Razzi Armansur

Tap, tap, tap… habis usia

Suatu masa dulu, zaman peralihan antara remaja dengan dewasa, zaman bujang, semasa tinggal di Seksyen 51A, Petaling Jaya, saya berkawan dengan seorang “petty trader” yang berasal dari Pakistan. Namanya Arif. Komoditi jualannya ialah kain, karpet, perhiasan dan seumpamanya. Sistem perniagaannya? Jualan langsung.

Apa yang menghairankan, dengan ‘dagangan’ seperti itu, mampu Arif dan ramai lagi “petty trader” seumpamanya, menghantar wang ke negara asal untuk menyara keluarga, belanja hidup di sini, menyimpan, bahkan melancong. Pelik kan?

Arif fasih berbahasa Melayu dan English. Saya pernah bertanya kepada seorang Bangla di stesyen minyak Petronas. Dia mengatakan, baru 3 bulan di Malaysia sudah boleh bercakap bahasa Melayu ‘broken’. Kemudian saya bertanya, “Jikalau saya di Bangla, berapa tahun saya boleh bercakap bahasa kamu?” “Hmmm… dalam 2 tahun.”

Entah di mana Arif sekarang. Masih Di Malaysia? Di Pakistan atau di Australia. Katanya, Australia negara mewah, gaji mahal dan sara hidup rendah, undang-undang ketat dan disiplin tinggi. Cuma sebahagian besar orang Australia tak suka warga asing, sebagaimana sebahagian besar dari kita tak suka pendatang asing, sama ada yang halal atau haram.

Kami pernah bersahabat baik, berbincang politik dunia, bisnes, budaya, buku, filem. Arif rajin membaca dan selalu datang ke rumah saya membaca dan meminjam buku. Namun minat utama ialah tentang perfileman. “Kamu kena tengok ‘Cry Freedom’. Saya sumpah, itulah filem terbaik. Kalau kamu tengok dan kata tak bagus, saya akan duduk di tengah jalan.” Esoknya saya menonton Cry Freedom di panggung Rex, di depan Kompleks Kotaraya, Kuala Lumpur. “Bagaimana si Arif boleh kata filem ini bagus?” Dari situlah saya mula mengenali tentang persepsi. Setiap manusia dikurniakan persepsi yang berbeza-beza. Arif berminat pada filem yang mengutamakan ‘Long Shot’ dan dialog. Saya mementingkan ‘action’.

Persepsi dan citarasa manusia berbeza-beza. Jadi, jangan sekali-kali terpedaya, kalau ada orang yang mengatakan makanan di restoran itu sedap sebab ia sedap mengikut citarasa dia, bukan anda. Lima orang yang melihat pokok pisang mempunyai 5 persepsi. Peniaga nasi lemak akan menumpukan perhatian pada daun pisang yang hijau, cantik dan tidak pecah-pecah; kaki lepak akan menumpukan kepada redup bawah pokok pisang itu; penternak babi akan menumpukan kepada batang pisang yang menjadi makanan kegemaran khinzir; kaki ekor akan menumpukan kepada keliling pokok pisang itu dan menjangkakan kawasan paling sesuai untuk menurun; manakala bomoh pula mengaitkan rimbun pokok pisang itu dengan pontianak harum sundal malam. Tahu apa makna sundal? Suindal adalah bahasa Jawa untuk pelacur. Sundal selalunya menyediakan servis pada waktu malam dan pakai harum-haruman, sebab itu ia harum. Sundal bolong = pelacur berlubang.

Arif meminati novel karya Arthur Hailey (Hotel, Airport, Blackout dan sebagainya). Datang ke rumah saya sama ada membacanya atau meminjam, kemudian membincangkannya, kerana Arif tahu saya sudah bercita-cita hendak menjadi penulis pada masa itu. Penulis non-fiksyen yang diminati bersama pula ialah Og Mandino. Saban hari berbincang tentang ‘mutiara’ dari dalam buku tersebut.

Arif juga tahu saya meminati bidang perfileman. Namun, saya bersyukur kerana hari ini saya tidak terlibat dalam perfileman. Banyak buruk dari baiknya. Suatu pagi, awal pagi lagi, Arif datang ke rumah saya, dengan wajah riang memberitahu ada peluang untuk belajar asas perfileman di dalam negara. Tiba-tiba fikiran saya bercabang, sama ada hendak memasuki perfileman atau penulisan.

“Hmmm… nantilah.” Kata saya.

Wajah Arif berubah, “Jangan itu macam. Nanti, nanti, nanti semua habis. Tap, tap, tap, habis umur.” Sambil memetik jari mengiringi, “Tap, tap, tap” tersebut.

Pada masa itu saya hanya senyum. Tapi kini, sesudah bertahun-tahun kemudian, saya semakin mengakui kata-kata Arif itu. Memang tanpa disedari, dalam diam, tap, tap, tap… kita sudah masuk dewasa dan kemudian veteran, tak lama kemudian kehidupan baru di alam barzah. Tap, tap, tap… usia sudah habis. Apa yang hendak kita lakukan semasa masih kuat bertenaga sudah tidak lagi mampu dilakukan. Itulah fitrah pusingan hidup — kecil, besar, muda, tua, mati dan akhirnya kehidupan baru di alam barzah menunggu saat perbicaraan di mahkamah Allah.

Hanya ada satu cara saja nak mengatasinya iaitu ‘cegah sebelum parah’. Jikalau sudah parah, apa lagi yang dapat dicegah? Bagaimana mencegahnya? Berhenti serta-merta mengucapkan dan menggunakan perkataan racun, “NANTILAH…” Inilah satu-satunya perkataan yang menghalang kita dari melakukan apa yang hendak kita lakukan.

Sangkaan kita, kita akan melakukan sesudah menangguhkan seketika. Ingatlah, sekali menyebut “Nantilah…” bersamaan dengan hilang selamanya. “Nantilah saya akan buat” bersamaan dengan, “Tak akan dibuat selamanya.”

Oleh kerana ia “racun” maka lazimnya racun akan membunuh dengan serta-merta atau perlahan-lahan. Sebagai manusia berakal, tak mungkin kita meneguk racun. Tapi, benarkah kita tidak “meneguk racun” yang amat berbisa itu.

Kehidupan akan “mati” atau “rosak” jikalau saban waktu kita menelan racun berbisa itu.

Bilakah masa yang dibolehkan menyebut “Nantilah…” itu? Hanya ada satu kelonggaran bahkan kemestian untuk menyebut dan melaksanakan, “Nantilah…,” iaitu ketika tergerak hendak melakukan keburukan dan maksiat. Ia akan menghalang anda.

Razzi Armansur

Razzi Armansur

Once a writer always a writer.