Razzi Armansur

Subur Sejak Tahun 70-an

Semalam saya tak buat apa-apa yang produktif selain membaca buku dan melihat filem lama. Cuba-cuba untuk menulis namun tak juga terhasil apa-apa. Mungkin fikiran runsing, mungkin kerana peningkatan usia, mungkin masalah lain.

Saya menonton filem lama “Hare Rama Hare Krishna”. Filem hindustan lama yang membawa mesej penting di samping melihat pelakon-pelakon lama, Dev Anand, Zenaat Aman dan yang begitu jelita — Mumtaz (pernah berangan-angan nak dapatkan awek seperti Mumtaz … hehehe. Tengok cerita Bobby teringin pula nak awek macam Dimple Kapadia…. ).

Kenangan kembali ke masa lalu. Kenangan remaja, cinta monyet, serba tak kena, cita-cita besar tapi pelaksanaan zero. Cita-cita nak keliling Malaysia, akhirnya cuma keliling Banting, Morib, Klang. Nak keliling KL takut — takut sesat. Zaman serba tak kena. Zaman jahiliyah. Saya tak ingat tingkatan berapa semasa menonton cerita lama itu. Seingat saya di Panggung Capitol, Banting, selepas menghantar pulang kawan karib masa itu, Adimin Surip dan Shaarin Razak (Kebun Baru, Telok Panglima Garang).

Sehari sebelumnya, kelmarin, saya mengambil kesempatan berceramah ringkas pada anak-anak dan anak-anak jiran yang bermain “Street Soccer” di depan rumah. Waktu “break” sambil makan aiskrim bercakap tentang hukuman sebat, gantung, dadah dan ada kaitan dengan wayang lama yang saya tonton itu. Bila habis berceramah mengenai “mati sebelum mati” (orang yang menunggu hukum gantung) saya bertanya balik, “Apa mesej dari kisah tadi?” Dengan lawak, “Mesejnya, jangan suka baca mesej orang.” “Mesejnya, kena main bola sungguh-sungguh.”

Melihat anak sendiri dan anak-anak jiran makin membesar di negara sendiri yang dihujani dengan dadah, hati makin hari semakin risau. Suatu masa dulu di dalam majalah Gila-Gila, “Hujan emas di negara orang, hujan dadah di negara sendiri, baik pilih negara orang.”

Dalam cerita Hindustan tersebut dipaparkan bagaimana dadah jenis ganja, cocain, heroin, lsd mula melanda dunia. Akibat buruk dari penagihan dadah dipaparkan dalam cerita tersebut. Zaman Hippies melanda dunia. Saya pun terikut-ikut tanpa mengetahui apa sebenarnya “Hippies” dan tanda “Peace” — dua jari (jari telunjuk dan hantu) di renggangkan dan diangkat. Tapi hippies di Malaysia ini hanya ikut-ikutan fesyen saja ? rambut panjang, seluar bell bottom belang-belang, tali pinggang besar, pakai selipar atau kaki ayam, baju besar-besar, tampal-tampal, rantai leher sebesar rantai basikal, selekeh dan pokai.

Hippies sebenar bermula dari USA, bukan sekadar fesyen tetapi “pemberotakan.” Hippies Malaysia miskin dan sentiasa memikirkan untuk mendapatkan sedikit wang bagi kegunaan lepak di Bandar Banting (contohnya) pada hari Minggu dengan tujuan menayangkan fesyen hippies yang disangka amat menggemparkan. Ada seringgit untuk makan roti bakar atau ais kacang sudah cukup. Kalau nak cukup syarat kena ada RM2 (dulu tandanya $2), RM1 untuk wayang di Lido atau Capitol dan RM1 lagi untuk roti bakar dan ais kacang (perut sudah berkeroncong). Sempurnalah hidup pada hari tersebut.

