Yang tak berkaki besi banyak sangat alasannya, menyebabkan, jangankan gunung, bukit pun tak mampu didaki. Jangankan bukit, busut pun tak pernah didaki. Sia-sia saja membaca “buku motivasi angin” atau “seminar penglipur lara.”
(photo)
Keterangan Gambar: Mark Inglis, 47 tahun dari New Zealand, berkaki besi, berjaya menawan puncak Everest. Tanpa perlu dianugerahkan “Datuk”. Gambar dan Berita ehsan dari: MSNBC.
Tanpa perlu minum susu awal lembu (walhal di New Zealand lebih banyak lembu dan biri-biri berbanding manusia), tongkat ali, kacip fatimah, tanpa perlu membaca buku motivasi angin yang main agak-agak, tanpa perlu menghadiri seminar penglipurlara yang dibelit katanya seminar motivasi (yang bercakap ikut sedap mulut, tapi isinya angin), tanpa perlu meletakkan Dr. di depan namanya, tanpa sebarang publisiti murahan, Mark yang berkaki besi telah berjaya menawan puncak Everest. Apa rahsianya?
Dengan berkaki besi, Mark berjaya berada di puncak Everest yang setinggi 29,035 kaki. Bayangkan kesusahan yang dialami oleh Mark. Kalau berkaki ori mungkin kita buat tak endah sebab sudah ramai yang berjaya ke puncak Everest termasuk dari Malaysia yang gegak gempitanya sampai ke pelusuk dunia. Berkaki besi, sampai ke puncak Everest. Yang tak berkaki besi puncak busut belakang rumah pun tak pernah sampai. Apa rahsianya?
Dari segi positioning pula Mark akan sentiasa diingati berbanding yang lain, selepas Sir Edmund Hillary. Dalam pemasaran, yang pertama akan sentiasa masuk ke dalam otak manusia. Itu sebahagian dari “branding”. Tapi untuk menjadi yang pertama (bagi melengkapkan branding) adalah hampir kepada mustahil. Jadi apa yang perlu dibuat? Jadilah pertama dalam kategori. Mark bukan orang pertama menawan puncak Everest, tetapi Mark menjadi orang pertama yang kedua-dua kakinya besi mendaki puncak Everest. Dia akan sentiasa diingati berbanding yang lain selepas Sir Edmund Hillary.
Edmund Hillary memperolehi Sir dari Queen England. Hanya Queen sahaja yang menganugerahkan “Sir” dengan “Knighting” yakni Queen meletakkan pedang di bahu penerima “Sir”. Tidak ada negara lain selain England dan tidak ada manusia lain selain Queen Elizabeth boleh menganugerahkan “Sir”. Dalam iklan Rolex, Sir Edmund menyebut, panggil saya, “Ed” ?maknanya tong berisi ? yang benar-benar “Sir” tersipu-sipu bila dipanggil “Sir”. Yang “Sir Tipu” mati-matian memberitahu umum supaya dirinya diiktiraf Sir. Satu cara unik memperbodohkan orang ramai. Jual mengkudu guna gelaran Sir. Buat mandi bunga dengan ais dapat “Prof. Dr. Sir” (Ya Rabbi…. tak tahu malu ke? Tentulah tak tahu malu, kalau tahu malu tentu dia takkan letak gelaran begitu). Dalam buku baru yang akan saya tulis mulai bulan Julai yang berjudul BOOM MLM ada saya selitkan pasal pembohongan dan kelentong “Sir”. Saya namakan “Sir Guni”. Orang Jawa namanya memang pelik — mungkin namanya “Sirguni”, dia dapat idea cemerlang lalu dia jarakkan antara Sir dengan guni, menjadi “Sir Guni.” Apa yang paling pelik sekali, mengapa hanya di dalam MLM dan jualan langsung dan kononnya rawatan alternatif saja ada Sir, Dr. Prof. Mahaguru? Mengapa dalam perniagaan lain misalnya, KFC, McD, Kurnia Insurans, IT, Komputer tak ada gelaran-gelaran tipu begitu?
Mark kehilangan kakinya ketika terperangkap dalam gua selama 2 minggu semasa mendaki Gunung Cook di New Zealand pada tahun 1982. Pada tahun ini, 2006, dengan berkaki besi, beliau berjaya mendaki puncak yang lebih tinggi, yang tertinggi di dunia. Jadi, Mark, bukan orang yang berputus asa. Mengapa bukan Islam yang lebih mengamalkan ajaran Islam? Meneruskan sehingga berjaya, tanpa putus asa adalah ajaran Islam tetapi kenapa yang paling ramai cepat sangat berputus asa adalah orang Islam? Di dalam Quran telah disebut bahawa AlQuran, kalam Allah, kalimah Allah, adalah panduan untuk manusia. Ia tidak menyebut panduan untuk manusia Islam sahaja. Sesiapa saja, tak kira kafir, kafir zindik, Islam, kalau mengamalkan ajaran Islam akan berjaya. Ajaran Islam menggalakkan penganutnya meneruskan kerana di sebalik kesusahan ada kesenangan. Di sebalik kepayahan tersembunyi kejayaan.
Jadi, Al-Quran bukan hanya dibaca atau dihafaz sahaja. Ia mesti diamalkan kandungannya. Apa rahsia Mark? Rahsianya cuma satu iaitu MOTIVASI. Itu saja. Malangnya di Malaysia ini perkataan MOTIVASI paling di salah ertikan. Bila penceramah membebel di atas pentas, di depan, atau melaung-laung itu katanya Motivasi. Bila penceramah mempersembahkan penglipurlara berserta hembusan angin, itu pun disebut motivasi.
MOTIVASI, saya telah terangkan dalam beberapa buku saya adalah berasal dari perkataan English — MOTIVATION. Ia adalah gabungan 2 perkataan penting ? MOTIVE dan ACTION. Whats your motive and whats the action to achieve the motive? Kalau dimelayukan menjadi MOTIF dan AKSI. Tak sesuai. Lebih sesuai ? MOTIF dan TINDAKAN. APA MOTIFNYA DAN TINDAKAN UNTUK MELAKSANAKAN MOTIF. Jadi, bila ada pakar letupan, pakar bum-bam-bum-bam, pakar penglipurlara, pakar angin, dinobatkan sebagai “Pakar Motivasi”, apa makna sebenarnya? Ada istilah Pakar Motivasi? “Pakar Motif Untuk Bertindak”? Apa benda tu? Apa khabar DPB (Dewan Perosak Bahasa)?
MOTIVASI Mark, pada pendapat saya mudah sahaja. Motifnya ialah Kepuasan. Motif = Kepuasan, Tindakan = Mendaki gunung tertinggi di dunia. Mudah saja istilahnya. Tak payah melaung-laung macam kilang papan. Tak payah tepuk-tepuk macam pertunjukan silap mata.
Mark juga pada pendapat saya, ingin membantu golongan kurang upaya seperti dirinya. Dia mahu golongan kurang upaya tahu bahawa kecacatan bukan penghalang sebaliknya pendorong kejayaan. Ini sudah tentu dijuruskan ke arah MOTIF yang sama iaitu Kepuasan. Kepuasan kerana dapat membantu golongan kurang upaya. Tapi bolehkah Mark ini dimasukkan dalam golongan kurang upaya sedangkan sebenarnya dia sangat berupaya?
Ada MOTIF yang menarik minat dan sangat diingini, memenuhi kehendak diri, pasti selepas itu ada TINDAKAN. Itulah MOTIF UNTUK BERTINDAK atau MOTIVASI.