Baru semalam, Jumaat, 17 April, saya seperti mendapat makna sebalik lukisan karikatur kanak-kanak berjalan menuju ke Pesta Buku. Mungkin hanya kebetulan, mungkin telahan saya sahaja. Anggapan saya, kumpulan sasaran (target market) buku adalah kanak-kanak. Sekarang, anda seorang ayah atau ibu, apabila anak anda merengek nak ke pesta buku, bolehkah anda duduk diam? “Anak saya hendak ke pesta buku, bukan pesta Jom Heboh, nak beli buku, nak baca buku, nak tambah ilmu, bukan nak belajar buat maksiat, bapa apakah aku ini kalau tak mampu hendak menunaikan permintaan yang baik dari anak saya?” Kalau anak merengek begitu, kalau tak ada duit, berhutang dengan Along pun sanggup.
Soalnya di sini, bagaimana hendak menjadikan anak-anak merengek hendak ke Pesta Buku. Memang menyedihkan, satu-satunya pesta pameran dan penjualan ilmu tidak dipromosi habis-habisan. Atau promosinya sambil lewa. Buktinya, ramai yang tidak tahu tentang Pesta Buku yang diadakan setiap tahun sejak berbelas tahun dahulu. Seperti peranan penganjurnya kurang sempurna. Atau mungkin, penganjurnya beranggapan, “Alah… tak payah hendak promosi pun sudah ramai yang datang.” Jangan beranggapan begitu. Lehman Brothers yang sudah 158 tahun pun boleh tumbang, apatah lagi Pesta Buku yang baru mencecah belasan tahun. Apa salahnya, bermodalkan sedikit sahaja lagi untuk promosi dengan sungguh-sungguh bukan melepaskan batuk di tangga? Empat tahun lepas, alangkah kelakarnya, bunting Pesta Buku digantung di kawasan perumahan Taman Tun Dr Ismail sedangkan sepatutnya digantung di jalan-jalan utama tempat laluan ramai. Itulah yang dikatakan melepaskan batuk di tangga.
Majlis Buku Malaysia (kalau tidak dipolitikkan dan mengamalkan kronisme) sebaiknya melantik penganjur lain. Kita telah tahu penganjur sekarang kurang berkesan, mengapa tidak diganti sahaja?
Dulu Pesta Buku diadakan pada musim cuti sekolah. “Bergegar” PWTC selama 10 hari dengan rombongan dari jauh. Murid sekolah, jauh dan dekat yang sedang bercuti datang ke Pesta Buku. Sekarang ini anda tidak akan nampak bas-bas rombongan sekolah dari jauh pada Pesta Buku. Memang agak pelik, sesudah kejayaan besar Pesta Buku pada musim cuti sekolah, tanpa sebarang sebab, ditukar kepada luar musim cuti. Siapa sebenarnya ‘target market’? Tidakkah tahu peserta pesta buku perlu menjual sekurang-kurangnya RM40,000 selama 10 hari kerana sewa 1 booth adalah RM4,000? Bagaimana boleh dapat RM40,000 itu jikalau tidak ramai pengunjung?
Sehari sebelumnya saya terserempak dengan Haji Waharp, tauke Telaga Biru. Berkawan dengannya sejak sekian lama. Pernah sama-sama bersengkang mata hingga pukul 3 pagi menyaksikan pembikinan video klip kumpulan nasyid yang berjudul, “Sifat Mahmudah”
“Pesta Buku hanya 4 hari sahaja Haji…” Kata saya
“Sepuluh hari” katanya
“Memanglah 10 hari tetapi yang ramai, benar-benar pesta ialah Sabtu, Ahad, Sabtu, Ahad. Empat hari sahaja. Lainlah dulu dibuat pada musim cuti sekolah, setiap hari pesta.”
Saya berkata demikian supaya Haji Waharp yang baru sahaja menceburi bisnes penerbitan bahan bacaan mencari jalan supaya memanfaatkan sepenuh-penuhnya 4 hari penting tersebut. Ia sama saja dengan album lagu — tidak kesemua satu album itu sedap lagunya. Satu dua yang sedap, yang lain hanya pelengkap atau ‘filler’ sahaja. Haji Waharp sebelum ini adalah dalam industri penerbitan jua — penerbitan album nasyid dan pengurusan artis nasyid. Juga penciptaan — penciptaan kumpulan nasyid. Caranya, sistem penerbitan adalah sama sahaja. Yang bahan bacaan ditatap oleh mata, yang lagu didengar oleh telinga. Dari mula hingga akhir, proses penerbitannya adalah sama sahaja.
