Razzi Armansur

Kata Ustaz Shamsuri Ahmad…

Dalam satu ceramah, Ustaz Shamsuri Ahmad memulakan dengan kata-kata yang amat ringkas tetapi padat dan penuh bermakna. Menggunakan loghat Utara yang agak tebal, beliau memulakan, “Kita hidup di dunia ini, satu saja tujuan kita iaitu nak berbuat baik. Tidak ada lain, selain nak berbuat baik. Yang lain kita tak mau buat melainkan hendak berbuat baik. Itu saja.”

Ringkas, mudah difahami dari seorang penceramah yang terkenal tetapi seperti enggan dikenali.

Mengapa ceramah Ustaz Shamsuri disukai ramai? Ramai yang menunggu ceramah beliau. Mengapa? Mudah saja: Pertama, beliau bukan manusia yang gila publisiti. Beliau berceramah kerana Allah dah menetapkan beliau sebagai penyampai ilmu-ilmu Allah. Ramai di antara kita yang tidak mengenali Ustaz Shamsuri kerana beliau tidak pernah mencari publisiti, sebaliknya, berterusan melaksanakan misi beliau. Bukan kerana publisiti tetapi kerana tanggung jawab dan amanah Allah.

Kedua: kandungan ceramah beliau memang berisi. Bukan angin. Ceramah beliau adalah fakta, bukan hembusan bayu. Tepat, bukan lari dari topik asal. Bukan cakap pasal bisnes tetapi hanya motivasi dan hype. Cakap pasal kewangan tetapi tidak ada ‘inflasi, nilai dan jumlah, Hukum 72 untuk mengira inflas, jumlah dan nilai’. Yang ada hanya motivasi dan penglipurlara.

Bukan tidak ada penglipurlara dalam ceramah Ustaz Shamsuri. Ada, tetapi hanya sebagai sampingan sebab beliau tahu ini adalah ceramah bukan persembahan lawak jenaka. Sesekali melawak dengan ringkas, bukan keseluruhan ceramah hanya gelak-gelak dan mengutamakan gelak-gelak bagi menutupi ‘angin’ dan ‘hembusan bayu’.

Ketiga: cara penyampaian. Kandungan penting, cara penyampaian pun penting. Hanya si bengong saja yang akan mengatakan, “Ia bukan apa yang disampaikan tetapi cara menyampaikan.” Mungkin itu amalan setengah penceramah — mengutamakan cara penyampaian bukan kandungan. Ia sama dengan “Bukan kameranya tetapi orang yang di belakang kamera.” Jikalau anda percaya dengan kata-kata tersebut, rosaklah hidup anda. Kedua-duanya amat penting: kandungan penting, cara penyampaian pun penting. Tetapi mengatasinya ialah kandungannya. Kamera yang bagus amat penting, orang yang di belakang kamera mesti pandai mengambil gambar.

Penyampaian Ustaz Shamsuri bersahaja, tepat, ringkas dan padat. Sesekali secara tidak sengaja akan membuat lawak yang saya rasa dia sendiri pun tidak sedar bahawa itu adalah lawak. Bukankah itu berbeza dengan penceramah lain terutama ‘penceramah motivasi’ yang mementingkan lawak-lawak, gelak-gelak untuk menutupi kelemahan dan kekosongan ceramah berbentuk “mengapa” bukan “bagaimana”.

“Kita hidup di muka bumi ini hanya hendak berbuat baik. Tidak ada lain.” Mari kita mencari-cari jalan untuk melaksanakan pesanan Ustaz Shamsuri. Tanpa jalan dan cara, ia akan hanya menjadi “mengapa” sahaja. Tidak ada apa-apa yang terjadi tanpa “Bagaimana”. Kalau hanya “mengapa” tak ubah seperti menteri bercakap. “Kita akan memerangi Along…” Kata menteri. Itu kenyataan berunsur “mengapa”. Mana “bagaimana”nya? Jangan cakap saja. Hendak menjejak Along amat mudah sebab iklan Along merata-merata. Inilah masalah utama di Malaysia ini, pemimpin-peminpin yang kita harapkan dapat memimpin kita hanya mengeluarkan kenyataan “mengapa” sahaja setiap hari dan sentiasa mementingkan publisiti. Jangan ingat hanya artis sahaja yang gila publisiti, menteri-menteri lagilah kemaruk publisiti.

Kepada siapa kita mesti berbuat baik? Sudah tentu kepada Allah SWT, manusia, alam sekitar. Itu sahaja. Hubungan dengan Allah, manusia dan alam sekitar hendaklah dijaga. Terjaganya hubungan itu bermakna kita telah melaksanakan sebahagian dari ‘berbuat baik’.

