Razzi Armansur

Makin ramai yang hendak terkenal!

Orang kata menulis fiksyen adalah mudah. Hanya sekadar menggunakan imaginasi, setting, plot, watak. Itu saja? Itu orang kata. Orang yang tak pernah menulis. Orang yang hanya dengar-dengar sahaja. Menulis fiksyen bukan mudah, menulis non-fiksyen pun bukan mudah. Kalau mudah tentu ramai yang telah menjadi penulis. Saya pun tak tahu mengapa sejak akhir-akhir ini ramai benar yang hendak menjadi penulis. Mungkin hendak mencari glamour, mungkin untuk kepuasan diri, mungkin untuk mencari wang. Ketiga-tiganya salah! Jangan diamalkan.

Motif dan niat hanya satu saja: hendak menyampaikan ilmu kepada manusia lain melalui penulisan. Sama ada fiksyen atau non-fiksyen — hendaklah mengandungi pengetahuan yang boleh digunakan oleh masyarakat. “Eh, novel cinta pun ada pengetahuan — mengajar mengurat, dating, maksiat dan sebagainya yang dilarang agama. Itu kira pengetahuanlah tu…” Kata seorang penganut Islam Hadhari yang seeloknya dibenamkan ke dalam tasik Putrajaya.

Ingat, kita ada kehidupan kedua dan tulisan kita adalah kekal walaupun kita telah lama berada di dalam tanah. Sebagai contoh ialah fiksyen “Nothing Last Forever” oleh Sidney Sheldon. Membacanya akan tahu tentang dunia perubatan, kedoktoran dan hospital. Ini kerana sebelum menulis, pembantu beliau akan melakukan research. Mana boleh main reka-reka macam drama Melayu — nak beli saham pergi ke bursa saham (kelakarnya), chatting bukan pakai IRC, MSN atau YM tapi guna Microsoft Word. Yang buatnya bebal dan cuba nak membebalkan penonton yang juga kadang-kadang bebal. Kalau pandai takkan terpedaya dengan kelentong drama Melayu yang wajib ada 1) kubur 2)hujan dan yang pelik-pelik belaka.

Begitu juga dengan novel “Doomsday Conspiracy” — barulah kita tahu adanya kapal UFO terhempas di Texas dan kerajaan Amerika melakukan “cover-up” dengan membunuh kesemua saksi yang melihat kapal UFO itu. Dari baik kepada terbaik. Bila menyampaikan ilmu, sentiasa ingat — semestinya dari baik kepada yang terbaik. Elok tidak mencukupi — semestinya yang terbaik. Kita mesti menghasilkan yang terbaik, pengetahuan yang terbaik untuk disampaikan kepada masyarakat. Kalau boleh melakukan baik, sudah pasti boleh meningkat kepada yang terbaik. Terbaik itulah matlamat kita dalam apa jua bidang termasuk penulisan.

Contoh mudah novel yang tidak berpengetahuan adalah novel-novel jiwang yang berada di pasaran. Apa pengetahuan yang boleh kita perolehi? Zero! Mungkin hanya pengetahuan tentang bercinta. Jalan cerita sama saja. Begini, begini, begini, happy ending. Kualiti? Zero! Hanya mengejar wang. Ingat lagi kisah telemovie dulu? Bila satu telemovie berjaya (berjaya atau hanya gembar-gembur media yang memang kaki kelentong?) berduyun-duyunlah yang buat cerita telemovie tangkap muat dengan ceritanya macam taik. Kebanyakannya merosak. Sampaikan kumpulan nasyid pun buat telemovie dengan cerita yang pelik. Cerita kartun TV waktu pagi lebih menarik.

Di Malaysia ini memang begitu, hanya ikut-ikutan akhirnya merosak. Tahu akibatnya? Amat memeranjatkan. Tahun 2006, jualan novel jiwang merosot sebanyak 30%!! Tahun 2007 dijangka akan lebih merudum. Dalam masa yang sama, buku bisnes meningkat dengan mendadak. Wow… selamat aku… Dulu pernah juga berangan-angan hendak menulis novel cinta. Masa itu zaman jahiliyah. Konon menulis novel kerana hendak glamour hendak ramai peminat, hehehe… Saya pun mula mengkaji psikologi remaja perempuan kerana kebanyakan pembaca novel jiwang adalah remaja perempuan 3 atau 4 tahun sebelum berkahwin dan 3 atau 4 tahun selepas berkahwin. Lingkungan usia 18 hingga 30 tahun adalah peminat novel jiwang. Bagaimana membelai jiwa mereka hingga hanyut di lautan cinta itulah yang saya pelajari. Pada masa itu, tanpa segan silu membaca buku Mill & Boon yang sememangnya pasarannya adalah untuk remaja perempuan. Pergi sewa buku jiwang di kedai mamak bawah Menara MPPJ.

Novel jiwang Mill & Boon, Herlaquin, lebih kurang begini:

1. Heroinnya mesti cantik menjadikan pembacanya walau tak cantik akan perasan cantik. Pembaca akan membayangkan dirinya adalah heroin sepanjang membacanya. Menghayati keseluruhan cerita jika membayangkan diri sebagai heroin.

2. Heronya wajib kacak. Kalau tak kacak mestilah stabil dari segi kewangan. Tak perlu pandai asalkan stabil sama ada kewangan atau pekerjaan. Bukankah itu impian remaja perempuan yang sedang khayal terapung-apung tidak berpijak di bumi nyata?

