Razzi Armansur

Rahsia gandaan

Rahsianya mudah sahaja — sesuatu itu akan berganda jikalau dilabur dengan bijak. Betul? Bagaimana melabur dengan bijak? Itu kena tanya Warren Buffet, kerana melabur ada ilmunya sendiri, bukan berasaskan dengar-dengar, penglipurlara, dongeng, seminar ‘angin’, motivasi, ‘buku angin’ (cilok, tapi katanya hasil kajian di luar negara).

Gandaan yang saya maksudkan di sini ialah “Rezeki”. Bagaimana memperoleh limpahan rezeki? Di zaman susah sekarang ini, jangankan melimpah, datangnya pun tersekat-sekat. Setiap sesuatu berpunca. Apa puncanya? Puncanya tidak lain tidak bukan adalah dari diri sendiri dan dari sistem di sekeliling kita. Sistem di sekeliling kita ini tidak boelh diubah sendirian sebaliknya ia boleh diubah jikalau dilakukan beramai-ramai. Seluruh rakyat Malaysia atau sebahagian besarnya mengubah sistem sekeliling kita ini, barulah ia boleh diubah.

Rezeki ada berbagai-bagai. Nafas kita ini pun rezeki. Apa saja anugerah Allah, itulah rezeki. Tetapi, oleh kerana wang yang lebih utama apabila dikaitkan dengan ‘rezeki’, maka kita bercakap soal wang pada kali ini.

Bagaimana memperoleh gandaan wang setiap tahun? Untuk menjawabnya, perlulah faham dengan tepat — dari mana datangnya wang? Untuk apa wang itu? Itu yang wajib difahami terlebih dahulu.

1. Wang berjalan dari tangan ke tangan hasil pertukaran (atau jual beli — contohnya: kita ‘menjual’ tenaga dan kemahiran kita — cukup bulan mendapat gaji). Perhatikan dengan teliti — wang berjalan dari tangan ke tangan dari negara ke negara sekeliling bumi ini. Dari tangan ke tangan, bukan turun dari langit.

2. Namun yang paling utama — siapakah yang menggerakkan tangan-tangan itu untuk menyampaikan wang antara satu sama lain hingga akhirnya sampai ke tangan kita. Atau lebih ringkas lagi — siapakah yang menggerakkan wang itu sehingga sampai ketangan kita? Siapa? Sebab itulah sering kedengaran — apabila Allah diutamakan — segalanya akan teratur. Tapi berapa ramai yang mahu meletakkan Allah di atas, ‘dijunjung’? Bahkan menyebut Allah pun keberatan, lebih selesa menyebut Tuhan, inikan pula hendak meletakkan Allah di atas, utama.

3. Allah SWT yang mengerakkan wang itu hingga sampai ke tangan kita. Jangan cuba hendak menafikan. Jadi, dariNya kita meminta supaya ia wang yang ‘halal, berkat, bersih’ — kerana setiap kotoran yang masuk ke dalam badan kita, keluarga kita akan hanya merosakkan sistem kehidupan. Biasa melihat orang yang banyak duit tetapi hidupnya gelisah, murung, suram? Seolah-olah wang tersebut menjadi bala bukan menjadi pemudah hidup atau kesenangan. Sebabnya? Sebabnya apabila benda-benda kotor, haram, syubhat masuk ke dalam sistem aliran darah kita yang bersih — ia akan merosakkan sistem ciptaan Allah itu. Sudah pasti kerosakan sistem ciptaan Allah itu akan merosakkan kehidupan. Percayalah! Jangan main-main dengan perkara ini. Apabila kita memfokus hanya pada yang halal dan berkat sahaja, maka itulah yang akan diperoleh kerana sejak purbakala telah disahkan, “Kita memperoleh apa yang menjadi fokus.”

4. Untuk apa wang tersebut. Ini yang paling utama. Sudah tentu untuk kebaikan sahaja, sebagaimana pesan Ustaz Shamsuri — “Kita hidup di dunia ini lain kita tak mahu selain dari berbuat kebaikan. Kita hendak berbuat kebaikan sahaja.”

Jadi sampailah masanya untuk mengetahui bagaimana cara paling mudah untuk ‘menggandakan’ wang atau memperoleh limpahan rezeki. Ia sebenarnya bukan rahsia sebaliknya telah disebut di dalam Al-Quran sejak azali. Jangan hanya hendak menerima — kita mesti MEMBERI. Itu saja rahsianya — MEMBERI sebelum menerima. Itu saja rahsia gandaan. Tak ada rahsia lain.