Zaman itu, perang Vietnam yang mengorbankan begitu ramai rakyat Amerika dan Vietnam sendiri menyebabkan munculnya Hippies. Salah satu penyebab. Mereka memberontak menentang perang dengan slogan popular yang sama sekali tidak sesuai untuk orang Islam, “Make love not war”. Jadi, di samping kebaikan, banyak keburukan Hippies ? pergaulan bebas, seks bebas, tanpa agama, tanpa sebarang ikatan apa-apa. Hippies di USA adalah anak-anak orang kaya yang tidak ada kasih sayang. Mereka mencari kebahagian sendiri, membuang kekayaan dan hidup berasaskan kebebasan tanpa ikatan dan dadah. Yang rakyat Malaysia (termasuk saya) meniru bulat-bulat hanya dari segi fesyen saja bukan ideologinya. Memang dah miskin, takkan nak membuang kemiskinan. Yang peliknya seluar elok-elok dicari plastik, ditampal. Kadang-kadang ketawa sendiri mengenangkan kisah silam. Tapi syukurlah, tak pernah terlibat dengan dadah. Cuma merokok sahaja.

Pada tahun-tahun tersebut, dadah mula masuk ke Malaysia. Di antara wayang “Hare Rama Hare Krishna” (sebelum atau selepas, tak ingat) — tapi menurut sejarah tidak bertulis, dadah masuk Malaysia lingkungan awal 70’an, melalui Vietnam, Thailand, Penang. Menurut adik Jamal Abdillah — Jamilul Hayat (yang juga penagih), sambil lepak di tepi Pantai Morib tengah malam buta bercerita kisah tahun 70’an, “Di Vietnam, askar Amerika, siang menembak orang, malam nak lupakan kisah siang mereka mengambil dadah. Juga untuk mengubati kesakitan. Tapi dadah masa itu pure dari bunga poppy. Sekarang ini mentol, petrol pun dijadikan dadah.” Itu katanya.

Jambori Pengakap di Kajang pada tahun 1972 atau 1973, kalau tak silap telah bertukar menjadi “Pesta Woodstock”. Pesta ini adalah sebahagian dari pesta Hippies di luar negara. Pada masa itulah dadah jenis heroin mula masuk ke Malaysia. Saya tak tahu, benar atau tidak, ganja sebenarnya sudah lama di Malaya. Ganja untuk penyedap makanan, menaikkan rasa, agaknya, sebab saya pernah (masa kecil) mendengar orang Utara bercerita betapa sedapnya laksa yang diletakkan ganja (sedikit). Dan dalam filem “Bujang Lapok”, Normadiah ada menyebut, “Bapak ko tu Safiah, lain tak ada, berjudi, hisap ganja…” Maknanya dulu-dulu sudah ada ganja untuk masakan, tapi disalahgunakan untuk “steam”.

Sejak dari tahun 70’an itulah, dadah (pelbagai jenis) terus subur sehingga hari ini. Buktinya dari hanya 1 Pusat Serenti (harapannya membawa makna “Sekali Berhenti”) yang dulu dikenali sebagai Pusat Pemulihan Dadah di Kuala Kubu, kini angkanya makin bertambah. Subur? Dari beberapa orang mencuba dadah sejak tahun 70’an, angka penagih dadah meningkat beberapa juta. Subur? Makna subur ialah “Dari kecil menjadi besar; dari sikit menjadi banyak.” Dari seorang dua yang mati kerana dadah, angkanya menjadi puluhan atau ratusan ribu atau juta. Dari tak ada yang dihukum gantung kerana dadah, angkanya sudah mencecah ribu. Subur? Makmur? Meriah?

Adakah hukuman sekarang mengurangkan? Salah! Hukuman yang ada nampaknya, terbukti menambah subur dan makmur. Jadi, perlukah diteruskan atau mencari alternatif lain? Saya pernah melawat Pusat Serenti Rawang (berhampiran kawasan Rufaqa), juga pusat Serenti Bentong, Dengkil, — keadaannya sama. Di sinilah perlunya aplikasi prinsip NLP — “Jika melakukan apa yang selalu dilakukan, akan mendapat apa yang selalu dapat.” Sesudah berpuluh tahun sistem di dalam Serenti kekal menghasilkan keadaan yang sama, bukankah perlu perubahan besar agar tidak meneruskan kegagalan.

