Razzi Armansur

RAHSIA AJAIB :: Bab 3

Bab 3  : Permulaan Rahsia Ajaib

KERANA bumi ini berpusing, jangankan 15 tahun, walau hanya 15 hari sahaja banyak perubahan di atas muka bumi ini. Bahkan dalam masa 15 jam, 15 minit sudah banyak perubahan. Bukan saja perubahan pada bumi yang semakin menuju kehancuran, bahkan sudah tentu perubahan pada diri manusia yang juga sedang menuju garis penamat.

“Lima belas tahun dulu, kampungku tidak begini.” Kata Ramli. Dalam gambarannya selama ini, Kampung Sungai Lang masih mundur. Ramli terasa seperti tersalah masuk kampung sebab perubahan yang amat berbeza. Bermula dari simpang di depan rumah Jaguh Badminton Negara yang ada tugu raket gergasi, hinggalah sampai ke jambatan bengkok di Kampung Sungai Lang sesudah melalui Kampung Sungai Lang Baru, keadaannya sudah amat jauh berubah. Tentu sekali perubahan besar itu juga terjadi di Kampung Sungai Kelambu yang kedudukannya selepas Kampung Sungai Lang, kira-kira 8 kilometer dari jambatan bengkok itu.

Gambaran kampung yang mundur di dalam fikiran Ramli hilang serta-merta digantikan dengan keadaan sebenar di depan mata. Rimbun, subur, menghijau dan di celah-celah pokok (sama ada kepala sawit atau pokok hiasan) ialah rumah-rumah banglo dan juga rumah-rumah tradisional kaum Jawa yang besar dan tinggi. Pendek kata, siapa saja masuk ke Kampung Sungai Lang Baru, Kampung Sungai Lang, Kampung Sungai Kelambu, perkataan “Mewah” serta-merta terpampang dalam fikiran.

Kali ini Ramli semakin yakin. “Tak sia-sia aku balik ke kampung hari ini. Memang Rahsia Ajaib ada di sini. Tentu ada rahsia yang boleh menjadikan penduduk kampungku begitu mewah sekarang.” Ramli tidak nampak yang susah di Kampung Sungai Lang itu kerana kemewahan lebih menonjol. Di mana-mana sama saja ? ada yang senang pasti ada yang susah, tetapi oleh kerana yang mewah lebih ramai, yang susah tenggelam, sama seperti yang terpampang di hadapan Ramli sekarang.

Tak tahu sama ada Ramli hendak berbangga atau tersenyum atau berasa iri hati atau menyesal kerana dulu berhijrah dari Kampung Sungai Lang. Ramli merasakan gabungan ketiga-tiganya. “Kalaulah dulu aku tidak berhijrah?” Ramli seperti menyesali langkah kakinya meninggalkan Kampung Sungai Lang, 15 tahun dulu. Dalam pada Ramli seperti tidak percaya dan bingung, dia membelok masuk ke kedai ?Turoji Soto? yang sudah wujud sejak lebih 20 tahun dahulu. Ramli kagum dengan kedai Turoji Soto itu kerana mampu bertahan dan tidak ada bisnes lain yang diusahakan selain dari menjual soto sejak tahun 70an. Teringat, pada suatu hari Ramli mendengar seorang usahawan ternama muncul di kaca TV berkata, “Rahsia kejayaan sebenar ialah mendalam, bukan melebar. Jika sekiranya hendak melebar, tunggu dulu sesudah berjaya mendalam.” Itulah yang dilakukan oleh Turoji Soto dan Dullah Soto, satu lagi kedai menjual soto di Kampung Sungai Lang. Kedua-duanya bersaing dengan sihat dan sama-sama maju. Kerana kemasyhuran kedua-dua kedai soto tersebut, ramailah yang datang dari kampung-kampung sekitar Banting untuk menikmati soto di Kampung Sungai Lang itu. Bahkan sudah terjadi ?branding? ? “Kalau nak makan soto yang sedap, datanglah ke Kampung Sungai Lang tak jauh dari Banting.” Kalau dulu, soto makanan ringan kesukaan kaum Jawa saja, kini anggapan itu sudah pupus ? Melayu, Cina, India menyukainya. ?Branding? yang sedia ada ditambah, “Tidak ada soto yang lebih sedap selain soto di Sungai Lang.”

