Razzi Armansur

Susah dan Senang menuju ke PNM

Dari Allah ia datang, kepada Allah ia kembali. Dengan serta-merta anda menyangka ia ada kaitan dengan kematian, kerana selalunya begitu. Begitulah ‘branding’ ayat tersebut. Begitu juga dengan membaca surah Yassin di sisi orang yang sakit. Serta-merta dikaitkan dengan kematian. Sedangkan sebenarnya ia sunat dibacakan untuk orang yang sedang dihampiri maut.

Dari Allah ia datang, kepada Allah ia kembali sudah tentu boleh dirujuk kepada rezeki. Datangnya rezeki dari Allah, hendaklah dikembalikan, digunakan di jalan Allah. Apa saja kebaikan adalah jalan Allah. Islam itu mudah tetapi bukan mempermudahkan. Tidak perlu berbelit-belit, asalkan ia kebaikan, ia adalah jalan Allah. Habis cerita.

Jika ia mengenai rezeki, sudah tentu ayat tersebut perlu diubah begini: Kepada Allah kita meminta, dari Allah ia datang, kepada Allah ia kembali. Saban hari kita sebagai hamba Allah, jangan sekali-kali berhenti berdoa memohon kebaikan dan rezeki yang halal. Optimis Allah akan beri rezeki yang berkat dan halal, banyak, melimpah ruah agar dengan rezeki tersebut kita dapat membantu manusia yang memerlukan.

Ini bukan pesanan dan peringatan kepada sesiapa tetapi peringatan kepada diriku sendiri yang sering alpa.

(photo)
Syukur kepada Allah SWT. Kepada Allah kita meminta, dari Allah ia datang, kepada Allah ia kembali. Judul buku yang dipilih oleh PNM (Perpustakaan Negara Malaysia). Setiap satu berjumlah 1089 naskhah.

Dalam tahun ini dua kali saya senyum sampai ke telinga. Tahun lepas sekali, pada waktu yang sama juga, lingkungan bulan November. Buku HENDAK SUSAH ATAUPUN SENANG telah dipesan oleh Perpustakaan Negara sebanyak 1089 naskhah. Terdapat 12 judul buku terbitan PTS yang dikehendaki oleh PNM untuk projek perpustakaan desa. Bagi kaum penulis ia bukan sahaja kegembiraan bahkan merupakan penghormatan. Dari beribu-beribu judul yang berada di pasaran, bukankah satu penghormatan apabila buku kita antara yang terpilih?

Tahun lepas buku TUKANG GUNTING JUTAWAN terpilih. Kemudian pada bulan Julai 2008, buku RAHSIA AJAIB UNTUK BERJAYA telah dipesan oleh KEMAS, untuk perpustakaan KEMAS seluruh negara. Syukur, kini buku lama yang diterbitkan semula, HENDAK GAGAL ATAUPUN BERJAYA telah dipesan oleh PNM. Allah SWT yang memberikan segala. Tugas kita adalah mengusahakan.

Antara penulis PTS yang saya kenal dan terpilih bukunya, sudah tentu Mbakyu Ainon Mohd. Suatu hari saya menerima SMS dari bakal penulis PTS, Sdri Marini Azahri (yang juga kononnya anak murid penulisan saya) dan setuju sangat dengan SMS tersebut, akhirnya mengakui, “Sememangnya tepat sekali kata Marini Azahri tentang Mbakyu.” SMSnya: “Besar sekali jasa dan banyak sekali pahala Mbakyu kan Kang. Ramai penulis yang telah merasai perubahan hidup atas usaha Mbakyu.” Realiti.

Buku karya Ayahanda Tuan Guru Abdul Hadi Awang, “Takwa: Takut tetapi Rindu” juga telah berjaya mendapat tempahan PNM. Syukur Alhamdulillah. Jejak langkah beliau menjadi matlamat saya. Semua royalti buku beliau disedekahkan kepada sekolah tahfiz.

Selain dari itu, novel Zaid Akhtar telah diterima. Walaupun “Salju Sakinah” masih baru tetapi sudah diterima. Bahkan kini kedengaran novel tersebut lebih bagus dan lebih Islamik berbanding, “Ayat-ayat Cinta”. Zaid saya kenal sebagai warga Ukhwah.com sejak dari tahun 2005. Tahniah Zaid. Cuma kalau boleh Zaid, di lain kali, berilah ucapan terima kasih sebanyak-banyaknya kepada warga PTS, bukan sekadar mengatakan, “Alhamdulillah. Duit Raya.” Orang memberi kita merasa; orang berbudi kita berbahasa. Ini peringatan untuk diri saya juga yang sering alpa.

Yang lain itu saya belum mengenali, InsyaAllah, suatu hari nanti akan mengenali mereka. Mereka adalah saudara-mara, kaum kerabat saya juga kerana kita di bawah satu payung.

Sekali lagi syukur ke hadrat Allah SWT. Di samping itu ucapan terima kasih sebanyak-banyaknya kepada:

1. Mbakyu Ainon Mohd yang mencorakkan dan menerajui PTS.

2. Arief yang memacu PTS

3. Team PTS PRO yang mengetengahkan buku saya. Istimewa untuk Nazrul, Rozita, Celan, Aizat dan Fadzli Yahya.

4. Iwan, designer kulit buku tersebut. Juga Team Designer lain — Hisyam, Wanzu.

5. Team pemasaran PTS yang diketuai oleh Zaharin (Zet) dan Zain.

6. Team finance, terutama kepada Faraliza dan Norizah (royalty girl, kena berbaik-baik dengannya ) yang comel dan selalu senyum.

7. Team pembekalan — Puan Khalilah dan Puan Halimaton.

7. Semua sahabat saya di PTS Wangsa Maju.

8. Semua sahabat saya di PTS Batu Caves.

Saya manusia biasa, hanya mampu mengucapkan terima kasih. Semoga Allah SWT sentiasa melimpahkan Rahman dan Rahim-Nya untuk anda semua yang terlibat dengan penerbitan dan pengedaran buku-buku tersebut di atas.

 

 

Razzi Armansur

Razzi Armansur

Once a writer always a writer.