Razzi Armansur

Robin Hood 2008

Ditakdirkan, setelah anda berusaha gigih, anda menjadi kaya-raya, melimpah-ruah, berlebih-lebih wang anda, pada suatu hari kelak, anda hendak bersedekah jariah, berhati-hati. Bimbang nanti sedekah anda itu membawa keburukan.

Sekian lama Robin Hood menjadi ikon penderma yang budiman, tetapi sebenarnya caranya salah, menyebabkan malamatnya tak sampai.

Niatnya betul tetapi caranya salah menyebabkan matlamatnya tak kesampaian. Dalam bersedekah, ketiga-tiganya berjalan serentak: Niat mestilah betul, cara atau pelaksanaannya betul barulah matlamat tercapai.

Matlamat Robin Hood adalah hendak membantu orang miskin. Niat Robin Hood memang mulia. Tetapi caranya tidak betul iaitu merompak orang kaya yang tidak membayar cukai. Wang rompakan diberikan kepada orang miskin. Cara atau pelaksanaannya salah menyebabkan pencapaian matlamat pun terbabas.

Berhati-hati, jangan seperti Robin Hood. Jikalau hendak membantu, menderma, bersedekah — niat, pelaksanaan, mestilah betul dan selari. Tersilap cara dan pelaksanaan, matlamatnya kelak tidak kesampaian, atau lebih teruk lagi jika ia membawa mudarat.

Seperkara lagi, selalu terjadi salah faham tentang sedekah jariah. Kita diajar, apa saja yang kita sedekahkan, selagi ia digunakan oleh orang ramai selagi itulah kita memperoleh pahala kebajikan. Itu yang diajar. Kita membina jambatan selagi jambatan itu digunakan orang selagi itulah kita memperoleh pahala. Kalau misalnya, Edison itu orang Islam, sampai hari ini beliau memperoleh pahala kerana mencipta filamen mentol.

Tetapi ada sedikit salah faham. Apabila menyebut tentang sedekah jariah, pahala kekal berpanjangan, hampir semua orang mengatakan mendirikan masjid adalah sebaik-baik pilihan. Memang betul sekali, tetapi selain mendirikan masjid ada banyak lagi sedekah jariah yang mengalirkan pahala kekal. Contohnya: mewakafkan tanah untuk perkuburan, sekolah (bukan sekadar sekolah agama dan tahfiz sahaja). Ada satu lagi yang telah diajar oleh sahabat saya iaitu bersedekah, membantu, sponsor pelajar tahfiz, InsyaAllah pahala akan berpanjangan dan kekal kerana pelajar tahfiz akan berterusan membaca dan kemudian mengajar orang lain menghafaz al-Quran — sepanjang masa, mungkin dengan sedikit bantuan dari kita tadi, pembacaan al-Quran akan berterusan. Bukankah itu mendatangkan pahala yang berpanjangan?

Tetapi, sepanjang yang kita tahu jika bersedekah, amal jariah kerana mengharapkan pahala adalah perbuatan yang sia-sia. Seperti tidak ada keikhlasan — memberi kerana mengharapkan pahala. Sebaik-baiknya lupakan tentang pahala dan balasan sebaliknya katakan sahaja, “Sebab Allah dah suruh.”

 

 

Razzi Armansur

Razzi Armansur

Once a writer always a writer.