Razzi Armansur

Bukan di mulut, tapi di mana?

Sering saya bertanya kepada anak saya, “Malam ini siapa yang makan di restoran ini?,” merujuk kepada kereta yang diletakkan di luar restoran. “Antara dua darjat,” kata anak saya merujuk kepada campuran kereta mewah dan kereta yang tak mewah.

(photo)
Restoran eksklusif baru, milik Encik Salleh, masih dalam pembinaan. Segera dibuka sebelum hujung tahun 2008

Restoran-restoran tersebut didahului oleh Restoran Puteri yang dikaitkan dengan Rubiah Suparman, Habsah Hassan dan Tenaga Wan Bersaudara. Selang setahun kemudian terbina Bora Asmara di Jalan Besar Sungai Pencala, restoran ala Bali. Kini dalam pembinaan satu lagi restoran ekskusif ‘Laman’. Satu lagi yang sudah 80% pembinaan adalah restoran milik Encik Salleh yang belum mempunyai nama. Satu lagi medan selera yang agak moden bertentangan dengan Restoran Puteri di sempadan Taman Tun Dr Ismail ialah Rasta. Cuma saya tak berapa berkenan seolah-olah enggan mengakui berada di Sungai Pencala. Mengapa? Adakah kerana Sungai Pencala ini mundur? Luangkan masa melihat-lihat banglo, mansion, mini istana di sini. Tanya-tanyalah berapa orang Dato’, Datuk, Tan Sri yang tinggal di sini, termasuk seorang Tun — Tun Dr. Kang Razzi Armansur

Tahun lepas saya bertemu dengan Encik Salleh secara tidak sengaja ketika beliau sedang membersihkan kebunnya. Kami bersalam dan berkenalan. Terjalinlah persahabatan bagai sudah 100 tahun bersahabat. Meleret-meleret bercerita akhirnya tersebutlah perkataan SOLSIS (System Solution). Saya kenal dengan salah seorang pengasas SOLSIS. Apa itu SOLSIS? Ia dikatakan syarikat komputer pertama di Malaysia. Bukan menjual komputer tetapi menjual sistem. Kalau ikut istilah hari ini, mungkin agak tepat kalau disebut “IT”.

“Kami salah seorang yang mencipta sistem yang menjalankan komputer itu. Sebelum DOS lagi.” Bukan mencipta sistem komputer tetapi mencipta sistem yang menggerakkan komputer. Kalau sekarang ada beberapa OS (Operating System) seperti Windows (ada banyak jenis Windows), Linux, Mac, FreeBsd, kemungkinan OS seperti itulah yang dimaksudkan oleh Encik Salleh. Selepas itu bercerita tentang mainframe, reel, kertas lubang-lubang (sistem komputer zaman itu).

Setahun lepas Encik Salleh juga memberitahu yang beliau akan membina restoran di atas kebun beliau yang bernilai RM2 juta itu. “Ada ikan bakar” Katanya. “Saya nak bina bisnes ini ketika ekonomi down. Ini pengalaman saya. Dulu pernah bisnes ketika ekonomi menaik, kemudian ekonomi down, bisnes ikut down. Kalau bisnes masa ekonomi down, daya tahan kita lebih kuat dan berkembang sama masa ekonomi menaik.” Itu teori berdasarkan pengalaman Encik Salleh.

Sebelum puasa 2008 tempoh hari saya singgah di kebun beliau itu, sudah ada tapak restoran. Saya mengucapkan tahniah dan kami bersembang sehingga hampir Maghrib. Sebelum beredar, saya bertanya tanah di sebelah. “Oh ini nak jual, harganya RM2 juta.”

Tanah seekar di sebelah restoran encik Salleh berharga RM2 juta. Jika berkehendak mestilah ada komitmen dan kegigihan.

“Saya nak beli.” Kata saya sambil tersenyum-senyum.

Encik Salleh tidak tersenyum sama sebaliknya memandang saya dengan wajah serius, tidak riang seperti tadi. “Jangan hanya di mulut. Jadikan ia komitmen dan determination.” Kata Encik Salleh.

Apa istilah yang paling tepat untuk determination? Kegigihan? Apa makna kegigihan? “Terikat, jangan lepaskan sebelum mendapat”? Atau apa? “Jangan berhenti sebelum mendapat”? Atau, “Mesti dapat walau apa pun terjadi”. Atau mungkin, “Tiada kuasa manusia yang boleh menghalang dari saya mendapatkannya.” Begitu?

Seorang tokoh yang saya lihat mempunyai determination yang tinggi adalah DSAI. Apa saja yang dilakukannya mesti berjaya walaupun mengalami beberapa siri kegagalan. Determination. Ini ditambah dengan karisma beliau. Apa pula istilah yang paling sesuai untuk karisma? Gambarannya begini: walaupun berada di dalam penjara mampu menggerakkan apa yang di luar penjara.

Jangan hanya di mulut. Setiap kali berkehendakkan sesuatu hendaklah disertakan dengan komitmen dan kegigihan untuk mendapatkannya. Itu yang saya pelajari dari Encik Salleh.

(photo)
Kejiranan: Jalan menuju ke Country Height Damansara. Kawasan elit seperti Country Height Kajang. Ia di Sungai Pencala, tetapi disebut Damansara.

(photo)
Inilah harga tanah dan rumah di Country Height Damansara. RM8.4 juta. Jika berkehendak mesti ada komitmen dan kegigihan.

Razzi Armansur

Razzi Armansur

Once a writer always a writer.