Razzi Armansur

Testimoni? Tak payahlah…

Sebelum anda memikirkan untuk meletakkan endorsement pada buku anda, fikirkan impak negatifnya. Impak positif mungkin ada tetapi tidak sehebat impak negatif.

Zaman endorsement atau testamoni sudah berakhir. Ia memang hebat pada tahun 80-an dan 90-an tetapi tidak lagi selepas masuk tahun 2000. Tak tahu pula kenapa. Harapan, supaya testimonial itu akan meningkatkan jualan buku nampaknya berakhir dengan kekecewaan. Tidak ada bukti khusus, testimonial boleh meningkatkan jualan. Silap-silap ia adalah punca buku tidak laku.

Contoh testimoni:
“Buku ini bukan buku penglipurlara, dan fakta-faktanya tidak melencong, sesuai untuk dibaca oleh semua orang.” — Muthusamy Kurupayah, KFC, McD, SPM, PMR, UPSR.

Jika kita perhatikan, buku-buku dari luar oleh penulis-penulis besar, sekarang ini pun sudah tidak ada testimoni. Begitu juga dengan filem-filem besar. Tidak ada lagi testimonial atau endorsement. Testimoni utama ialah bila orang melihat siapa ‘Executive Producer’ dan ‘Pengarah’. Kalau ada nama-nama seperti Steven Spielberg, Ron Howard, John Woo, Micheal Bay… nak testimonial apa lagi?

(photo)
Keterangan gambar: Filem Transformer tidak perlukan testimonial atau endorsement, juga bukan hanya untuk remaja dan kanak-kanak. Kebanyakannya menonton filem ini 2 kali. Malah ada yang 5 kali.

Testimoni bolehlah dikatakan sebagai “dangerous game” jika diteliti. Mungkin kerana itu, buku yang laris dan mahu laris amat mengelak untuk diletakkan testimonial. Mungkin ini puncanya:

1. Impak negatif. Orang mungkin akan mengaitkan kandungan buku tersebut dengan orang yang memberi testimoni.

2. Impak negatif. “Siapa pula dia ini? Tak kenal pun…” Mungkin itu juga yang terkeluar dari fikiran pembaca bila melihat nama orang yang memberi testimoni.

3. Impak negatif. Mungkin terkeluar anggapan, “Bird with the same feather flocks together.” Penulis dengan yang memberi testimonial sama saja.

4. Berdasarkan pengalaman lalu, mungkin terkeluar anggapan, “Hmmm… mungkin kandungannya teruk sebab itu terpaksa ada testimoni…” Bolehkah di sini digunakan istilah, “Hero tidak didendang.”

5. Impak negatif juga kepada yang memberi testimoni — kalau kandungan buku teruk orang akan mengatakan, “Dia ini memang layak memberi testimoni kepada buku yang teruk.”

Saya tahu risiko dan impak ini kerana itu buku-buku saya tidak ada testimoni walaupun sebenarnya sangat mudah untuk mendapatkan testimoni hatta dari menteri sekalipun. Saya akan tunjukkan caranya berdasarkan pengalaman saya mendapatkan endorsement atau testimoni dari menteri. Tapi awal-awal lagi saya beritahu, ia adalah “dangerous game” — bila menteri tersebut sudah jatuh, buku anda akan ikut jatuh.

Pada tahun 1998, saya dan Albert Lim menerbitkan buku Azman Ching yang berjudul, “Khazanah MLM” yang boleh dikatakan ‘meletup’. Pelancarannya saja dihadiri tidak kurang 2,000 jemputan. Selepas itu berturut-turut mendapat liputan di TV3, akhbar, majalah.

Sebelum itu, siapkan layout buku terlebih dahulu dan kemudian layout buku tersebut dibawa kepada beberapa orang penting termasuk menteri dan timbalan menteri untuk mendapatkan testimonial. Banyak testimoni yang diperoleh. Itu semua dijadikan bahan untuk melariskan buku.

Itu cerita dua tahun sebelum millenium. Memang dianggap penting dan menyumbang melariskan buku. Kini suasana sudah berubah — testimoni kadang-kadang, tersilap langkah boleh memberi impak negatif.

Dua buku hits saya yang diterbitkan pada tahun 1994 dan 1996, “Membina Masa Depan Melalui MLM” mendapat testimonial Dato’ Mustapha Mohamad, Menteri Keusahawanan (pada masa itu). Buku “Berkongsi Untuk Berkembang” pula mendapat testimoni dari Dato Seri Megat Junid Megat Ayub, Menteri Perdagangan Dalam Negeri (pada masa itu). Bagaimana caranya? Buat layout terlebih dahulu, kemudian bawa layout tersebut bersama surat permohonan memohon sokongan berjumpa dengan setiausaha akhbar menteri. Dengan sopan, berikan kepada setiausaha sambil meminta pertolongan untuk mendapatkan sokongan dari menteri.

Tunggu… seminggu dua kemudian jika anda tidak mendapat surat sokongan (diposkan), telefon semula setiausaha akhbar tersebut untuk follow-up. Biasanya, antara 1 — 3 minggu anda sudah boleh mendapat testimoni berserta gambar menteri.

Itu saja caranya mendapatkan testimoni dari menteri, yang memang dianggap penting pada sekitar 80-an dan 90-an.

Saya pun masih mencari formula yang tepat untuk menggantikan testimoni. Mungkinkah kontroversi sudah boleh menggantikan testimoni? Bagaimana kalau satu-satu buku itu dikutuk? Lumrahnya manusia, makin dikutuk, makin dicari. Belum tentu, jika dipuji-puji buku anda dicari-cari.

Saya rasa, yang paling terbaik, bahkan sentiasa terbaik sepanjang zaman untuk apa saja produk, tanpa sebarang kos ialah “iklan dari mulut ke mulut”.

Menjadi trendsetter juga banyak membantu. Contohnya — bila saya meletakkan URL laman web ini di muka depan buku saya, kini ia menjadi ikut-ikutan. Saya letak kecil saja, tapi ada yang meletakkan besar seolah-olah ia sangat utama, sedangkan laman web dengan domain nama sendiri kini sudah menjadi sangat lumrah.

Contoh lagi: saya sedang beralih menulis buku bisnes atau inspirasi tetapi dalam bentuk fiksyen. Atau, di depan fiksyen, kemudian diterangkan di belakang dalam bentuk non-fiksyen. Khabarnya, ia sudah menjadi ikut-ikutan. Buku saya, “Jutawan MLM” yang diterbitkan pada tahun 1999 adalah contoh Bisnes Fiksyen. Begitu juga “Kampung Kaya” dan “Tukang Gunting Jutawan.” Kini pula, RAHSIA AJAIB yang ditulis dalam bentuk fiksyen.

Rahsia Dari Damansara yang diterbitkan dalam tahun 1988 pula ialah contoh buku yang saya sebutkan tadi — depan, permulaan adalah fiksyen; di bahagian belakang ialah non-fiksyen. Gabungan fiksyen dan non-fiksyen ini telah lama saya usahakan, baru kini mula menampakkan hasilnya. Hasilnya saya ukur dari trendsetter — berapa ramai yang mengikut jejak langkah saya itu.

Razzi Armansur

Razzi Armansur

Once a writer always a writer.