Ramli tersenyum sendiri, bangga kampungnya terkenal dan sudah ?branding?. Dia, yang sememangnya rindukan soto kini menghirup soto sambil mengambil tempe goreng di depannya ? satu lagi hidangan istimewa ? tempe yang dipotong memanjang bersalut tepung berempahkan jintan manis, jintan putih, ketumbar, digoreng garing, dimakan dengan sos cili istimewa. Tempe tersebut tidak diambil dari pembuat di luar Kampung Sungai Lang. Ada beberapa pembuat tempe tradisional di Kampung Sungai Lang yang sudah melebihi 20 tahun menjalankan usaha mereka. Bukan tempe plastik tetapi tempe asli, tempe daun pisang atau daun rambai. Yang terkenal di Kampung Sungai Lang dan sekitar Banting ialah tempe Haji Nasimin dan tempe Tasiah. Sekali lagi, tidak ada tempe yang sesedap tempe dari Kampung Sungai Lang. Mungkin ramai pembuat tempe tradisional di sekitar Banting, Kuala Langat tetapi resipi rahsia dan cara pembuatannya membuatkan tempe dari Kampung Sungai Lang berbeza. Salah satu resipi rahsia mereka ialah ?mendalam?. Hanya tempe saja produksi mereka sejak dari hujung tahun 70-an.

Sekali lagi, tempe membantu ?branding? Bandar Banting. Sering kedengaran di tempat lain, “Tempe dari mana? Tempe Banting?” Juga, “Kalau nak cari soto, tempe, tapai, carilah di Banting.” Begitu yang pernah Ramli dengar menyebabkan dia kini sekali lagi menjadi bangga.

Ramli sudah siap menikmati soto yang dirinduinya. Kini duduk memandang ke depan kedai sambil minum air sirap. Seperti jodoh pula — soto jodohnya air sirap. Tak sempurna kalau makan soto tidak disudahi dengan minum sirap. Dulu soto hanya dimakan sebelah petang, selalunya sebelum dan selepas maghrib, kini soto di Kampung Sungai Lang boleh diperolehi sepanjang masa. Turoji tidak ada di dalam gerai. Kini gerai itu diurus sepenuhnya oleh anak-anak Turoji. Ramli bertanya kepada Rashidi, anak Turoji, “Sotonya lebih sedap sekarang, letak apa?” Ramli bertanya dalam bahasa Jawa kepada Rashidi yang Ramli agak tidak cam dirinya, maklumlah sudah 15 tahun tidak menjejakkan kaki ke kedai soto itu. Rashidi senyum dan menjawab, “Sekarang guna rempah Mak Siti.” Ramli senyum, teringat kata-kata, “Burung yang sama bulu akan terbang sama.” Haji Nasuha, pengusaha rempah ratus Mak Siti juga kaum Jawa. Rempah jenama Mak Siti sudah memasuki Banting sejak awal 70an lagi. Haji Nasuha mengedarkannya sendiri sampai ke Banting. Dari mengedarkan menggunakan Vespa buruk, kini Haji Nasuha mempunyai ladang herba melebihi 1,000 hektar di Johor. Rempah ratus Mak Siti memang terkenal. Salah satu rempah yang dipasarkan ialah rempah soto.

Bahkan sebenarnya, Turoji dan Dullah hanya meneruskan usaha. Makanan istimewa kaum Jawa Malaysia itu mula bertapak di Kampung Sungai Lang Baru pada sekitar awal tahun 60an. Pelopor soto sebenar ialah Haji Ghazali dan isterinya yang selalunya menjual soto di pertunjukan sandiwara dan wayang kulit. Usaha itu kemudian diteruskan oleh Haji Yaakob (ayah Rosli), Haji Sairi, Safar Jenggot, Wak Sekon dan beberapa orang lagi. Hinggalah pada pertengahan tahun 70an, Dullah dan Turoji memulakan usaha mereka menjual soto di keramaian dan pasar malam di kampung-kampung sekitar Banting sebelum membuka kedai. Sekali lagi Ramli memikirkan, “Inilah yang dikatakan mendalam. Mengapa selama ini aku tidak pernah terfikir?”

