Saya menulis dengan ringkas saja sebab mengejar masa. Buku masih jauh dari siap. Tanggung jawab lain pun banyak menanti. Anak-anak sudah menelefon dari OU katanya sudah siap menonton “Snakes On The Plane” — balik nanti akan saya soal apa pengajaran dan mesej yang diperolehi dari cerita tersebut. Kena ingat, ini cerita Hollywood, mesti ada mesej dan pengajaran. Cerita ini bukannya cerita Yusuf Haslam, Mamak Mohideen.
Apa yang paling saya kagum ialah penulis novel cerita tersebut. Hampir kesemua filem Hollywood diadaptasikan dari novel. Kenapa saya tak terfikir cerita sebegitu — mengapa, bagaimana ular-ular bisa boleh berada di dalam kapal terbang dan apa kesusahannya. apa kata saya buat cerita lembu dan kambing mengganas dalam LRT — dari Kelana Jaya sampai ke Gombak…
Apa yang hendak saya sampaikan sekarang ialah mengenai isu Halal yang semakin diabaikan. Jangan sambil lewa — hati boleh gelap, kehidupan boleh hancur jika mengabaikan halal dan haram. Satu trend baru (lama sebenarnya) ialah bila anda bertanya tentang halal atau haram di kedai terutamanya kedai makan sama ada kedai Cina atau Mamak, inilah jawapan lazim:
- Orang Melayu pun ramai makan sini
- Orang Melayu pun ramai beli sini
- Sini yang kerja semua Melayu (sebenarnya Minah Indon atau Mat Bangla).
Soalannya: adakah kerana orang Melayu ramai yang makan dan membeli di situ, menentukan produk tersebut halal? Adakah kerana Minah Indon atau Mat Bangla kerja di situ menentukan produk tersebut halal.
Dialog lain semasa bertanya kepada Minah Indon yang bekerja di kedai makan (biasanya tudung Hadhari, pakai T-Shirt lengan pendek):
- Kami bekerja di sini, tentulah halal
- Kami yang masak tentulah yang halal saja. Persepsi baru — pendatang cuba untuk mengubah persepsi halal.
Alangkah malangnya kita rakyat tempatan diberi persepsi baru perkara yang sangat penting dalam agama oleh pendatang Indon (tak pasti pendatang haram atau pendatang halal).
Bolehkah halal ditentukan oleh keadaan pekerjanya? Apa kaitannya pekerja perempuan Indon dengan halal? Bolehkah tukang masak dikaitkan dengan halal atau haram produk yang dimasak? Apa kaitannya tukang masak perempuan Indon dengan halal? Inilah persepsi halal baru (sebenarnya lama) yang mana asalkan bukan babi, anjing, ia adalah halal. Asalkan yang bekerja di situ pakai tudung — halal. Persepsi ini dijangka makin subur kerana dianggarkan 1,000 pekerja asing masuk ke Malaysia setiap hari. Apa khabar JAKIM?