3. Wajib 2 kali putus cinta dan bersambung kembali, berakhir dengan happy ending. Novel jiwang takkan laku kalau sad ending macam “Kampung Kaya”.

4. Impian remaja perempuan ialah terbaring di hospital atau di rumah kemudian datang dilawat oleh buah hatinya. Atau dicari jalan supaya buah hatinya memberi perhatian, simpati dan sebaik-baiknya simpati itu mengalirkan airmata (harapannya, lelaki sangat sedih). Dalam Mill & Boon kehendak semulajadi remaja perempuan ini diolah dengan begitu menarik hingga menyebabkan pembaca terapung di angkasa.

5. Impian semula jadi remaja perempuan ialah buah hatinya akan menyesal dan seboleh-bolehnya hidup tak tentu arah, rindu bagai nak maut bila terepisah dengannya.

6. Remaja perempuan suka merajuk untuk menarik perhatian buah hatinya. Dalam merajuk, setiap saat berharap agar dipujuk. Dalam Mill & Boon oleh kerana tidak berpijak di bumi nyata, pihak lelaki akan memujuk dengan lembut, membelai hati yang merajuk. Di alam nyata, “Ha? Merajuk? Merajuklah sorang-sorang…”

Tapi, Alhamdulillah, sebelum saya mula menulis novel jiwang untuk membelai jiwa remaja perempuan, ada satu perasaan yang sangat berat untuk menulisnya. Kenapa? Saya pun tak tahu kenapa. Rupanya memang Allah SWT tak mengizinkan saya menulisnya. Allah SWT memberikan saya ilham untuk menulis fiksyen dalam bentuk lain iaitu “Fiksyen Inspirasi” yang lebih bermakna dan dapat memberikan semangat, inspirasi, panduan dan pengetahuan kepada pembaca. Lahirlah, karya pertama saya, “Rahsia Dari Damansara”.

Perlukah bakat dalam penulisan? Perlu dan tak perlu. Bakat sikit-sikit dah mencukupi. Yang penting ialah mengasah bakat. Besarkah bakat P. Ramlee? Rasanya tidak besar, selebihnya ialah belajar bersungguh-sungguh tanpa jemu dan mengasah bakat yang sedikit. Kalau enggan mengasah bakat dan belajar lagi, walaupun bakat sebesar gunung sekalipun, tak ada gunanya. Sebaliknya, walau bakat hanya sebesar busut tetapi rajin belajar, akhirnya akan berjaya dalam penulisan.

Satu persamaan dalam diri kebanyakan penulis ialah habit suka membaca. Ini jauh lebih penting dari berbakat besar. Membaca karya-karya orang lain adalah wajib bagi penulis. Kalau malas membaca, jangan harap akan menjadi penulis yang terkenal. Dari mana dapat ‘input’ yang akan di’output’. Tak mengimport, bagaimana hendak mengeksport.

Sama ada menulis fiksyen atau non-fiksyen, kajian atau research amat penting sekali. Jangan main bantai, main agak-agak. Frederick Forsyth mengira sendiri jumlah tiang telefon dalam setting novel beliau. Jadi, kalau misalnya tiang telefon di Sungai Pencala ada 100 tiang, suatu hari selepas membaca novel tersebut, anda mengira kembali tiang telefon di Sungai Pencala ada 101 tiang anda akan mengatakan, “tipu aje!”

Sidney Sheldon akan pergi ke tempat setting untuk menulis mengenainya. Di mana settingnya? Singapura? Sidney akan ke Singapura. Begitu juga dengan Arthur Hailey yang terkenal dengan novel Hotel, Airport, Strong Medicine, Overload dan lain-lain lagi.

Alex Hailey telah pergi ke Afrika untuk membuat kajian tentang keturunannya sebelum menulis novel best seller sepanjang zaman — “Root” (Kunta-kinte). Alex mempunyai habit yang pelik dalam menulis. Beliau suka menulis dalam kereta api.

Mengenai “Kampung Kaya”, suatu malam, saya tak ingat, mungkin dalam tahun 2003, terjumpa Salwa yang sedang membeli nasi ayam. Saya terus bertanya, “Apa pendapat Sal? Nak sambung cerita Kampung Kaya?” “Entahlah” Kata Salwa dan senyap kemudian berkata semula, “Elok juga kalau sambung.” Saya kemudian memberikan tajuknya: “Kembali Ke Kampung Kaya.” Salwa hanya senyum. “Tapi Azmi dah berumur 40 tahun tau.” Kata saya. Salwa hanya senyum. Matanya makin kecil di balik cermin mata. Saya kemudian memberitahu, “Jadi, saya kena matikan watak suami Salwa, atau Salwa bercerai kerana hati Salwa pada Azmi.” Sekali lagi Salwa hanya senyum. Namun bagi saya, itu semua hanya sampingan Sal sebab yang utama di dalam buku itu ialah inspirasi dan bisnes.

Dari sehari ke sehari saya hendak menyambung cerita “Kampung Kaya” tetapi tak kesampaian, hingga baru-baru ini hasil dari diskusi ringkas di shoutbox Universiti PTS, saya mendapat idea paling hebat dengan judul paling menarik — idea dari Canselor Universiti PTS, Puan Ainon Mohd. Puan Ainon menyebut kaum Jawa menjadi kaya raya dan jutawan bukan kerana bisnes, tetapi kebanyakannya kerana kebun dan tanah. Secara spontan saya mendapat judul paling menarik untuk sambungan “Kampung Kaya”. Nak tau judulnya? JAWA KAYA.

 

Razzi Armansur

Razzi Armansur

Once a writer always a writer.