Tiga minggu lepas, sekali lagi saya ke Banting, khususnya ke Kampung Sungai Lang untuk membuat kajian, mencatat, mengambil gambar untuk buku baru berjudul “Senarai Ajaib” (judul belum lengkap) seakan sambungan “Rahsia Ajaib Untuk Berjaya.” Menurut Nazrul Samsudin, pengurus PTS PRO, buku “Rahsia Ajaib Untuk Berjaya” begitu laku! Jadi, apa lagi, mestilah segera membuat sambungannya yang sememangnya sudah bergelora di dalam otak saya.
Semasa pulang, singgah di warung yang terletak di Sijangkang. Inilah yang menghairankan saya dan rasanya juga menghairankan orang ramai. Warung tersebut ramai sekali pengunjungnya. Tetapi warung di sebelahnya tak ada pengunjung langsung! Memang agak pelik sekali suasana begitu di mata saya. Kalau warung sebelah itu ada beberapa manusia taklah menghairankan sangat. Ini memang bertentangan 180 darjah. Warung sebelah kosong! Mengapa? Memang menghairankan.
Apakah daya tarikan utama sebuah kedai makan, gerai, warung, restoran? Selalunya ialah: makanan yang sedap, suasana selesa, bersih, servis yang bagus, kepantasan sampainya makanan. Rasanya, warung tersebut tidak ada semua itu. Yang ada hanya satu saja: kepantasan. Contohnya sate yang yang dihidangkan pantas sampai sebab sudah dibakar lama, menjadikan sate tersebut keras dan hilang rasanya. Ia seperti anda membeli sate bungkus, sampai rumah dah kurang sedap.
Kepantasan juga disebabkan makanan di situ semua sudah disiapkan, tinggal mencurahkan kuah saja. Tentu berbeza dengan gerai tomyam yang kadangkala menunggu air botol pun sampai setengah jam!
Sate di warung tersebut bagi saya tidak sedap. Itu tekak saya, berbeza dengan tekak orang lain. Satenya keras sebab telah siap sedia dibakar, tinggal menghantar sahaja. Sebaiknya walaupun sudah dibakar, bakarlah separuh masak. Apabila ada pesanan, bakar sepenuhnya.
Bagi saya sate paling sedap pernah saya makan bukan sate Kajang tetapi sate Kampung Indah, Banting, suatu masa dulu. Satenya diletakkan herba khusus bernama kelembak yang wangi. Suatu masa dulu MARA membina 2 kedai sate yang bernama Sate Ria. Tapi pendek umur. Saya ingat-ingat lupa kedainya. Kalau tak silap sekitar Medan Tuanku, Kuala Lumpur di depan Maju Junction itu. Tetapi rasanya saya kekal ingat. Memang sedap dan memang ada herba kelembak yang diimport dari Indon. Kelembak ini menjadikan rasa sate wangi dan berbeza rasanya. Orang-orang Jawa yang merokok menggunakan tembakau yang ditanam sendiri, menjadikan kelembak sebagai bahan tambahan untuk menyedapkan dan mewangikan rokok.
Bagi saya, sebagai penggantinya, sate yang ada kelembak itu, ialah sate yang dijual di Pantai Morib hanya pada hari Ahad itu. Memang sedap. Sate tersebut buatan orang yang sudah lebih 30 tahun membuat, membakar dan menjual sate. Tidak ada kelembak tetapi sedap. Orang Kampung Sungai Lang, namanya Saringat Polis, bekas jiran lama saya. Kenapa ada Polis? Sebab ada 2 Saringat (Sariat sebenarnya). Polis PVR masih ingat lagi? Atau Polis Sukarelawan seperti Askar Wataniah.
Rahsia untuk menjadikan sate lembut dan kekal lembut walau sudah lama dibakar ialah minyak zaitun. Jika diperap dengan minyak zaitun, sate menjadi kekal lembut!
Dengar khabar ‘mee jawa’ di warung itu sedap. Khabarnya begitu tetapi apabila saya merasa mee jawa di situ, rasanya seperti mee rebus! Saya belum pernah lagi terjumpa mee jawa yang sesedap mee jawa yang dijual di gerai depan Pejabat Pos lama Banting, sekitar tahun 80-an. Itu baru betul mee jawa. Kuahnya menggunakan keledek, kentang dan ditabur dengan serbuk ikan bilis goreng.
Satu lagi mee jawa yang enak tidak ada tandingannya ialah mee jawa di kantin Sekolah Menengah Kebangsaan Telok Datok zaman Dato’ Malek Redzuan (penyanyi “Cukup sampai di sini”) menjadi pekerja kantin tersebut.
Servis di kedai makan amat penting. Selain pantas mesti bermanis muka. Tetapi jangan harap di warung yang saya maksudkan. Di situ pekerjanya mungkin menganggap pelanggan sebagai menyusahkan dan musuh. Tapi pelik teramat pelik mengapa ramai berkunjung di situ? Adalah kerana iklan atau sikap ‘me too’ (apabila seseorang memandang ke langit, datang seorang lagi, dua, tiga, empat, lima, sepuluh orang akan memandang sama ke langit, padahal orang yang pertama tadi memandang ke langit kerana sakit leher). Bila melihat ramai dan dengar-dengar ramai, ramailah yang singgah di warung tersebut.
Selalunya, apabila keadaan seperti itu terjadi, maksudnya, jika satu kedai penuh sesak dan sebelah-menyebelah lengang, orang akan mengatakan, “Pakai jampi, mandram.” Memang selalu kedengaran begitu jika warung Melayu atau Siam. Tetapi yang paling kerap kedengaran ialah peniaga Melayu. Yang peliknya KFC dan McD tak payah pun pakai jampi, sentiasa penuh sesak.
Tapi, ini peringatan yang pernah saya dengar. Jangan sekali-kali ‘main jampi atau mandram atau bomoh’ dan seumpamanya. Jangan sekali-kali. Kesan buruknya pada masa akan datang kerana kita tak tahu apa yang dijampi. Kalau benar hendak pelaris, gunakan saluran biasa — puasa, solat hajat, berdoa, memohon kepada Allah, terus, langsung tanpa menggunakan orang tengah seperti bomoh. Ingatlah, kesan buruknya akan diterima di kemudian hari. Itu yang pernah saya lihat dan dengar.