Razzi Armansur

Bom atom dengan harimau

Apabila bom atom digugurkan di Nagasaki dan Hiroshima, Jepun punah. Kuasa ketenteraan Jepun di Asia, musnah. Jepun bukan saja tersungkur tetapi telah hilang maruah dan harga diri. Bagaimana, dari sebuah negara yang telah terperosok nun di bawah sana dari banyak segi termasuk harga diri, bangkit dan kemudian menjadi kuasa ekonomi nombor satu?

Kita kembali ke pangkal, selepas bom atom digugurkan. Keadaan menjadi tidak tentu arah. Pada masa inilah Maharaja Jepun menyeru rakyatnya dengan kata-kata semangat. Antara lain menyebut, “Marilah kita bangun semula, sama-sama menebus maruah negara kita yang telah musnah. Kita kini dalam kesusahan, janganlah terus tenggelam dalam kesusahan. Kita ada daya untuk bangun semula dan seterusnya berkuasa semula. Jalannya tidak mudah tetapi tidak mustahil.”

Itulah kata-kata hikmat dari Maharaja Jepun. Rakyat bangun semula dan membina Jepun dengan gigih. Kini, kata-kata Maharaja Jepun itu menjadi kenyataan. Jepun berkuasa semula di seluruh dunia, bukan melalui ketenteraan tetapi melalui produk. Tidak ada sebuah rumah pun di Malaysia yang tidak ada produk Jepun. Walau papa kedana bagaimana sekalipun pasti ada produk Jepun di rumah. Sekurang-kurangnya ada selipar Jepun.

Apabila dilanda malapetaka begitu, Maharaja Jepun tidak berkata, “Oh… tak ada apa-apa. Ekonomi kita tidak akan terjejas sebab kita mempunyai kekuatan dalaman. Kemelesetan ekonomi dunia tidak akan menjejaskan Malaysia.” Siapa yang hendak diperbodohkan? Apa motif menyebut begitu? Mengapa tidak seperti Maharaja Jepun yang menyeru kebangkitan? Bukankah benar belaka apa yang kita dengar selama ini, “Meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya, tunggulah kehancurannya.” Apabila bukan bidangnya, mengeluarkan pendapat, dan kita percaya pendapat yang hanya keluar dari mulut tanpa kajian, tunggulah akibat buruk. Sama seperti kita terpedaya dengan temberang penjual ubat. Dia bukan doktor, dia bercakap ikut mulut, memandai tanpa fakta dan kita terpedaya lalu membeli ubat kuat yang memudaratkan itu. Kita percaya dengan lagak sakti bomoh di tepi jalan yang menjual ramalan nombor ekor lalu kita terpedaya sedangkan jikalau mengikut hukum akal, dia tidak duduk di kaki lima begitu kalau boleh meramalkan nombor ekor. Konon katanya, “Tujuh keturunan tak boleh beli nombor ekor.” Apa susah, kirim saja dengan kawan.

Atas dasar fakta apa jikalau mengatakan kegawatan ekonomi dunia tidak akan menjejaskan Malaysia. Atas dasar apa, tidak akan terjejas jikalau ekonomi Eropah, Jepun, Korea, Singapura sudah mula goyang? Bagaimana pula Malaysia boleh terlepas. Ada bomoh tolong jampikan supaya ekonomi Malaysia tidak terjejas? Atas dasar apakah kalau negara-negara jiran pasti terjejas, kita pula Malaysia tidak akan terjejas? Ada bomoh ekor tolong pertahankan?

Alangkah lucunya, jikalau ‘bailout’ dikatakan mampu mempertahankan atau memulihkan ekonomi. Ekonomi siapa yang pulih dengan bailout? Ekonomi rakyat atau ekonomi seorang dua? Kalau benar ada peruntukan RM5 bilion, gunakan wang itu untuk membangunkan pertanian. Bagi saya salah satu cara untuk mempertahankan dan memulihkan ekonomi adalah dengan menaikkan industri pertanian.