RAMLI menuju ke rumah Zakaria. Zakaria sudah lama berpindah, tidak lagi di rumah ayahnya. Akmal, anak Zakaria memberitahu ayahnya tidak ada di rumah. “Tak tahu pergi mana. Pergi kebun agaknya.” Ramli kemudian menuju ke rumah Rosli. Pun tidak ada di rumah. Rosli masih lagi tinggal di rumah dulu. Adat Jawa menyebut, anak lelaki bongsu akan memiliki rumah pesaka. Kerana itulah Rosli masih tinggal di rumah pusaka ayahnya. Di halaman rumah Rosli itulah mereka selalu bermain gasing, suatu masa dulu. Masih ada tanaman bunga bakung di halaman rumah Rosli yang mengadap sekolah itu. Masa zaman nakal, teringat Ramli — dia dan rakan-rakannya selalu mencuri gula-gula di kedai Haji Demo yang terletak di depan rumah Rosli — kemudian menyusup di bawah pokok kopi di halaman rumah Rosli itu. Isteri Rosli, Salbiah memberitahu Rosli pergi bermesyuarat. “Eh, takkan masih mesyuarat belia lagi?” Tanya Ramli dalam hati.

Amir, anak Arif memberitahu ayahnya pun pergi mesyuarat. “Eh takkan mereka masih aktif dalam persatuan belia lagi.” Ramli meneka. Begitu juga dengan Selamat, pun bermesyuarat. “Takkanlah sudah berjaya, sudah dapat Rahsia Ajaib masih lagi mesyuarat belia? Betulkah ada rahsia ajaib? Macam tak ada saja?”

“Hendak ke mana sekarang ini?” Tanya Ramli kepada dirinya sendiri sambil memandu perlahan ke arah Kampung Sungai Kelambu. Tidak ada sebarang tujuan sebaliknya hanya untuk membuang masa saja sambil meninjau, melihat-lihat kampungnya yang ditinggalkan sejak 15 tahun lalu, sementara menunggu petang. Mungkin petang nanti barulah dia akan bertemu semula dengan sahabat-sahabat sepermainannya.

Hampir sampai di sempadan Sungai Lang dan Sungai Kelambu, Ramli berhenti. Sekali lagi, tarikan aroma dan keenakan soto yang dirindui selama 15 tahun membuatkan Ramli berhenti dan terus memesan soto di kedai ‘Dullah Soto’. Wak Dullah, bekas juara bina badan tidak ada di kedai. Seperti di kedai ‘Turoji Soto’ tadi, Ramli menghirup dengan agak gelojoh. Teringin dia memesan dua kali (soto tidak mengenyangkan), tetapi segera ditahan. Sambil minum sirap Ramli memerhatikan seseorang yang baru masuk ke dalam kedai.

“Razak!” Ramli memanggil dengan kuat. Razak yang terkejut, menoleh, mengamat-amati dan memanggil, “Eh, Ramli ye?” Mereka bersalaman. Ramli tak menyangka dapat bertemu dengan seorang lagi sahabat karib sejak dari sekolah rendah dan sama-sama berbasikal setiap hari pergi dan balik ke Sekolah Menengah Kebangsaan Telok Datok. Dari Tingkatan Satu hingga tingkatan lima, setiap pulang dari sekolah akan singgah di Pekan Banting membeli ais kepal. Sambil berbasikal, bersembang bersama seorang lagi sahabat — Mat Sudin dari Sungai Kelambu, sambil menghisap ais kepal. Razak Supar seusia dengan Ramli seperti terkejut melihat Ramli.

Nota: Ini adalah sebahagian dari Bab 3 dari buku yang dijangka hit: RAHSIA AJAIB

 

Razzi Armansur

Razzi Armansur

Once a writer always a writer.