Pada tahun 80-an (mungkin 88) ada seorang lelaki ditangkap oleh pengawal hospital di perkarangan HKL. Sebabnya, menyamar sebagai doktor. Cara menyamar? Memakai ‘baju doktor’ dan gantung stethoscope di leher. Di dakwa? Tidak tahu. Kalau didakwa apa kesalahannya? Di bawah akta apa?
Sebelum ini, seorang penipu yang menyamar doktor dari luar negara telah didedahkan di dalam Malay Mail, tak pasti didakwa atau tidak. Kalau didakwa bukanlah atas sebab menyamar sebagai doktor, bergambar gantung stethoscope di leher. Didakwa atas penipuannya, bukan penyamarannya. Menyamar doktor untuk menguatkan penipuan. Tetapi, kantoi. Dia kata dia ‘Doktor patologi’ (bedah mayat) — apa perlunya doktor patologi pakai stethoscope? Nak periksa nadi mayat?
Soalan seterusnya — adakah stethoscope dan white coat (baju doktor) itu pengesahan membuktikan seorang doktor perubatan? Orang yang menyamar sebagai doktor di HKL tadi adakah bersalah memakai white coat, gantung stethoscope, berjalan-jalan di hospital, masuk ke dalam wad, tidak memeriksa sebaliknya singgah pada pesakit, tanya khabar. Adakah bersalah? Apa salahnya? Menyamar sebagai doktor? Apa buktinya dia menyamar sebagai doktor? Adakah dengan memakai white coat dan stethoscope ada akta yang mengatakan ia perbuatan menyalahi undang-undang?
Kalau begitu, nampaknya kenalah tangkap sekali promoter Colgate yang memakai white coat. Farmasi pun kena serbu sebab menjual stethoscope.
Bagaimana pula dengan orang yang menyamar sebagai Dr. PhD, (Dr. Ayam), seperti Dr. Azizan, Dr. Hang Tuah, dan ramai lagi? Hanya boleh didedahkan sebagai Dr. Ayam tapi sampai sekarang tidak ada akta untuk mendakwa. Pernah ada yang kena dakwa? Untuk menguatkan kes, mungkin boleh, tapi pendakwaan di mahkamah sebab letak Dr. di depan nama, nampak belum ada lagi. Tapi nak mengenali sangat mudah — terlalu ‘menDoktorkan’ dirinya.
Begitu juga dengan yang letak Dato’, Datuk, Dato’ Seri, Dato’ tipu di depan nama. Ada aktanya? Ada orang kata Dato’ beli. Kerja bodoh, tak payah beli, letak saja depan nama, bukan ada undang-undang yang mengatakan ia salah.
Dan yang paling dahsyat menyamar sebagai ‘Prof.’ Tudia. Bukan pensyarah IPTA tapi JAWATANnya Prof. Atau pernah berjawatan Prof, berhenti, bukan gelaran Prof. Emiritus tapi kekal letak Prof di depan nama. Contohnya Doktor mata yang kaki meracau itu. Kelakarnya..
Begitulah kisahnya stethoscope dan white coat yang dijadikan branding Doktor perubatan. Kalau ke hospital, nampak yang muda2 gantung stethoscope dan pakai white coat sepanjang zaman itu ialah doktor housemanship (pelatih) atau doktor baharu. Kalau doktor yang dah ‘season’ kita kenal pun tidak sebab tidak ‘menDoktorkan’ dirinya dengan identiti stethoscope dan white coat.