Kita telah mengalami keadaan ekonomi yang begitu hampir dengan keadaan sekarang pada atau mulai tahun 1998. Teori bailout telah digunakan dan gagal. Teori kononnya menaikkan indusri pembinaan untuk menaikkan ekonomi juga gagal 100% dan hampir tidak ada kena mengena. Saya menjerit dalam hati supaya menaikkan industri pertanian, tapi jeritan itu hanya saya yang mendengarnya. Kalaulah mulai dari tahun 1998 itu kita sudah mempergiatkan industri pertanian, pasti kini kita tidak terjejas teruk dengan keadaan ekonomi dunia. Kalaulah pertanian kita untuk domestik, kita telah pun menjimatkan sekurang-kurangnya RM5 billion setahun bagi import makanan.

Kalaulah kita mementingkan tindakan lebih dari publisiti, sudah pasti kuranglah terjejasnya temparan (atau tendangan) kemelesetan ekonomi dunia ini. Gong, canang, kompang dipalu untuk menghebohkan tentang ‘biotek’ tetapi tindakan menggunakan biotek untuk mempertingkatkan pertanian hampir kepada zero. Di Malaysia ini, nampaknya perkataan pertanian membawa pengertian yang memalukan. Buktinya: Universiti Pertanian Malaysia ditukar menjadi Universiti Putra Malaysia. Bank Pertanian Malaysia dituklar menjadi Agro Bank. Menteri Pertanian diubah menjadi Menteri Asas Tani. Kita sudah lama menyoal, mengapa? Khabarnya kita nak kembali kepada pertanian tetapi mengapa simbol atau perkataan yang menjurus kepada industri pertanian dihapuskan?

Apa benda yang dihebohkan kekuatan dalaman kita ini? Kalau kekuatan ekonomi Amerika yang dikatakan kukuh itu tergelincir dan hampir kepada runtuh, kekuatan dalaman apakah di Malaysia ini? Kalau Thailand yang mengeluarkan makanan sendiri dan tidak banyak mengimport makanan pun sudah mula terjejas, adakah Malaysia yang mengimport makanan melebihi RM20 billion setahun tidak akan terjejas?

Mengatasi segalanya, apa motif mengeluarkan kata-kata bahawa ekonomi Malaysia tidak akan terjejas? Apa motifnya? Apa yang ingin disembunyikan? Untuk apa? Mengapa Maharaja Jepun tidak menyembunyikan kekalutan, kesusahan yang sedang dihadapi?

Selepas itu, kedengaranlah pelbagai suara dari mereka yang digelar atau menggelarkan diri mereka, “Pakar Ekonomi”. Kata-kata mereka disimpulkan sebagai menyokong kata-kata bahawa ekonomi Malaysia tidak akan terjejas. Ini ditambah dengan interview TV yang mengarut. Jikalau anda menentang kata-kata tersebut pasti interview anda tidak akan disiarkan. Sebaliknya jika anda menyokong kata-kata yang keluar dari mulut bukan dari fakta itu, sudah pasti interview anda akan disiarkan. Lebih menggelikan hati, ada yang berkata, “Ekonomi kita tidak terjejas, sebaliknya orang kampung yang akan terjejas.” Bila si bodoh berkata-kata, kata-katanya merosakkan diri sendiri dan orang yang mempercayainya. Jika anda ke Banting yang dikatakan kawasan kampung, lebih ramai yang jutawan (seekar tanah bernilai RM100,000 x 10 ekar = bernilai RM1,000,000 dan mendatangkan hasil tidak kurang RM10,000 sebulan). Cuba bandingkan dengan orang Kuala Lumpur sendiri. Mana lebih hebat? Ekonomi orang kampung atau orang Bandaraya? Lain kali hendaklah bercakap berlandaskan fakta bukan berlandaskan ‘dengar-dengar’ dan memandai sendiri.

Suatu masa dulu, bersama Azman Ching mendengar CD dari Haji Handaya Agung, penceramah Indonesia. Katanya, “Harimau di belakang sedang mengejar. Harimau di depan juga sedang hendak menerkam, masih lagi bersenang-lenang. Tunggu dibaham baru berusaha?”

Razzi Armansur

Razzi Armansur

Once a writer always a writer.