Razzi Armansur

Mabuk Main Cantik

JOGA BONITO, tiba-tiba menjadi sebut-sebutan dan kegilaan kanak-kanak dan remaja kerana lahirnya seolah-olah tepat pada masanya. Kawasan padang makin berkurang, jadi main bola atas simen dalam bangunan. Joga Bonito (membawa makna “Play Beautiful” ? bahasa Pertugis) sejenis permainan futsal yang ada kaitan dengan 3. Huruf B pada logo Joga Bonito dibuat seperti nombor 3 membawa maksud, “3 lawan 3 dalam masa 3 minit.”

(photo)
Keterangan gambar: Anak-anakku yang mabuk Joga Bonito yang diadakan 3 hari 4 malam di One Utama. Atas: Edika (penyokong AcMilan) dan bawah: Ezika (penyokong MU)

Beratus-ratus pasukan termasuk pasukan “mee segera” (asalkan 3 orang itu mengikut umur. Ada bawah 12, bawah 15, bawah 18. Bawah 40 tak ada) menunggu giliran untuk bermain. Jika dalam masa 3 minit berjaya menjaringkan gol yang ‘sekangkang kera’, pasukan yang kalah keluar dan yang menang menunggu pasukan lain, begitulah sehingga kalah baru keluar. Jika seri dalam masa 3 minit, kedua-duanya keluar.

Kanak-kanak dan remaja sekarang memang kreatif dari segi memilih nama pasukan. Nama pasukannya boleh buat kita gelak sendiri — ‘Kaki Bangku FC’ ’10 Sen FC’ ‘Arsengal FC’ (tambah “g” dalam Arsenal) ‘Tikus FC’ ‘Dodol FC’. Pasukan anak saya, Edika: MRS FC (tak tahu apa maknanya) dan Ezika: Galactico (ciptaan dia sendiri).

Joga Bonito adalah lambang kebijaksanaan NIKE. Oleh kerana saya kurang minat bola sepak tetapi suasana di dalam rumah saya adalah suasana bola sepak (perbincangan, bertekak, game, majalah, tontonan dan sebagainya antara anak dengan emak) saya terpaksa membenarkan telinga saya mengikuti sebahagian kecil bola sepak yang menjadi ‘addin’ di negara Eropah. Pengaruh yang begitu kuat, adakah suatu hari nanti pun akan menjadi ‘addin’ rakyat Malaysia? Hampir begitu.

Jadi selama pesta Joga Bonito selama 4 hari di One Utama saya melihatnya dari sudut bisnes, bukan hanya dari sudut permainan Joga Bonito itu. Positioning, Branding, Management, Linking, Pembudayaan (seperti KFC dan McD membudayakan rakyat Malaysia makan ayam dan Burger) semuanya lengkap di dalam permainan Joga Bonito yang terpaksa saya menghadirkan diri kerana dipaksa oleh anak-anak.

(photo)
Keterangan gambar: Adakah NIKE sedang membudayakan kanak-kanak dan remaja Malaysia? Gegak gempita, riuh rendah yang menjadi.

Saya tak minat bola kerana bencinya dengan politiking yang ada di dalam bola sepak Malaysia. Apa saja perkara, kalau ada orang politik di dalamnya, pasti rosak. Dulu, zaman-zaman Mokhtar Dahari, ada juga saya menonton bola sepak kerana mereka bermain demi bola sepak. Kini mereka bermain demi apa? Tambah lagi adanya campur tangan politik dalam bola. Hadis yang sering dilupakan, “Meletakkan yang bukan bidang, tunggulah kehancurannya.”

Zaman Pesta Bola Merdeka, Korea adalah di bawah Malaysia. Kini dalam ranking Piala dunia, Korea adalah TOP 20 dan Malaysia tempat yang sangat corot. Sebabnya mudah: di Korea, bola sepak tidak dipolitikkan. Selagi bola sepak Malaysia dipolitikkan dan ada pengulas sukan seperti Prof. Khoo Kay selagi itulah bola sepak Malaysia menuju kehancuran. Nasib baik dia Profesor Emiritus, bolehlah guna letak Prof di depan nama walau sudah berhenti menjadi pensyarah.

