Razzi Armansur

Sivaji Hancock

Sudah sekian lama teringin hendak menonton “Sivaji The Boss” yang dikhabarkan sebagai filem yang mengangkat industri filem India setingkat lagi.

Khabarnya di Klang dan Kuala Lumpur, sama ada gimik atau realiti, ada yang bertumbuk, pecah-pecah panggung kerana berebut hak penayangan filem ini.

Apabila berpeluang menonton filem ini secara percuma di TV2 pada malam Deepavali, memang sah, memang ia membawa industri filem India setingkat lagi. Apa yang heboh diperkatakan selama ini memang benar belaka. Filem “Sivaji The Boss” memang hebat.

Dalam filem, selain cerita, mesej amat penting. Cerita membawa mesej dan akhirnya menghiburkan. Inilah yang sukar diaplikasikan dalam filem dan drama Melayu. Tumpuan utama adalah hiburan dan mengetepikan mesej. Ceritanya pula, “Sudah boleh baca.” Sudah tahu apa penghujungnya sambil mengekalkan benda wajib iaitu hujan dan kuburan. Ada satu drama yang agak lucu yang saya ‘tertengok’ bukan ‘menengok’ — kisahnya, kononnya hendak memberi pengajaran, jangan derhaka pada ibu bapa — jadi gila, mati tepi sungai — kemudian ditanam dan yang paling mengarut kerana hendak menggambarkan balasan akibat derhaka, bekas isterinya datang dan meminta kubur digali semula, mayat ada ulat. Lucu? Memang lucu sebab terpaksa ‘berlubang-lubang’ ‘lopak’ di sana sini apabila hendak menyampaikan pengajaran atau mesej.

Penonton bukan bodoh. Jangan sekali-kali membuat cerita (dan menulis buku) dengan menganggap penonton atau pembaca di bawah kita. Anggap sama taraf atau lebih dari kita, adalah lebih selamat. Siapa yang diperbodohkan jikalau hendak membeli saham digambarkan bangunan bursa saham? Sedangkan semua orang tahu membeli saham adalah melalui broker saham atau selalu disebut sebagai sekuriti.

Berbalik kepada “Sivaji The Boss”. Sivaji adalah nama aktor terkenal yang setanding dengan M.G. Ramachandran (MGR). Kalau di Malaysia, taraf P.Ramlee. Sebab itu sebelum “mati” heronya menggunakan nama “Sivaji” dan sesudah “mati” dan berkepala botak, menggunakan nama “MGR”.

Pengajaran dalam cerita ini mudah saja: DETERMINATION. Jika hendakkan sesuatu menjadi kenyataan mestilah mara ke depan bukan berundur ke belakang. Walau apapun halangannya, pasti akan ditempuh dan dirempuh kerana GIGIH hendak mendapat hasil yang dikehendaki.

Mesej filem ini sama saja dengan filem Hancock: Bersedialah, apabila kita hendak berbuat baik, melakukan kebaikan, banyak sekali halangannya.

Memang agak pelik, tapi itulah hakikatnya. Apabila kita berbuat baik, banyak sekali halangan dan balasan yang tidak baik kita terima. Pelik? Apa nak dipelikkan, kerana ia telah terjadi sejak zaman purbakala.

Maksudnya, adakah kita jangan atau berhenti berbuat baik? Tidak begitu. Maksudnya di sini, kita mestilah bersyukur kerana diberi ujian. Memang ia ujian besar kerana apabila kita berbuat baik sepatutnya kebaikan yang kita terima, tetapi tidak begitu. Yang terjadi sebaliknya. Ia benar-benar menguji DETERMINATION kita. Sivaji hendak membina hospital dan universiti tetapi tentangannya sampai melibatkan nyawa. Hancock berbuat baik membantu manusia, mencegah jenayah tetapi balasan yang diterima bukan kebaikan.

Ia terjadi kepada semua orang, bukan sahaja Sivaji dan Hancock. Apabila kita berbuat baik, bersedialah, kita akan menerima balasan sebaliknya. Inilah realitinya. Di mana balasan kebaikan? Di hujung sana, setelah melepasi ujian. Sebahagian besar manusia berhenti serta-merta apabila menerima ujian walaupun pada kali pertama. Berundur serta-merta, setelah kebaikan dibalas dengan kejahatan. Hanya manusia yang ikhlas (tidak mengharap balasan) sahaja yang akan meneruskan. “Peduli apa mendapat balasan kejahatan. Aku bukannya mengharap balasan. Nak balas apa pun peduli apa!”

Suatu masa dulu, di akhbar Malay Mail tersiar cerita yang begitu menarik. Tajuknya, “The price for being honest.” Kisahnya, seorang lelaki India terjumpa beg yang berisi duit di dalam hotel. Lelaki ini jujur lalu dibawa beg tersebut ke balai polis. Tahu apa yang terjadi? Lelaki tersebut dimasukkan ke dalam lokap dan disiasat.

Bersedialah, apabila anda berbuat kebaikan, banyak ujian yang menanti. Jangan ambil peduli. Terus kepada niat dan usaha anda hendak berbuat kebaikan. Anda akan mendapat nikmat yang amat besar sesudah berjaya mengatasi ujian-ujian itu. Nikmat adalah berbeza-beza untuk manusia, bergantung kepada tingkatan ujian. Ujian adalah bukti kasih sayang Allah pada manusia. Bukan nikmatkah kalau diberi kasih sayang dan perhatian dari Allah? Alangkah beruntungnya jikalau Allah memberi perhatian dan mengasihi kita.

Jadi, lain kali apabila tersentak seketika kerana kebaikan dibalas dengan kejahatan, tarik nafas dalam-dalam dan berkata dengan padu, “Apalah ujian ini kalau dibandingkan dengan ujian yang diterima oleh Rasulullah, hampir sepanjang hayat baginda menerima ujian yang berat-berat belaka.” Barulah kita tersedar bahawa ujian yang kita alami memang terlalu kecil jikalau dibandingkan dengan ujian yang dialami oleh Rasulullah. Jikalau terdengar suara, “Nabi lain, apa pulak kita nak disamakan dengan Rasulullah…,” suruh orang yang berkata begitu pergi mengaji lagi, jangan hanya berasaskan ‘dengar-dengar’ sahaja. Suruh mengkaji berapa sifat wajib Rasul. Selebih dari sifat wajib Rasul, adalah sifat harus yang sama saja dengan kita manusia bukan Nabi.

 

Razzi Armansur

Razzi Armansur

Once a writer always a writer.