Razzi Armansur

Nak kena baling atau nak membaling?

Bagi manusia yang normal, tentulah memilih nak membaling asalkan tidak kena baling. Namun banyak perkara di atas muka bumi ini yang tidak membolehkan kita membuat pilihan. Kita tentulah memilih untuk tidak kena baling tetapi, bagaimana kalau suatu hari, selama ini kita tidak pernah memilih untuk dibaling, tetapi kena baling — bukan sekali, bahkan berkali-kali, bertalu-talu, tanpa henti. Bukan hanya dari depan, bahkan dari belakang, tepi, atas, bawah, dalaman, luaran.

Berkatalah ‘pakar motivasi’ — kejayaan adalah pilihan. Katanya lagi — yang tidak boleh dipilih ialah tarikh lahir, tarikh mati, ibu bapa kita. Betul. Tapi itu sajakah? Apa perlunya mengatakan boleh dipilih atau sebaliknya? Benarkah kejayaan adalah pilihan? Saya dan ramai lagi memang memilih kejayaan. Ada orang yang memilih kegagalan? Tetapi yang pasti — mengusahakan kejayaan dengan hanya berpandukan ‘motivasi-motivasi’ adalah seperti memilih kegagalan. Mengusahakan bisnes hanya dengan berpandukan ‘motivasi-motivasi’ bukan ilmu pengurusan — diibaratkan seperti memilih kegagalan. Jadi siapa kata hanya kejayaan sahaja yang boleh dipilih, sedangkan kegagalan pun boleh dipilih?

Berhenti sejenak. Mari kita ingat kembali di Malaysia ini. Siapakah ahli politik yang paling banyak, paling kerap ‘dibaling’ tanpa henti? Jangan buat-buat tak tahu. Melainkan anda tinggal di dalam gua, atau hutan belentara, maka benarlah anda tidak tahu. Atau jikalau bacaan harian anda Utusan Malaysia, Berita Harian, Star, bolehlah anda buat-buat tak tahu. Atau kalau Berita TV3, TV1, menjadi kemestian bagi anda — tahu tetapi buiat-buat tak tahu.

Dato’ Seri Anwar Ibrahim — kena ‘baling’ bertubi-tubi sejak dari tahun 1998 lagi. Boleh dikatakan setiap hari beliau difitnah bukan hanya dari satu sudut bahkan dari setiap sudut — depan, belakang, kanan, kiri, atas, bawah. Menteri, bekas menteri, pertubuhan, sahabat sendiri, media cetak, media elektronik, website, dari luar, dari dalam — memfitnah, membaling, menghentam Anwar. Bukan hanya Anwar seorang diri, bahkan sekeluarga difitnah. Seolah-olah tidak cukup Anwar dipenjara (tanpa kesalahan yang konkrit) dari tahun 1999 hingga 2004. Pada hari dijatuhkan hukum saya nyaris putus nyawa kerana sesak nafas, terkena tembakan gas pemedih mata dan dalam masa yang sama dihambat FRU di sekitar Bank Of Tokyo, Kolej SAL. Tahu bagaimana rasanya gas pemedih mata? Bukan setakat mata pedih tetapi satu badan terasa seperti terbakar panas (sekejap). Pada hari Anwar dibebaskan, sekali lagi berhimpun di rumah beliau di Damansara Height, bersalam dan mendoakan beliau. Ramainya? Lebih kurang seramai mereka yang berkumpul selama 10 hari di rumah beliau sebelum dipenjarakan dan sebaik sahaja dipecat.

Jadi, lihatlah akan kesabaran Anwar. Tapi sebelum itu mengapa Anwar tak henti-henti difitnah dan cuba dihapuskan? Mudah sahaja jikalau memahami peribahasa Jepun, “Paku yang menonjol akan diketuk.” Secara automatik, persepsi rakyat — Anwar bukan orang biasa. Jikalau orang biasa beliau tidak akan ‘diketuk’. Jikalau Anwar tidak digeruni, masakan beliau hendak dihapuskan dari arena politik.

Allah SWT tetap akan mengotakan janji. Adalah mustahil orang yang teraniaya tidak diganti dengan apa-apa kebaikan. Anwar dianiaya, Allah beri balasan kebaikan. Batu yang dibaling kepada Anwar melantun balik kepada yang membaling menjadikan, “Yang difitnah semakin makmur, yang memfitnah makin merudum.” Saksikan dan buktikan sendiri bagaimana batu yang dibaling itu melantun.