(photo)
Keterangan Gambar: Positioning, Branding, Linking. Perhatikan logo Joga Bonito yang ringkas tetapi bermakna. Huruf B (mewakili Bonito) itu seperti 3 mewakili “3 Lawan 3 dalam masa 3 minit”. Perhatikan logonya yang berkonsepkan, dan ditujukan kepada kanak-kanak dan remaja. Gambar bawah, Ezika sedang positioning dirinya bergambar dengan pemain wakil sekolah.

Mari kita cari apa di sebalik Joga Bonito dari sudut bisnes yang boleh diaplikasikan di dalam bisnes dan usaha kita seharian: Menurut guru marketing, Al-Ries and Jack Trout, “Akhirnya hanya ada 2 yang berada di atas. Yang ketiga akan dilupakan, kecuali mencari kategori lain.” Contoh: Coca-Cola & Pepsi Cola. Yang ketiga RC Cola arah mana? Kalau RC Cola masih mencari arah, apa cerita Campa Cola, Aman Malaysia Cola (jenama paling pelik) dan Mecca Cola yang terkial-kial mencari pasaran menggunakan sentimen Agama Islam? Akhirnya hanya ada 2 bersaing di atas. Makanan segera, yang kita kenal hanya ada 2: KFC dengan McD. Walaupun branding berbeza (ayam dan burger) namun persaingan sihat mereka nampaknya menjadikan hanya 2 ini sahaja makanan segera yang dikenali. Yang ketiga? Keempat, kelima dan ke seratus? Akhirnya hanya ada 2 bersaing di atas: Ada kira-kira 700 syarikat MLM di Malaysia. Hanya ada 2 yang dikenali di atas, Amway dan Cosway. Yang 600 lebih lain? Mereka mesti mencipta kategori, bukan sibuk mencari Dr. Ayam dan Sir Guni. Inilah gunnya mempelajari Marketing bukan menengahkan Motivasi Angin.

Akhirnya hanya ada 2 bersaing di atas: Google dan Yahoo dalam search engine. Walaupun Yahoo! menggunakna khidmat Google tetapi mereka bersaing. Bagaimana dengan yang ketiga? MSN Search dan yang entah apa-apa lagi? Akhirnya hanya ada 2 bersaing di atas: Adidas dan Nike. Bagaimana yang ketiga seperti Reebok dan Puma? Reebok mencari kategori ? kasut sukan basketball. Puma pun mencari kategori dalam sukan track.

Bagi pendapat saya, atas dasar persaingan sihat (bilalah orang Melayu hendak bersaing dengan sihat?), diwujudkan Joga Bonito. Nike cuba mencari kategori dan branding.

(photo)
Keterangan gambar: Pasukan Brazilian School Of Football sedang beraksi diperhatikan oleh jurulatih mereka. Satu bisnes yang sangat menarik. Mereka melatih kanak-kanak dan remaja bermain bola stail pemain Brazil. Menurut salah seorang juru latih tersebut, “Inilah cara star of Brazil bermain, mereka bermain di tepi-tepi jalan masa kanak-kanak dan remaja. Ada kira-kira 400 sekolah bola Brazil di United Kingdom. Bola sepak di Malaysia akan cemerlang jika tidak ada politiking.

Kita alihkan kepada branding dan dikaitkan dengan Joga Bonito. Branding secara mudah: Bila sebut bola sepak, apa jenama yang terlintas di fikiran anda? Tentu Adidas. Bila sebut G.S. Gill yang di Jalan Tunku Abd RAhman, apa yang terlintas di fikiran anda? Pun Adidas ? menjadi pengedar peralatan sukan Adidas sejak tahun 70’an.

Mengapa terlintas Adidas sedangkan jenama yang bersaing di dalam bola sepak ada 2 iaitu Adidas dan Nike? Kerana Adidas yang pertama sekali positioning jenama dia di dalam sukan bola sepak. Jadi, apa peluang Nike untuk menjadi nombor 1, menyaingi Adidas? Mungkin boleh menyaingi Adidas tetapi agak memakan masa. Cara paling pantas untuk menjadi pertama dalam kategori.

Bagaimana menjadi pertama dalam kategori yang akhirnya nanti boleh menjadi yang pertama bukan dalam kategori? Suatu hari nanti, harapan Nike adalah menjadi yang pertama ? sebut saja bola, terpancar NIKE. Kegilaan seluruh dunia ini adalah Futsal memandangkan makin berkurang padang hijau berganti dengan bangunan. Nike bukan yang pertama memulakan Futsal tetapi masih belum ada yang ‘branding’ Futsal.

