan langsung (hanya timbalan) KPDNDEP (panjangnya…) berucap dalam seminar jualan langsung supaya syarikat jualan langsung berasaskan MLM memasarkan produk IKS. Bila ditanya kembali, pasti persepsi IKS yang beliau maksudkan adalah ditujukan kepada perusahan kecil-kecilan, belakang rumah. Itu bukan IKS, itu ialah Industri Desa atau Industri Pondok. Lihatlah, jangankan orang kampung, orang KL dan orang PJ pun salah tafsir tentang IKS! Jadi, di mana istilah, “Nanti orang kampung tak tahu…”

Baru-baru ini seruan juga dibuat supaya Supermarket dan Hypermarket mengambil produk IKS Bumiputera. Maka ayam pun berak, dan tahinya hangat sekejap. Menteri dapat publisiti, Hypermarket hanya sekadar melepaskan batuk di tangga. Saya lihat ada satu ruang kecil, di sudut terpencil di Tesco untuk mempamerkan produk Bumiputera. Setingkat saja, sekadar “jangan tidak.” dan yang pasti, ia bukan produk keluaran IKS Bumiptera jika mengetahui definasi IKS. Khabarnya KPDNDEP terpaksa MERAYU kepada syarikat gergasi supaya memasukkan produk orang Melayu ke dalam rak mereka. Lihatlah betapa lemahnya Kementerian ini. Bahkan terfikir sejenak, perlukah Kementerian ini diwujudkan? Apa yang dibuat selama ini? Serbuan dibuat hanya jika ada kamera TV dan wartawan.

Jusco bertahun-tahun mengadakan Sale Tipu tak pernah pun kena serbu. Kenapa? Harga asal RM5, semasa Sale Tipu dapat dilihat pelekat tanda harga baru, RM10, kemudian diberi diskaun 50%, kembali kepada harga asal RM5. Helah atau Tipu! Negara kita sendiri, mereka datang berniaga, membuka hypermarket, kita terpaksa merayu supaya memasukkan produk orang Melayu. Lebih kurang datang tetamu ke rumah kita, kemudian kita merayu supaya tetamu mengambil makanan kita. Terbalik? Itulah hakikat sebenarnya. Mengapa tidak dibuat undang-undang. Kementerian berkuasa, Kementerian mempunyai kuasa, tetapi mengapa terbalik terpaksa merayu? Bukankah mudah kalau dibuat syarat ? 20% produk yang dijual mestilah produk keluaran Bumiputera. Mudah? Mudah yang dipersusahkan. Nanti akan terdengar Menteri kaki publisiti berkata, “Kerajaan tidak bercadang…bla bla… bla… IKS ini…bla bla…”

Memang malang sekali produk keluaran Bumiputera, kalau pun diterima masuk ke dalam hypermarket, ia akan diletakkan di tempat yang terceruk, kurang dilalui manusia dan yang paling pasti tidak bertentangan dengan mata. Sama ada di atas kepala kita atau di kaki kita. Perhatikan sendiri. Cuma nampaknya, produk Ramly Burger yang mendapat tempat di Supermarket dan Hypermarket. Namun kena ingat, sudah berapa puluh tahun perniagaan Ramly Burgers? Apa yang lucunya, kebanyakan pengusaha Melayu ini ego mereka boleh tahan. Bila orang pesan jangan tumpu kepada supermarket dan hypermarket mereka degil. Cakap berdegar-degar, “Tesco, Giant dah sign nak ambil produk saya.” “Ini kejap lagi orang dari Kuwait datang nak ambil produk.” Tong kosong memang kuat bunyinya.

Bila orang nak ajar cara-cara “guerilla marketing” mereka kata mereka dah pandai. Bila kita beri fakta peratusan tinggi pengguna Melayu dan hendak sampai kepada pengguna Melayu dengan taktik “guerilla” mereka kata tak perlu. Bila kita ajar tentang “branding” mereka belit pasal “rebranding” menunjuk pandai. Brandingnya belum wujud kenapa pula hendak rebranding? Bila ada rombongan ke Jeddah baru-baru ini, hebohlah gegak gempita mengenai produk halal (?) kita boleh menembusi pasaran Timur Tengah. Bagi saya itu kerja sia-sia dan membazirkan wang. Sedangkan dalam negara pun tidak terpenuh, masih terlalu banyak ruang pasaran, mengapa perlu ke Jeddah? Tidakkah mereka tahu kebanyakan usahawan (?) dari Timur Tengah adalah penipu, kaki belit, sama lebih kurang dengan usahawan dari Negara China. Tafsiran halal orang Timur Tengah pun agak pelik. Bahkan tafsiran Islam mereka pun begitu pelik.

Apa sebenarnya Derfinasi IKS? Ini definasinya, supaya anda tidak tersalah tafsir:

1. INDUSTRI KECIL:Jualan setahun antara RM250,000 dan tidak melebihi RM10 juta. Atau menggaji pekerja sepenuh masa antara 5 hingga 50 pekerja.

2. INDUSTRI SEDERHANA: Jualan setahun antara RM10 juta dan tidak melebihi RM25 juta. Atau menggaji pekerja sepenuh masa 51 hingga 150

3. INDUSTRI MIKRO, PONDOK, DESA: Jualan setahun kurang dari RM250,000. Atau pekerja sepenuh masa kurang dari 5 orang.

Jadi, seandainya usahawan itu goreng kerepek di belakang rumah, bolehkah ia dipanggil IKS?

Razzi Armansur

Razzi Armansur

Once a writer always a writer.