Ada seorang dua bertanya pada saya bagaimana cara untuk bercakap di khalayak ramai dengan hebatnya. Saya tak ada jawapan sebab saya pun tak hebat bercakap di khalayak ramai. Tapi saya tahu cara yang hebat iaitu dengan cara “modeling” yang saya pelajari dari NLP (Neuro Lingusitic Programing).
Apa pun pesan utama saya — isi mesti diutamakan. Tak guna kalau pandai cakap di depan tapi isinya kosong, angin, penglipur lara, mungkin merosakkan seperti yang selalu didakwa sebagai “Pakar Motivasi”. Kedua-duanya amat penting: Apa dan Bagaimana. Apa yang disampaikan dan bagaimana menyampaikan ? tidak boleh dipisahkan. Sejak bertahun ini, kita hanya mendengar ceramah yang mengutamakan “Bagaimana menyampaikan adalah lebih penting dari apa yang hendak disampaikan.” Sebab itu isinya tidak dipentingkan. Angin atau merosakkan tidak diambil kira sebab yang utama ialah bagaimana cara menyampaikan, supaya hadirin gelak-gelak dan pulang dengan membawa angin.
Bagi saya ada beberapa orang yang cara penyampaiannya hebat dan ada impak besar sebaik sahaja mendengar ceramah atau ucapan mereka. Ini bagi saya, tak semestinya sesuai untuk orang lain — Soekarno, Dato Seri Anwar Ibrahim, Mat Sabu, Azmin Ali. Saya akan melenting kalau diganggu semasa sedang mendengar ceramah mereka. September 1998, saban malam mendengar ceramah Dato Seri Anwar Ibrahim secara live!
Bagi yang bertanya cara bercakap di khalayak ramai yang sehebat mereka, modalnya adalah murah. Modal utama ialah masa untuk melaksanakan teknik ‘modeling’. Beli VCD ceramah salah seorang tokoh di atas dan lihat berulang-ulang sehingga 100 kali, akhirnya cara penyampaian anda akan menjadi seperti mereka antara 90 hingga 95 peratus. Tak percaya? Memang tak percaya kalau tak mencubanya. Inilah asas NLP — “Apa yang orang lain boleh lakukan, kita boleh belajar melakukannya.”
Saya sentiasa teringat kata-kata seorang penulis best-seller di USA, katanya: “Saya menjadi penulis best-seller sesudah membaca 100 novel best-seller.” Jadi, anda dapat meneka, ceramah siapa yang saya dengar. Saya dengar ceramah kesemua tokoh di atas (kecuali Soekarno) sama ada melalui VCD atau online.
DSAI dalam satu ceramahnya ada menyebut sebaris ayat dari penyair Indon yang berbunyi, “Sambil membangun sambil meroboh.” Ayat ringkas yang sangat mendalam maknanya ? terjadi di depan mata kita setiap hari. Kita bangunkan masjid dalam masa yang sama kita robohkan moral kanak-kanak, remaja dan dewasa. Kita bangunkan negara dalam masa yang sama kita robohkan bukit dan pokok. Kita bangunkan industri dalam masa yang sama kita runtuhkan alam sekitar. Berterusan. Semuanya tepat berlaku di depan mata kita, namun tidak ramai yang sedar.
Suatu malam, saya mendengar ceramah agama yang sangat menarik, bukan dari ustaz atau ustazah selebriti tetapi dari penceramah yang tidak terkenal. Katanya, “Kalau kita diikat dengan rantai besi sekalipun, kemudian di depan mata kita, anak kita sedang di sembelih, kita akan meronta sehingga rantai besi boleh putus. Betul begitu?” Pendengar termasuk saya mengangguk. “Tak betul!” Kata penceramah itu. “Setiap hari, kita membiarkan anak kita disembelih, di depan mata kita. Kita tak meronta mahu menyelamatkan, sebaliknya mendiamkan diri, rela anak kita menjadi korban media, disembelih setiap hari. Mengapa tak meronta menyelamatkan anak kita dan diri kita sendiri?”
Benar sekali kata penceramah bukan selebirti dan tak pernah muncul di TV itu. Media milik kafir dan milik Islam “menyembelih” anak-anak kita, adik beradik kita setiap hari. Kita membiarkan. Mereka menyembelih, membunuh jiwa supaya jiwa anak-anak kita, adik beradik kita dan kita sendiri mati, hilang rasa cinta pada Islam. Supaya Islam dijauhi. Supaya menganggap Islam adalah agama kemunduran dan ganas. Supaya berasa malu jika diri beragama Islam. Sambil membangun, sambil meroboh. Kita kononnya bangunkan Islam, dalam masa yang sama media milik orang Islam sedang menyembelih. Sambil membangun, sambil meroboh, sambil menyembelih. Serampang tiga mata.