Pusat Serenti gagal dan sedang meneruskan kegagalan itu. Saya sangat tertarik dengan cadangan Dato’ Dr. Harun Din suatu masa dulu. Syornya sangat mudah dilaksanakan tetapi tidak pernah dilaksanakan. Tukar sistem ketenteraan di dalam Serenti kepada sistem Islamik. Sangat mudah. Taklah pakai seluar pendek dan sama sekali tidak perlukan komanden di dalam Serenti. Hanya perlukan Mudir dan Mualim. Itu saja. Ada yang berani pertikai kebaikan sistem Islam? Tapi, oleh kerana Dato’ Dr. Harun Din yang memberi cadangan, maka terdengarlah suara-suara sumbang dari orang Islam sendiri, “Kerajaan tidak bercadang… bla, bla, bla…” Orang tersebut lebih rela dadah terus subur berbanding mengurangkan dan seterusnya menghapuskan.

“Sifar Dadah” hanya cakap kosong dan bahan publisiti. Sepatutnya ganti dengan “Subur Dadah.” Tahukah anda, iklan, larangan, kempen, poster dan sebagainya sejak dari tahun 80’an hingga kini adalah iklan yang menggalakkan penggunaan dadah. Kita ambil contoh mudah. “Jauhilah Dadah” ? kemudian kita kembali menjadi remaja, zaman serba tak kena, apa yang berpusing-pusing di dalam fikiran. Jiwa remaja, jiwa memberontak, jiwa orang lain semua salah, yang betul diri sendiri, setelah berulang-ulang mendengar, melihat “Jauhilah Dadah” — akhirnya 3 Modality NLP = Visual, Auditory, Kinesthetic menjadi lengkap ? sesudah berulang-ulang melihat, mendengar akhirnya akan merasakan. Remaja menjadi terlalu ingin tahu apa sebenarnya dadah yang diminta berulang-ulang untuk dijauhi itu. Apa yang menyebabkan kena dijauhi? Mengapa mesti dijauhi? Apa yang sedap sangat sampai perlu dijauhi? Kerana terlalu ingin tahu, akhirnya mereka mencuba untuk tahu apa sebabnya perlu dijauhi. Bila dah terkena — “Oh, ini sebabnya perlu dijauhi. Best ni, rugi kalau dijauhi.”

Pendek kata iklan yang ada adalah mengundang remaja untuk mencuba dadah. Dan ia diulang-ulang sejak dari tahun 80’an. Tak hairanlah, penggunaan dadah makin subur. Hanya baru-baru ini saja, iklan sudah berubah (sikit) ? “Dadah Membunuh”. Tapi kerosakan telah terjadi sejak tahun 70’an. Ada cadangan? Cadangan saya sangat mudah. Minta Yasmin Ahmad mencipta siri iklan yang menyentuh perasaan hingga menitiskan air mata dan amat menakutkan remaja untuk mendekati dadah. Bila demand berkurang, supply pun berkurang. Yasmin Ahmad juga pakar ‘branding’, jadi minta khidmat beliau supaya dadah mendapat ‘branding’ atau ‘rebranding’ ? dadah adalah pembunuh paling digeruni. Kalau pun tak mampu menghapuskan, ia mampu mengurangkan. Tapi, yang sedihnya, pasti nanti akan terdengar suara-suara sumbang, “Kita… bla, bla, bla… Kerajaan tidak bercadang… bla, bla, bla…”

Apa pula sumbangan dari saya. Saya ingin menyumbang slogan baru yang diharapkan mampu untuk menghindari remaja dan orang tua dari mencuba dadah. Dadah ini pantang dicuba, sekali cuba menagihkan. Sekali ketagih akan ketagih sepanjang hayat. Slogan baru, sumbangan saya mudah saja: DADAH UNTUK TOLOL. Remaja atau orang tua bijak takkan menyentuh dadah. Dan, sesiapa menyentuh dadah akan menjadi tolol. Oleh kerana takut menjadi tolol, atau dicop sebagai tolol, dadah dihindari. Setuju?

 

Razzi Armansur

Razzi Armansur

Once a writer always a writer.