Semalam, Jumaat, Tuanku Mirzan, Yang DiPertuan Agung, sebagai meneruskan tradisi telah bersembahyang Jumaat di Masjid Sungai Pencala. Setiap Yang DiPertuan Agung pernah bersembahyang di Masjid Sungai Pencala. Yang pernah saya lihat ialah, Sultan Azlan Shah, Tuanku Jaafar dan semalam Tuanku Mirzan.
Bezanya, Tuanku Mirzan yang segak itu membawa perubahan — sebelum keluar bersalaman dengan rakyat yang menunggu hingga ke kereta (jenama Bufori — pernah tengok?), pegawai istana akan keluar dulu menghulurkan angpow kepada kanak-kanak. Untuk kanak-kanak saja, janganlah nak buat lawak, orang tua pun hulurkan tangan.
Melawak atau memang hendak? Kalau melawak memang tak geli, kalau nak, memang sejenis muka tembok. Pernah terjadi, pada bulan puasa dua tahun lepas, sebuah sekolah tahfiz membuat jualan kurma di depan masjid. Entah bagaimana, tersilap memberitahu, lepas saja habis solat Jumaat, berebut-rebut orang merebut kotak kurma itu. Bukan membeli tetapi mengambilnya dengan percuma. Satu pandangan yang menjijikkan. Takkan mereka tidak boleh gunakan hukum akal — apa logiknya kotak-kotak kurma itu diberikan dengan percuma? Takkan ada orang sedekah kurma berkotak-kotak begitu? Kalau pisang di masjid itu percuma, tetapi kurma tersebut untuk jualan amal. Bukan tak mampu membeli, tetapi memang begitu perangai semulajadi manusia.
Khabarnya di Sungai Pencala ini lebih ramai yang kaya. Khabarnya di sinilah lebih ramai jutawan (termasuk jutawan segera yang kembali menjadi cendawan segera) — tapi mengapa suka berebut-rebut seolah-olah ia memang untuk direbut. Kesimpulannya memang begitu — manusia, tak kira miskin atau kaya memang suka dan selalu berharap untuk mendapat sesuatu yang percuma. Memang begitu. Juga, manusia tak kira, miskin atau kaya, jutawan atau cendawan, lebih berminat hendak menerima berbanding memberi. Kalau boleh setiap saat hendak menerima saja, memberi tak payah.
Berbalik kepada lawatan dan sekaligus Tuanku Mirzan melakukan solat Jummat di Masjid Sungai Pencala. Apa yang ingin saya sebutkan ialah sekali lagi mengenai psikologi manusia yang perlu diberi perhatian serius. Ada kaitannya dengan peristiwa Tuanku Mirzan pertama kali melawat dan solat di Sungai Pencala yang semakin hilang seri kehijauannya ini.
Sebelum ini, setiap kali Jumaat, tak pernah terjadi tripping elektrik atau blackout. Entah kenapa — semalam, semasa Tuanku Mirzan melawat dan menunaikan solat — berlaku 4 kali tripping elektrik. Memang sangat mengejutkan. Ada yang mengatakan 5 kali, yakni sebelum khutbah sudah berlaku. Tak pernah terjadi. Tidak tahu mengapa, sempena lawatan penting, peristiwa penting, berlaku pula tripping begitu. Pelik? Memang pelik — mengapa sebelum ini tidak pernah terjadi, tiba-tiba semasa peristiwa penting berlaku perkara yang tidak diduga itu.
Kemungkinan besar overload kerana nampak gayanya aircon di masjid ini sudah mula berfungsi.
Solat adalah sama, tetapi yang membezakan ialah khutbah dalam solat Jumaat. Bukan solat Jumaat jika tidak ada khutbah. Sekarang bandingkan peristiwa ini: Mana yang lebih diingati — kandungan khutbah Jumaat atau elektrik yang 5 kali tripping? 99.99% lebih mengingati elektrik yang tripping berbanding kandungan khutbah Jumaat yang menyebut mengenai “Tatasusila”.
Yang negatif lebih diingati. Untuk mengelakkan negatif adalah mustahil kerana pasti akan terjadi. Yang boleh dilakukan ialah jangan menjadi seperti majoriti manusia iaitu lebih mengingati yang negatif, lebih menumpukan yang negatif. Kegembiraan bertemu keluarga selama 4 jam dilupakan, tetapi kemalangan terjatuh tangga selama 5 minit diingati sepanjang hayat.
Mungkinkah kerana itu muncul peribahasa, “Tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula tempat bermain.” Bermain itu kegembiraan, positif; jatuh itu kemalangan, negatif.
Memang, di masa lain pun, khutbah Jumaat memang jarang diingati. Bahkan dalam satu ceramah dahulu pernah terdengar, “Masa inilah jemaah ambil kesempatan tidur. Kalau imam itu sendiri tidak membaca khutbah, dia pun akan tidur sama.”
Memang begitulah sikap semulajadi manusia — yang negatif lebih diingati. Apa-apa yang negatif tentang diri kita lebih diingati. Dan tak mungkin kita 100% positif kerana kita ini bukan malaikat. Apa yang boleh kita lakukan? Bersedia dan dalam masa yang jangan pedulikan sangat kerana memang itu sikap semulajadi manusia. Kalau anda ambil peduli, jiwa anda yang merana. Diambil tahu atau tidak diambil tahu adalah sama saja — itulah yang akan tetap terjadi. Difikir atau dilupakan, itulah juga yang tetap terjadi.
Sebagai contoh mudah: anda dikenali ramai dan diminati ramai. Dalam satu majlis (sebagai contohnya forum) anda dikutuk. Anda mesti bersedia dengan Hukum Seimbang — “Ada yang menyukai, pasti akan ada yang tidak menyukai.” Itu saja pegangan anda — ada yang memuji, pasti akan ada yang mengutuk. Difikir, diingat, dibincang bagaimana sekalipun, itulah hakikatnya. Jadi, lebih baik diam-diam sahaja.
Dalam forum tersebut lebih ramai yang menyokong anda, tetapi ada 2 -3 orang yang membenci dan mengutuk anda (jika di alam cyber, ia adalah orang yang sama, menggunakan nama yang berbeza. Satu atau dua orang saja yang tidak suka anda tetapi menggunakan beberapa nickname untuk mengutuk anda.) Maknanya, lebih ramai yang suka anda berbanding yang tidak menyukai anda. Seorang kawan melihat dan tahu apa persepsi kawan anda itu? Persepsinya, anggapannya, tumpuannya hanya kepada orang yang mengutuk anda bukan kepada orang yang menyanjung dan membela anda. Adakah kawan anda itu bersalah? Tidak sama-sekali kerana memang itu sikap semulajadi majoriti manusia di muka bumi ini. Yang bersalah ialah anda kerana “ambil pusing”.
Kalau dalam “motivasi penglipurlara” (hanya “why” tidak ada “how”) — pada sekeping kertas putih yang besar, ada satu titik hitam, manakah yang lebih menarik perhatian? Jika anda ditanya begitu, jangan terus jawab, sebaliknya tanya kembali, “Bagi anda, mana pula yang lebih menarik perhatian?”
Buat bagaimanapun sekalipun, tetap manusia akan lebih terdorong untuk melihat yang negatif pada anda. Hendak mengelakkan negatif? Mustahil, melainkan anda malaikat.
Penyelesaiannya? Jangan ambil pusing. Jangan rosakkan jiwa dengan mengambil pusing tingkah semulajadi manusia yang memang tidak boleh diubah itu.