Permohonan kita kepada Allah setiap hari adalah memohon supaya diberi kebaikan, didekatkan lagi kebaikan supaya boleh kita memperoleh kebaikan dan memohon dengan penuh kesungguhan supaya dijauhkan keburukan dari kehidupan kita seharian sepanjang hayat.
Optimis dan yakin bahawa doa kita itu akan diperkenankan dengan syarat jangan hanya berdoa sebaliknya berusaha sebagaimana doa kita. Optimis juga adalah syarat utama supaya doa kita akan diterima dan dimakbulkan oleh Allah SWT. Lagi pun kalau tak optimis, buat apa berdoa. Kalau lebih yakin dan percaya tidak akan dimakbulkan, buat apa memohon, meminta? Sudah tahu tidak akan diberi, tak payahlah meminta.
Dulu-dulu pernah orang bercerita kepada saya akan syarat membela toyol. Kata mereka, orang yang membela toyol mestilah bekerja lebih kuat dari toyol tersebut. Tak boleh sama sekali, toyol bekerja keras merayau mencuri duit tetapi tuan rumah hanya duduk goyang kaki. Teringat saya akan syarat makbul doa. Kita mestilah berusaha lebih kuat sebagaimana yang kita pohon. Bolehkah doa makbul jikalau kita hanya duduk goyang kaki? Kita berdoa nak menjadi kaya tetapi hanya goyang kaki berharap duit melayang dari langit terus masuk ke dalam poket atau akaun bank. Alangkan Nabi pun berusaha dengan gigih, apatah lagi kita ini yang bukan Nabi. Bagaimana cara orang kaya bekerja, itulah yang perlu diikuti. Bagaimana orang kaya berfikir dan bertindak? Itulah yang perlu diikuti selepas berdoa. Berdoa minta kekayaan tetapi tidak ada sebarang usaha ke arah kekayaan, sampai kiamat pun doa tersebut tidak akan makbul.
Saya optimis, anda pun mesti optimis bahawa Allah SWT akan memberikan kita kebaikan dan menjauhkan keburukan dari kita. Mengapa saya optimis? Kerana ia terbukti sudah. Bahkan kalau pun belum terbukti, tetap saya optimis kerana tanpa optimis mustahil ia akan tercapai. Buktinya, kawan-kawan yang hanya merosakkan hidup saya sudah lama menjauh. Percayalah, jikalau anda optimis, anda akan mengalaminya juga.
Jangan sekali-kali mengambil ringan tentang perkara ini. Suasana membentuk kita. Dalam “suasana” ada kawan. Mungkin kita terasa, “Eh, mengapa dia sudah tidak menjadi kawan saya?” Ingat, Allah Maha Mengetahui dan Tahu mana yang baik dan buruk untuk kita. Kita kata baik tetapi kita tak tahu sama ada ia benar-benar baik pada masa akan datang. Yang tahu hanya Allah SWT. Jadi, redha dengan ketentuan Allah SWT. Contoh paling mudah — kita kehilangan telefon bimbit — selain memberi pengajaran kepada kita supaya sentiasa waspada dan berhati-hati, selalunya, yang hilang itu akan berganti dengan yang baru dan lebih baik lagi dari yang hilang. Ingatlah, semasa ‘parking’ unta sebelum melakukan Isra’ Mikraj, Jibrail menyuruh Rasulullah SAW mengikat untanya. Jibrail menebuk satu lubang pada batu dan meminta Rasulullah mengikat unta di situ. Sesungguhnya, tak ada kawasan yang selamat di muka bumi ini, zaman Nabi mahupun zaman sekarang. Di bumi Anbiya atau di Malaysia tanah airku nanti tercinta ini, tidak ada kawasan selamat. Sentiasa ada maling, pencuri, penyamun, dulu kini dan selamanya — sama ada menyamun, mencuri menggunakan pen dan kertas atau menggunakan senjata. Maksud lain adalah supaya kita sentiasa waspada dan menjaga harta benda kita. Itulah pengajaran yang paling berharga apabila kita kehilangan sesuatu.
Kawan, sahabat, teman adalah manusia-mansuai yang kuat pengaruhnya kepada kita. Tanyalah kepada penagih dadah yang berjuta-juta di Malaysia ini — apa punca mereka memulakan langkah pertama (tidak ada apa-apa yang terjadi tanpa langkah pertama) — jawapan mereka hampir sama — “suasana” dan “kawan”. Dua itulah punca penagihan dadah. Atau tanyalah kepada banduan — mengapa mereka menjadi banduan? Kebanyakannya memberi jawapan yang hampir sama iaitu kerana “suasana” dan “kawan”.
Bagaimana dengan yang positif? Tanyalah kepada orang-orang yang berjaya dalam bidang ekonomi, pendidikan, politik dan sebagainya. Maksudnya yang benar-benar berjaya bukan yang perasan berjaya — jawapannya hampir sama — “suasana” dan “kawan”. Mereka berkawan dengan kawan yang betul, membentuk suasana yang betul. Setuju?
