“Ketua Saintis Dunia” bertanya dalam ‘kuliah’nya, “Apa sebenarnya berfikir di luar kotak?” Tak ada jawapan. Sekali lagi dia bertanya, “Boleh beri contoh berfikir di luar kotak?” Masih tak ada jawapan.
Beliau kemudian memberikan jawapan. Beliau melukiskan gambar kotak, kemudian melukiskan anak panah melengkung di luar kotak. “Beginilah berfikir di luar kotak. Ini kotak, ini luar kotak. Berfikirlah di sini, di luar kotak. Mudah saja.”
Saya dan ramai lagi hadirin senyum simpul.
Adakah “Ketua Saintis Negara” (itu tulisan yang selalu digantung di leher beliau) menyindir? Saya tidak tahu. Di Malaysia ini bahasanya trendy. Yang menyedihkan sekali, ramai yang hanya tahu menyebut, tetapi tidak tahu apa sebenarnya yang dikatakan atau dituliskan. Hanya berasaskan dengar-dengar. Little knowledge is dangerous.
Melebihi semuanya, perlukah berfikir di luar kotak itu? Bagaimana cara berfikir di luar kotak. ‘Bagaimana’ amat penting sebab ramai yang hanya tahu ‘Apa’ dan ‘Mengapa’. Jargon itu digunakan untuk menunjuk pandai dengan meramaikan menyebut “Berfikir di luar kotak” tapi sebenarnya tak tahu atau tahu sikit-sikit berdasarkan dengar-dengar.
Kalau ada berfikir di luar kotak, apa dan bagaimana sebenarnya berfikir di dalam kotak? Kalau setakat cakap, budak tadika pun boleh bercakap begitu. Yang budak tadika tidak boleh buat ialah menerangkan ‘Bagaimana’.
Perlukah berfikir di luar kotak atau ‘thinking out of box’ itu? Selama ini berfikir di mana?
Jangan tanya saya sebab saya tak tahu dan tak mahu tahu. Bagi saya ia bukan benda utama, bukan masalah negara. Hanya sekadar jargon bahasa yang sedikit pun tak ada faedah. Hanya ayat untuk menyedapkan mulut kononnya pandai jika menyebut ayat seumpamanya, padahal hanya sekadar berasaskan dengar-dengar sahaja. Tak percaya? Cuba tanya kepada yang menyebut begitu, anda pasti akan mendapat jawapan yang berbeza-beza. Sepuluh orang yang ditanya, sepuluh jawapan memandai yang akan anda terima.
Persamaannya? Tanyakan kepada orang yang bercakap tentang “biotek” (termasuklah pelajar yang belajar biotek, bukan hendakkan ilmu tetapi hendakkan kertas), anda akan mendapat jawapan yang berbeza-beza berasaskan dengar-dengar sahaja. Bukan fakta. Kalau diberitahu, “Nenek moyang kita sudah melaksankaan biotek sejak dahulu kala. Tapai, tempe adalah contoh mudah biotek, betul tak?” Jawapannya pasti, “Eh bukan…” (dengan nada tinggi dan bodoh).
Begitu juga, jika anda bertanya tentang “IT” kepada orang yang bercakap mengenainya (sudah semakin reda), pasti anda mendengar jawapan berbeza-beza yang memandai, berasaskan dengar-dengar. Bahkan lebih lanjut lagi jika anda bertanya apa makna perkataan “IT” itu, maka lebih ramai yang menjawab dengan memandai dan melucukan, sama lucunya bila mendengar jawapan, “Itu ha… IT tu komputer…” atau, “Biotek, itu ha, yang Perdana Menteri galakkan…”
Bagi saya, “Berfikir di dalam kotak” atau “Berfikir di luar kotak” tidak lebih dari jargon dan bombastik bahasa. Tak ada keperluan di situ.
Suatu masa dahulu selepas buku “7 Habit” begitu popular, berkumandanglah di Malaysia ini perkataan-perkataan bombastik seperti, “Anjakan paradigma,” “win-win,” “proaktif” dan sebagainya. Satu lagi trend bahasa supaya dipandang gah. Malangnya, seperti biasa, oleh kerana kita hendak tahu, kita bertanya, jawapannya pelik dan melucukan.
Bolehlah selepas itu kita mengajak berbincang, “Mana ada suasana win-win di muka bumi ini? Satu pihak mesti menang dan satu pihak mesti kalah. Ada untung, ada rugi, ada kaya ada miskin. Ada pekerja, ada majikan. Ada penjual ada pembeli.” Kalau ada win-win pasti sepanjang masa perlawanan bola sepak sentiasa seri. Kalau ada ‘win-win’ tentu semua menagih dadah, tak ada pengedar dadah.
Jargon tersebut sebenarnya sudah kita alami (tanpa bombastik dan jargon bahasa) sejak nenek moyang kita dahulu. Dan ia adalah ajaran Islam. Tetapi, oleh kerana ia dari Islam dan ada unsur Islam, maka ia ditenggelamkan. Mengapa tidak mahu mendengar kata-kata Tuan Guru Nik Aziz, “Tunjukkan saya di mana kurangnya Islam?”
Kita perhatikan ‘menang-menang’ atau ‘win-win’. Bukankah kita sudah ada ‘adil dan saksama’? Mustahil manusia mampu berlaku adil dan saksama. Kalau beristeri dua pasti melebihkan isteri yang muda. Salah seorang isteri mesti menang dan salah seorang mesti kalah. Kerana itulah disebut, “paling hampir kepada adil dan saksama.” Masih percaya dengan suasana ‘win-win’?
Selepas itu, “Anjakan paradigma” yang berkumandang dijaja ke hulu hilir. Islam sudah mengajar tentang “Hijrah” maka apa perlunya jargon dan bombastik selain dari Hijrah, Revolusi, Reformasi, Perubahan?
Kita sudah ada “Luas pemikiran, berfikir dari berbagai sudut,” jadi apa perlunya “berfikir di luar kotak”? “Berfikiran sempit” kita telah mendengar sejak berabad, mengapa perlu mengelirukan masyarakat dengan perkataan, “Berfikir di dalam kotak.”? Tak ada faedah sama-sekali.
Berfikir dari semua sudut. Jangan memikirkan hanya di satu sudut sahaja. Ia sudah wujud sejak berabad dan telah dilaksanakan dengan jayanya, tanpa perlu mengubahnya menjadi jargon dan bombastik yang mengelirukan.
Suatu masa dulu, seorang penceramah Taiwan yang bernama Wilson (bukan pakar motivasi) datang ke Malaysia, berdiri memberi ceramah (bukan motivasi) tentang bagaimana cara bertindak. Sahabat saya, Albert Lim yang membawa beliau masuk ke Malaysia untuk memberi ceramah.
Semua buku beliau amat laris di kalangan pembaca Cina. Semua buku beliau membawa fahaman “Bertindak” atau “Now Act”. Memang tepat sekali, sekarang bukan zaman berfikir dan bercakap sebaliknya zaman bertindak. Semua orang boleh berfikir dan bercakap tetapi hanya sebahagian kecil sahaja boleh bertindak.
Jadi, perlukah berfikir di luar kotak itu? Tak perlu, sebab yang paling utama ialah bertindak. Jangan hanya berfikir. Kalau boleh berfikir tentu sekali bersedia untuk melaksanakan dan apa yang telah difikirkan itu.
Bertindak di luar dan di dalam kotak, bukan berfikir di dalam dan di luar kotak. Berpijak di bumi nyata bukan merapu atau mengarut.