Bagaimana berbuat baik? Amat mudah — tidak melakukan kejahatan. Itu saja. Kita lakukan sebaliknya. Apa yang dikatakan kejahatan, jangan dilakukan. Jikalau tidak melakukan kejahatan, apa yang tinggal? Tentulah kebaikan. Kalau tidak mencuri, apa yang tinggal? Tentulah kebaikan — tidak lagi mengambil hak orang. Jikalau tidak masam muka kepada orang, apa yang tinggal? Tentulah selamba atau senyum. Jikalau tidak kedekut, apa yang tinggal? Tentulah bersedekah.

Setiap perkara di muka bumi ini berlawan. Ada kebaikan sudah tentu ada kejahatan. Kita diberi otak untuk memilih. Hendak memilih jahat atau baik. Itu sahaja. Kata Ustaz Shamsuri, “Kita hidup di muka bumi ini tidak ada tujuan lain selain kita berbuat kebaikan…,” maka kita hendaklah melakukan perkara yang berlawan dengan kejahatan. Tidak solat adalah kejahatan yang paling utama. Mengapa tidak solat? Bagaimana supaya sentiasa taat melakukan solat 5 waktu sehari yang wajib dan ditambah-tambah yang sunat? Tidak solat, gantikan saja dengan solat. Mudah sekali. Apabila kita sudah set, “mesti solat” walaupun nyawa sudah di kerongkong, pasti kita akan melakukannya. Jikalau sudah set kejahatan, “Lecehlah solat, tak payah solat” pasti tidak akan tergerak untuk melakukan solat.

Suatu masa dahulu seseorang yang tidak solat berkata, “Kenal diri dahulu baru kenal Tuhan. Kalau dah kenal diri barulah kita tahu kenapa kita perlu solat.” Ini kata-kata yang merosak. Segera saya bertanya, “Tapi kita wajib solat kan?” Dia pusing lagi entah sampai ke mana-mana untuk ‘menghalalkan’ tidak solat. Saya tanya lagi, “Tapi solat itu wajib kan? Setiap orang Islam mesti solat. Rukun Islam.” Dia pusing lagi sampai ke hujung dunia. Saya tanya lagi, “Tapi, cakap macam mana sekalipun, solat itu wajib dan mesti dibuat?” Terus dia senyap. Jikalau dia berterusan pusing sana-sini, tetap saya akan bertanya soalan yang sama, “Solat itu wajib kan?”

Sesama manusia, jangan sekali-kali melakukan kejahatan sebaliknya hendaklah melakukan apa yang di sebalik kejahatan. Apa di sebalik mencuri dan mengambil hak orang? Sudah tentu memberi. Dengan memberi kebaikan, bermakna kita sudah tidak melakukan kejahatan.

Dengan alam sekitar pun begitu. Percayalah, jikalau kita sambil lewa dalam menjaga alam sekitar atau mencederakan alam sekitar, suatu masa nanti, alam sekitar akan ‘mencederakan’ kita kembali. Tidak percaya? Kita kembali kepada masa silam. Cuaca hari ini tidak menentu, panasnya, banjir, hujan, ribut sedang ‘mencederakan’ kita. Adakah kita lupa, pada masa lalu kita telah mencederakan alam sekitar, maka terimalah sahaja balasannya. Adakah kita lupa, lebih banyak pokok yang ditebang berbanding yang ditanam.

Namun, kita manusia sering alpa. Pada Allah, manusia dan alam sekitar kita selalu berbuat jahat. Kadang-kadang kita tidak menyedari pun bahawa yang kita lakukan itu adalah kejahatan. Bagaimana? Kerana itulah kita diberi kuasa dan kekuatan berdoa. Kita berdoa mohon ampun pada Allah SWT. Kita digalakkan bermaafan dengan manusia dan kita digalakkan menghijaukan bumi. Pendek kata, jikalau kita alpa, sudah pasti ada cara untuk menebusnya.

Ingatlah, dalam apa saja bidang kita, sama ada kehidupan, bisnes, pendidikan, pergaulan — kita akan memperoleh kebaikan selagi kita mengamalkan kebaikan. Ikut pesan Ustaz Shamsuri, “Kita hidup atas muka bumi ini tak ada tujuan kita selain berbuat baik…”

Jadi, setiap hari, semestinya, kita bertanya kepada diri sendiri, “Apa kebaikan yang akan saya tambah hari ini? Serentak dengan itu bertanya, “Apa keburukan yang akan saya tinggalkan dan jauhi pada hari ini?”

 

Razzi Armansur

Razzi Armansur

Once a writer always a writer.