Namun kita ini sebagaimana biasa hanya hendak menerima, enggan atau keberatan hendak memberi. Takut apa? Takut habis, takut tidak kecukupan. Itu yang ditakuti, itu yang menjadi fokus, maka itulah yang diperoleh.

Apabila takut begitu bermakna tidak percaya dengan al-Quran. Di dalam al-Quran terpampang — apabila memberi akan menerima dengan gandaan yang banyak. Kalau al-Quran pun sudah tidak dipercayai, apa guna hidup ini?

Syaratnya hanya satu sahaja — IKHLAS. Apa itu ikhlas? Ikhlas tidak dinafikan, memang mudah amat disebut tetapi sukar dilaksanakan. Memang sukar. Ikhlas letaknya di hati bukan di mulut. Ikhlas secara mudah ialah — tidak mengharap apa-apa balasan dan SAMPAI BILA-BILA TIDAK INGAT pemberian itu setelah memberi — menyamai orang hilang ingatan. Bahkan tanpa ucapan “terima kasih” pun tidak terasa apa-apa. Boleh? Jikalau boleh sampai tahap begitu — anda telah mencapai tahap keikhlasan sebenar. Sukar, tetapi tidak mustahil dilaksanakan — perlukan latihan berterusan, sepanjang hayat.

Menetapkan adalah satu lagi usaha supaya memperoleh rezeki yang melimpah. Bukan sekadar menetapkan, bahkan mengusahakan sedaya-upaya supaya tercapai. Caranya mudah sahaja — setiap awal tahun atau pada bila-bila masa, hendaklah menetapkan begini, “Pemberian saya untuk mereka yang memerlukan, pada tahun ini adalah RM100,000.00” atau jumlah yang anda selesa. Banyak tetapi tidak ikhlas pun tidak ada gunanya. Tapi kalau banyak, ikhlas, itulah sebaik-baiknya. Sikit tapi berterusan itu yang sebaik-baiknya untuk kemampuan manusia. Tetapi kalau boleh banyak dan berterusan, itulah yang lebih baik dari terbaik.

Berapa pemberian anda untuk yang memerlukan? Terserah atas keselesaan anda. Yang paling utama anda hendaklah menetapkannya dengan konkrit, berkeyakinan tinggi dan optimis. Jadikan matlamat yang kukuh dan padu. Yakin seyakin-yakinnya bahawa anda boleh melaksanakan pemberian itu. Biar lebih jangan kurang — itu yang sebaik-baiknya.

Sudah tentu anda mahu memperoleh wang yang berganda-ganda banyaknya supaya dapat memberi sebagaimana yang ditetapkan. Jikalau misalnya, anda menetapkan mahu memberi RM5,000 — pasti anda berusaha dengan gigih supaya memperoleh pendapatan RM100,000 pada tahun itu supaya tidak terasa memberi RM5,000 kepada yang memerlukan. Bagaimana hendak memberi RM5,000 sedangkan pendapatan kurang dari RM20,000? Untuk menangani hidup pun tidak kecukupan apatah lagi untuk memberi kepada yang memerlukan.

Dengan menetapkan begitu, kemudian berusaha bersungguh-sungguh untuk melaksanakan apa yang telah ditetapkan itu, barulah ia dapat dilaksanakan berbanding tidak menetapkan langsung. Peratusannya lebih tinggi.

Perlu diingat, ini bukan zakat. Zakat adalah wajib. Ini adalah pemberian ikhlas untuk mereka yang memerlukan. Hanya untuk yang memerlukan. Jangan tersilap tempat untuk bersedekah, memberi.

Yang benar tetap benar. Al-Quran dan sunnah tidak pernah bohong. Kebenaran bahawa anda akan menerima berganda-ganda banyaknya setelah MEMBERI itu PASTI tanpa ragu-ragu akan terjadi sama ada lambat atau cepat. Bukan sahaja kembali kepada anda dalam bentuk yang sama (wang) bahkan dalam apa saja bentuk kebaikan mengikut apa yang Allah kehendaki.

 

Razzi Armansur

Razzi Armansur

Once a writer always a writer.