Razzi Armansur

Petua penting dari juara tinju

Selama 5 minggu berturut-turut saya bersama anak bongsu menonton filem lama, Rocky, bermula pada pukul 12.30 malam sehingga pukul 2.30 pagi, di TV3, malam Ahad.

Seperti biasa, selepas menonton kelima-lima siri, saya bertanya kepada anak saya, pengajaran yang diperoleh dari filem tersebut. Ini jawapannya — DETERMINATION — gigih, jangan berhenti selagi belum berjaya. Tukar haluan, tukar cara — asalkan sampai ke matlamat. Biar jatuh terperosok, bangun semula, lagi, lagi, lagi sehingga sampai ke matlamat, tepat seperti peribahasa Jepun, “7 kali jatuh, 8 kali bangun.” Atau kata seorang Jeneral perang bernama Patton, “Saya tak peduli berapa rendah kamu jatuh, yang penting ialah berapa tinggi kamu boleh melantun kembali selepas jatuh.”

Apa matlamat Rocky Balboa? World Champ! Adakah beliau berjaya mencapainya? Ya berjaya berkat kegigihan. Adakah kita akan berjaya mencapai matlamat kita? Ya, InsyaAllah, asalkan kita gigih, jangan berganjak selagi belum berjaya. Sesungguhnya bukan Rocky atau kita seorang yang berjaya mencapai matlamat berkat kegigihan, bahkan sudah berbilion manusia sejak zaman purbakala berjaya mencapai apa yang amat diperlukan berkat DETERMINATION.

Pelakon filem ini ialah Sylvester Stallone. Sekarang, jikalau disebut namanya, apa yang akan anda sebut? Apa ‘branding’ untuknya? Sylvester Stallone amat beruntung kerana beliau mempunyai dua branding: Rocky dan Rambo. Beliau berlakon dalam 5 filem Rocky dan 3 filem Rambo. Tetapi, nampaknya zaman ‘heyday’ Sylvester Stallone sudah berakhir. Ada cubaan untuk meneruskan siri Rocky — Rocky Balboa, nampaknya gagal. Begitu juga dengan Rambo. Baru-baru ini ditayangkan filem Rambo 4, tetapi nampaknya gagal mengembalikan kegemilangan Rambo 1, 2, 3.

Dalam filem Rocky 5 yang diterbitkan pada tahun 1990 ini Rocky tidak lagi bertinju disebabkan bahaya kecederaan di dalam kepalanya (atau otaknya) akibat bertarung dengan peninju Russia bernama Drago dalam filem Rocky 4. Tetapi, Rocky tetap mahu menjadi juara dunia. Peluang datang apabila Rocky memperoleh anak murid bernama Tommy. Rocky mendidiknya hinggalah sampai ke puncak. Sampai di suatu ketika orang ramai dan media menggelarkan Tommy ‘jelmaan Rocky’.

Gelaran itu dimanupulasi oleh seorang promoter bernama Duke (saya amat yakin ia adalah menyindir Don King, kerana perangai buruk promoter tersebut sama seperti Don King yang selama ini memerah jaguh-jaguh tinju dunia).

Dengan penuh keikhlasan dan kegigihan Rocky mendidik dan melatih Tommy, mencurahklan segala ilmu dan petuanya. Kata Rocky kepada Tommy, “Saya pun takut, semua orang ada perasaan takut. Yang penting ialah bagaimana kita mengawal perasaan takut. Kalau kita mengawalnya, ia akan menghangatkan diri kita, tetapi jika kita gagal mengawalnya ia akan membakar hangus diri kita.” Nasihat atau petua penting bukan saja untuk Tommy tetapi untuk kita semua. Kita, semua orang ada perasaan takut. Jika tidak ada perasaan takut, kita bukan manusia.

Duke mengapi-apikan Tommy dengan wang, kata-kata, perempuan, kemewahan. Tommy bernaung di bawah Duke dan semakin melupakan Rocky. Dalam satu pertarungan besar, Rocky kelihatan kecewa kerana Tommy tidak menyebut Rocky sebagai insan yang berjasa melatihnya sehingga menjadi juara.

Sekarang, bukankah perkara yang sama terjadi di mana-mana dan kerap sekali, bukan sahaja dalam sukan bahkan di dalam kehidupan seharian? Apabila kita berbuat kebaikan, bersedialah untuk menerima balasan yang setentang iaitu balasan buruk. Itu lumrahnya dunia ini sejak dulu sehingga sehari sebelum kiamat. Apabila kita berbuat baik, berbakti sesama manusia, tunggulah balasan keburukan yang akan diterina. Jangan berasa pelik kerana ia lumrah. Tidak tahu mengapa, tetapi saya yakin ia adalah ujian dari Allah SWT. Kerana itulah, setiap kali kita hendak berbuat baik, niat, tujuan dan motif kita hanya satu sahaja iaitu “kerana Allah” (kerana Allah yang suruh) — insyaAllah, jikalau kebaikan yang kita curah dibalas keburukan, kita tidak akan terasa apa-apa sama-sekali. Jika tidak “kerana Allah”, rasailah sendiri kesakitan yang amat sakit apabila kebaikan dibalas dengan keburukan.

Di akhir cerita Rocky 5, sungguh dramatik sekali apabila Tommy dan Rocky bertumbuk di tepi jalan, disaksikan ramai, seperti dalam gelanggang. Di sinilah, sebagaimana yang selalu dikatakan, “Yang benar tetap benar” — Rocky membelasah Tommy dan akhirnya terbukti siapa sebenarnya yang benar dan juara.

 

Razzi Armansur

Razzi Armansur

Once a writer always a writer.