Ungkapan sejak dahulu kala adalah benar sekali, “Fitnah memakan diri.” Anda sendiri tahu akhbar mana yang amat galak menghina, menuduh, memfitnah Anwar dan Pakatan Rakyat? Nampak apa jadi dengan akhbar tersebut? Makin hari makin tenat dan menunggu tersungkur selamanya. Jangan megah, belajarlah dari sejarah — Lehman Brothers yang berusia 158 tahun itu pun boleh tumbang! Fitnah sesungguhnya memakan diri — perhatikan pertubuhan politik yang dulu, kini dan selamanyua memfitnah Tuan Guru Nik Aziz, Tuan Guru Hadi Awang, Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng, Anwar Ibrahim — apa jadi dengan parti itu? Sudah nyawa-nyawa ikan — hanya media milik mereka sahaja yang menggambarkan mereka masih kukuh. Kalau benar ia kukuh, perlukah media menguar-uarkan ia kukuh. Kalau benar ia laris, contohnya, nombor ekor, tak perlukan iklan. Pernah melihat iklan nombor ekor?

Moralnya di sini amat mudah — setiap sesuatu yang ‘keluar’ dari kita akan ‘kembali’ kepada kita berganda-ganda. Percayalah. Bila ia kembali? Berapa gandaannya? Tidak ada manusia yang tahu — Allah swt sahaja yang tahu. Kebaikan dan keburukan. Bukan hanya kebaikan yang akan kembali kepada kita, yang buruk pun akan kembali berganda-ganda kepada kita, percayalah. Bahkan ia kembali dalam bentuk yang kita tidak sedar. Contohnya semasa remaja kita pernah menghulurkan sedekah 10 sen kepada pengemis, dan ia telah terlupa sejam selepas itu — tiba-tiba sekarang ini apabila kita sudah dewasa, di saat kita sangat memerlukan — datanglah pertolongan yang sangat diperlukan. Dan jangan lupa — jikalau suatu masa dahulu mungkin tanpa sengaja atau sengaja kita menyusahkan orang, maka terima hakikat dan balasan sekarang ini sentiasa dalam susah atau dipersusahkan oleh orang lain.

Jangan menggelupur apabila difitnah, dituduh, dikeji. Sesungguhnya, janji Allah sentiasa ditepati. Ada kebaikan dan hikmah di sebaliknya. Ada kebaikan yang menunggu. Contoh mudah: Pada tahun 1997 Lim Guan Eng telah dipenjarakan 1 tahun kerana membela anak Melayu dalam satu kes rogol di Melaka. Adakah Allah tidak mengotakan janji-Nya — orang yang dianiaya akan diberi balasan yang baik? Balasannya sangat lumayan — Lim Guan Eng menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang mulai tahun 2008 dan terus menyambung kerja-kerja kebajikan membantu orang ramai yang memerlukan.

Anwar pula yang paling teruk difitnah? Beliau bukan semakin merudum sebaliknya beliau semakin disanjung dan semakin bertambah ramai yang menyokong beliau! Allah tidak pernah lupa dengan janji-Nya.

Kesimpulannya adalah mudah: jangan sekali-kali memfitnah orang lain. Fitnah akan memakan diri sama ada lambat atau cepat. Pastikan dengan tepat, “Adakah kata-kata, perbuatan, tulisan aku ini mendatangkan fitnah?”

Sepanjang masa sentiasa ada peluang untuk memohon ampun, bertaubat atas segala perbuatan jahat dan buruk pada masa lalu sama ada ia disengajakan atau tidak disengajakan. Tidakkah kita takut dan bimbang, kejahatan, keburukan yang kita lakukan itu akan kembali kepada kita berganda-ganda dalam masa terdekat ini atau semasa kita sudah tidak terdaya lagi (usia tua)? Jangan abaikan peluang untuk memohon maaf dari manusia dan memohon keampunan dari Allah SWT.

Akhir sekali mulai hari ini, hanya dua sahaja tujuan hidup kita yang mesti dilaksanakan setiap hari — pertama, meninggalkan keburukan, kejahatan dan kedua, berbuat kebaikan. Setiap hari bukan sekali-sekala.

Razzi Armansur

Razzi Armansur

Once a writer always a writer.