Kecoh baru-baru ini apabila tersiar di Youtube, tentang Cakra Alam atau mungkin jika tersalah eja menjadi Putar Alam.
Khabarnya tersiar di TV Korea, bagaimana penipuan seorang yang bergelar Ustaz di Cakra Alam menggunakan penipuan menyedut penyakit menggunakan telur. Telur itu digulingkan diatas badan dan dipecahkan di depan mata, maka terkeluarlah ‘penyakit’. Orang Korea tersebut membawa telur sendiri tetapi ustaz tersebut menolak. Katanya telur ayam kampung baru boleh. Orang Korea berdegil, maka “kantoi” lah.
Sebelum pergi jauh lagi, mari kita lihat di sebalik Youtube. Lihat bagaimana Google sedang membudayakan masyarakat dunia melalui Search, Youtube, Gmail dan sebagainya. Itulah asas bisnes Amerika, iaitu membudayakan masyarakat sama seperti KFC, McD, Starbucks dan lain-lain. Pencipta Google itulah sebenarnya “jutawan internet” yakni menjadi sebahagian dari internet, bukannya jual barang melalui internet.
Penipuan seumpamanya telah saya saksikan lama dahulu di kaki lima Chow Kit. Pernahkah anda melihat tukang jual ubat di kaki lima? Kini saya tidak tahu sama ada kegiatan itu masih lagi wujud atau telah pupus. Saya suka melihat dan mendengar celoteh mereka. Sahlah teori yang wujud sejak sekian lama, “Jika seseorang itu terlalu mengiyakan, itu tandanya bohong.” Cara mereka menjual temberang dan terlalu mengiyakan telah berjaya menarik ramai pembeli. Saya pun terpedaya.
Ada seorang penjual temberang di depan kedai ekor. Dia menjual ramalan nombor ekor. Kalau kita berakal tentu boleh berfikir. Kalau dia boleh meramalkan nombor ekor yang bakal menang, sudah pasti dia tidak duduk di kaki lima menjual ramalan nombor ekor. “Tujuh keturunan saya tidak boleh membeli nombor ekor” (baca dengan loghat Indon). Apa susah? Kirim pada kawan untuk beli. Benarlah sebagaimana kata peribahasa India, “Jika seseorang kena tipu yang bersalah bukan yang menipu.”
Kesemua kisah penipuan tersebut, dari menggunakan telur hinggalah kepada kisah ‘seru duit’ yang tak kunjung padam sejak zaman saya kecil telah saya catatkan di dalam buku, “Hendak Susah ataupun Senang.”
Saya ajarkan di sini cara mudah untuk “menyedut” penyakit dengan menggunakan telur. Mudah saja. Beli jarum penyuntik di farmasi. Kalau tak nak beli, pinjam saja dari penagih dadah. Beli telur dari 7-Eleven supaya nampak telur yang baru beli. Bekasnya sekali, jangan lupa. Plastik pembungkus sekali pun jangan dibuang. Anda memerlukan dakwat dan lilin. Kalau tak nak beli lilin, pun boleh pinjam dari penagih dadah. Bedak pun diperlukan. Mula-mula dengan gunakan jarum penyuntik untuk menyedut dakwat hitam. Selepas itu panaskan jarum menggunakan lilin sehingga merah. Suntik telur dengan jarum dan tekan, lepaskan dakwat di dalam telur. Ia takkan pecah kerana menggunakan jarum yang panas. Kemudian, cabut jarum tadi. Bekas lubang tadi, jikalau ada, sapu dengan bedak untuk menutupinya.
Sesudah itu, “Menjawab sebelum ditanya,” itu petua utama. Beritahu dengan penuh keyakinan, “Telur ini baru saja saya beli dari 7-Eleven.” Cukup begitu saja, jangan terlalu mengiyakan, nanti disyaki berbohong. Katalah pesakit mengalami sakit kepala kronik, ratakan telur itu di kepala sambil kumat-kamit dan pecahkan telur itu di depan pesakit. Beritahu dengan nada kesal, “Inilah puncanya.” Boleh juga geleng-geleng kepala tanda pelik. Kemudian ambik sebiji lagi dan ulangi proses yang sama. Berapa kali ulang? Berapa biji telur yang mengandungi dakwat hendak digunakan? Ikut kepada caj yang akan anda kenakan. Jikalau beratus-ratus ringgit, buat banyak kali menunjukkan betapa seriusnnya penyakit tersebut. Dari segi kira-kira untung rugi memang untung sepanjang zaman. Modal tak sampai pun RM10 tetapi pulangannya ratusan ringgit bertambah dengan ribuan dosa.
Dari dulu memang saya syak ada yang tidak kena dengan perubatan tersebut. Jikalau tidak silap pernah saya terlihat bangunannya di Taman Maluri. Bahkan sahabat saya, arwah Abang Pattihi Abang Samsudin ketika sakit, beberapa bulan sebelum meninggal dunia pernah berubat di situ. Terlaknatlah menipu orang yang sangat memerlukan bantuan.
Dulu juga pernah saya dengar akan nama pengasas kononnya pusat rawatan tersebut. Berdasarkan warna kulitnya, songkoknya, bahkan misainya, seakan sama modus operandi penipuan dengan seorang yang mendakwa dirinya Mahaguru silat suatu masa dulu.
Yang lebih membuatkan saya begitu yakin adanya pembohongan ialah apabila pengasas tersebut menunjukkan betapa Islamiknya beliau di samping meletakkan gelaran Dr. dan Professor di depan namanya. Bukankah ini membuktikan, “Jika seseorang itu terlalu mengiyakan, itu tandanya bohong.” Contoh mudah. Dr. sebenar keberatan nak meletakkan Dr. di depan nama tetapi Dr. Ayam atau Dr. Itek akan terlalu mengiyakan bahawa dia seorang Doktor. Syed Mokhtar Al-Bukhari, seorang billionaire, tak pernah sekelumit pun menyebut perkataan jutawan. Di tempat saya ini ada puluhan jutawan yang tidak pernah sekelumit pun kedengaran perkataan jutawan. Tetapi yang terlalu mengiyakan, tak kiralah “jutawan internet” atau “jutawan hartanah” atau “jutawan MLM” sebenarnya adalah “cendawan”.
Nama apakah yang semakin buruk? Tentu sekali nama Islam. Memang amat memilukan dan perlu diambil tindakan tegas apabila orang yang menggunakan title atau identiti agama seperti Ustaz, tok guru, mahaguru, pendekar dan sebagainya untuk memperdayakan orang ramai. Siapa agaknya yang memberi gelaran tersebut melainkan diri sendiri.
Begitulah secebis kisah penipuan yang perlu diambil tahu. Sesungguhnya, dulu, kini dan selamanya akan sentiasa ada yang menipu selagi ada yang rela ditipu.
Moralnya: jangan sekali-kali menipu dan sudah tentu jangan sekali-kali membenarkan diri ditipu. Akal untuk digunakan bukan untuk perhiasan.