Kawan-kawan saya ramai, tetapi sahabat saya terhad. Dulu lagi ramai tetapi satu per satu menghilang. Syukur Alhamdulilah — apabila yang buruk menghilang, yang tinggal hanya kebaikan. Ada jenis kawan “juta-juta” — tak menggunakan akal fikiran percaya boleh mendapat “juta-juta” ringgit dalam masa yang singkat — sama ada melalui bisnes atau pinjaman. Pelik atau tidak dengan membayar “wang pemprosesan” sebanyak RM2,000 boleh mendapat pinjaman bank sebanyak “berapa juta, cakap saja.” Itu namanya tak gunakan akal fikiran. Itu namanya menyalah gunakan pemberian Allah SWT — menggunakan akal hanya untuk perhiasan sahaja. Pelik atau tidak kalau tiba-tiba mendapat pesanan katalah 1 juta pokok benih kelapa sawit, katanya untuk dieksport ke negara Arab, sedangkan seumur hidup tak pernah melihat anak benih pokok kelapa sawit spesis Dura, Pisefera, Tinera dan spesis tempatan bernama Cemara? Apa hasil perkahwinan antara Dura dengan Pisefera (DxP)? Mengapa Dura mesti dikahwinkan dengan Pisefera? Kerana tempurug Dura tebal sabutnya nipis, tempurung Pisefira nipis, hancur apabila diproses, tetapi sabutnya tebal. Itu kena faham terlebih dahulu sebelum mendapat pesanan juta-juta. Berapa harga semasa anak benih kelapa sawit 12 inci pun hendaklah difahami terlebih dahulu. Kalau dah masuk bab eksport ke Timur Tengah kenalah faham betul-betul dengan LC (Letter of Credit), FOB. Lebih dari itu, jangan hanya tahu Free on Board (FOB) sahaja sebaliknya mesti faham bagaimana FOB itu dilaksanakan, siapa yang menanggung risiko, siapa yang menanggung insurans, tambang dan sebagainya.
Kalau nak tahu lebih lanjut tetang biji benih atau benih kelapa sawit, carilah di mana Datuk Mokhtar Hashim, bekas Menteri Belia dan Sukan. Sebelum menceburkan diri dalam politik beliau bertugas sebagai pengurus OPRS di Kelanang, Banting. OPRS adalah pusat kajian dan penghasilan biji benih dan anak pokok kelapa sawit. Siapa Mokhtar Hashim? Beliau pernah menggemparkan Malaysia kerana dijatuhkan hukum gantung pada bulan Mac 1983, kemudian dengan rayuan dijatuhkan hukuman penjara sepanjang hayat dan akhirnya diberi keampunan oleh Yang DiPertuan Agung dan dibebaskan. Tidak ada saksi yang sah. Beliau sangkut dengan ujian balistik, peluru yang digunakan untuk menembak Datuk Taha adalah peluru dari pistolnya. Tahu apa jenis pistolnya? Pistol yang digunakan oleh James Bond — Walther PPK, 7 peluru tetapi digalakkan mengisi 6 peluru sahaja supaya springnya tidak rosak. Yang lebih istimewa, Mohktar Hasim pernah mengajar saya tuisyen kelas malam. Isterinya, Cikgu Bahariah, salah seorang guru di SMK Telok Datok, Banting.
Kita teruskan lagi. Kawan yang mengatakan, “Tak apa, suatu hari mesti sangkut juga” ini dan berterusan percaya juta-juta boleh diperolehi dengan cara yang unik atau pelik mesti dihindari kerana ia mempengaruhi hidup kita. Ingat, air yang menitis pada batu boleh menyebabkan batu lekuk. Ingat, kawan begini boleh menyebabkan kita goyah dengan usaha kita, “Betul juga, aku buat bisnes ini dah bertahun tak nampak lagi hasilnya. Dia tu sekejap sahaja katanya boleh dapat juta-juta.” Yang anda terlupa ialah “juta-juta” itu bukan di tangannya sebaliknya nun jauh di langit biru sana. Orang kata, “Kalau nak dapat setempayan emas dengan mudah, tunggulah di hujung pelangi.”
Begitulah. Kita menjalani hidup kita sendiri. Kita ada cita-cita sendiri. Kita beli beras kita sendiri. Kita menanggung dosa dan pahala sendiri. Jadi, adakah kita akan membenarkan orang lain termasuk kawan yang merosakkan hidup kita itu mempengaruhi hidup kita? Baiklah, kalau dia benar-benar hendak mempengaruhi hidup kita ini, tanya kepadanya, “Bolehkah tolong belikan beras, belanja anak-anak sekolah, bil-bil, ansuran”? Jika boleh, tak mengapa, kita rela dipengaruhi. Tetapi kalau tak boleh, jangan membiarkan diri terpengaruh. Kita menguasai hidup kita sendiri, bukan kawan kita.