Bila sebut Futsal, jenama apakan yang terpancar di fikiran anda? Tidak ada apa-apa kerana Futsal itu sendiri pun baru lagi. Kesempatan ini diambil segera oleh NIKE positioning dirinya menjadi pertama dalam Futsal. Futsal baru dicipta, undang-undang baru dibuat untuk lebih mudah dan memudahkan. Kalau dulu Street Soccer, Futsal memerlukan 5 orang, peraturan baru dibuat ? hanya perlu 3 orang sahaja. Memudahkan. Dengan gegak gempita yang menjadi, promosi besaran, kini, dalam masa yang singkat Nike sudah mula dikaitkan dengan Futsal. Secara automatik walaupun kedua dalam permainan bola padang tetapi pertama dalam kategori. Namun NIKE ada strategi lain. Matlamatnya adalah menjadi No. 1 ? maknanya suatu hari nanti sebut saja bola sepak, akan digandingkan dengan NIKE. Bola adalah Nike dan Nike adalah Bola. Jadi, Joga Bonito ini adalah sebahagian dari strategi Nike untuk menjadi No 1.

Linking: Pemain-pemain handalan dunia menurunkan autograf untuk Joga Bonito. Entah berapa juta wang yang perlu dilaburkan untuk mendapatkan endorsement pemain handalan dunia. Apa faedah yang bakal diperolehi Nike? Nike dikaitkan dengan kemenangan, kehebatan, keunggulan, pemain-pemain dunia. Bila Joga Bonito mula menjadi kegilaan seluruh dunia, gambar-gambar, autograf mereka terpampang besar-besaran menjadi perhatian dan serta-merta dikaitkan dengan Nike. Bila Joga Bonito makin dikenali, makin disukai, makin digilai, tentulah makin kerap masuknya ‘linking’ ke dalam pemikiran manusia. Jadi, Joga Bonito selain strategi, ia juga adalah jambatan untuk menjadi No 1.

Linking kedua: Joga Bonito diperkenalkan ketika suasana World Cup. Perancangan mungkin sudah lama tetapi kemunculan lebih kurang 2 bulan sebelum World Cup. Tepat pada masanya ketika kegilaan, mabuk, demam World Cup bermula dan berlangsung, Joga Bonito ‘masuk’ dan terjadilah kaitan. Lebih-lebih lagi Brazil telah diramalkan bakal menjulang Piala Dunia 2006 ? Nike sudah bersiap sedia. Ada lambang Nike pada jersi Brazil.

Pembudayaan: KFC dan McDonald mengambil masa kira-kira 30 tahun untuk membudayakan rakyat Malaysia menjadikan ayam goreng sebagai makanan utama (bukan lauk) dan burger sebagai makanan harian (bukan makanan ringan). Joga Bonito sedang membudayakan kanak-kanak dan remaja Malaysia supaya di dalam kepala mereka hanya ada NIKE sahaja. Branding dan Linking yang memenuhi fikiran selama ini (Bola adalah Adidas, Adidas adalah bola) sedang dihapuskan.

Joga Bonito akan diteruskan seperti KFC dan McD, sehinggalah kanak-kanak yang mengenali Joga Bonito hari ini membesar menjadi remaja dan dewasa. Dalam masa 30 tahun lagi hasil membudayakan rakyat Malaysia ini pasti akan menemui kejayaan jika konsisten. Jika begini gegak-gempita dan kehebatan promosinya, rasanya hanya dalam masa 10 tahun lagi, pembudayaan NIKE akan menemui kejayaan.

(photo)
Keterangan gambar: Ezika (berbaju merah) sedang beraksi! Pesan berkali-kali pada anak-anak dan sahabat mereka, “Jangan gadaikan solat dengan sukan.”

Bagaimana sekarang? Apa yang boleh anda perolehi dari Strategi Nike tersebut untuk menjadi No 1? Apa yang boleh diaplikasikan ke dalam bisnes dan kehidupan seharian anda? Ilmu begini hanya boleh diperolehi dari pengamatan dan pemikiran. Juga dari buku-buku luar negara. Buku tersebut memang mahal, jadi cari sajalah artikel seumpamanya di internet.

Razzi Armansur

Razzi Armansur

Once a writer always a writer.