Tahun ini Pesta Buku berada dalam 2 cabaran penting. Jikalau tidak berpijak di bumi nyata dan berpengalaman, hanya mempamerkan buku tanpa sebarang strategi dan promosi, pasti sekali akan menanggung kerugian. Bayangkanlah sewa sahaja RM400 sehari. Kalau mengharap 10% untuk membayar sewa, maka perlukan jualan (jualan bukan keuntungan) RM4,000 sehari. Kalau dahulu, zaman Pesta Buku di musim cuti sekolah, dikatakan RM4,000 sehari itu ‘sap sap suwe’ sahaja.
Dua cabaran penting yang saya maksudkan ialah keadaan negara yang dilanda kegawatan ekonomi kesan dari kegawatan ekonomi dunia. Kedua adalah kerana pertukaran Menteri Pelajaran. Cabaran Kedua tidak penting sama sekali dan tidak ada apa-apa beza. Cabaran pertamalah yang paling besar dan perlukan kepandaian dan pengalaman untuk mengatasinya. Buku dikatakan pilihan terakhir kerana masalah kewangan yang melanda dunia. Keutamaan adalah kepada yang lebih aula.
Hanya kebijaksanaan, berpijak di bumi nyata dan strategi sahajalah yang mampu mengatasi masalah umum itu. Bukan hanya industri buku terjejas, apa saja industri sedang terjejas akibat masalah ekonomi dunia tersebut.
Petang semalam, saya dengan bangganya mengumumkan bahawa sayalah penulis PTS pertama datang ke booth PTS. Bangga. Salah seorang kaki tangan PTS menegur saya, ” Jumpa hanya setahun sekali.” Seperti biasa, saya bertemu sahabat-sahabat PTS Wangsa Melawati dan Batu Caves seperti Nazrul, Faris (yang popular dengan lawak “Mati hidup balik”), Farihah, Zaharin (Zet), Zain, Ikram (ada dua Ikram) Iwan dan isterinya Faraliza, Fizah adik Nazrul. Pembesarnya, Mbakyu Ainon Mohd dan anaknya, Arief tidak ada. Mungkin akan datang pada hari ini Sabtu hinggalah sampai Ahad depan.
Banyak perubahan dan pertukaran rupanya. Rozita, editor kesukaan saya sudah berhenti. Farihah Iskandar dari PTS ONE yang menghasilkan 5 novel remaja Dear Yayah kini ke bahagian Pemasaran. “Dah lain Kang, ramai yang Kang tak kenal sekarang. Kalau Kang ke ofis Wangsa Melawati, Kang kena pukul sebab tak kenal,” Kata Iwan yang bertukar ke bahagian pemasaran. Masih lagi design tetapi design untuk pemasaran. Lawak dan gurau sendannya masih seperti dulu.
(photo)
Mengikut strategi pemasaran McDonald. Apa yang akan anda lakukan jikalau anak anda merengek mahu ke Restoran McD?
Saya rasa, slogan pada beg kertas PTS boleh terus dijadikan slogan PTS untuk beberapa tahun. Slogan ciptaan Mbakyu Ainon itu berbunyi, “Saya Sudah di PTS kan. Anda?” mungkin boleh diringkaskan lagi menjadi lebih padat, ringkas, menimbulkan tanda tanya dan mudah diingati, “Sudahkah Anda diPTSkan?” Ia hampir menyamai impaknya dengan slogan Honda suatu masa dulu, “Do You Have Honda?”
Ini adalah tahun ke 9, PTS berada di persada penerbitan buku. Belum kukuh tetapi sudah mula matang. Maksudnya, sudah boleh membaca trend pembaca di luar sana. Sesungguhnya dalam industri buku ada 2 kategori yang evergren iaitu buku kanak-kanak dan agama. Dua sektor ini, walau gawat bagaimana sekali pun tetap evergreen. Puncanya? Kerana wujudnya pembaca setia. Contohnya, apabila Tuan Guru Nik Aziz menulis buku agama, sudah tersedia pembelinya. Contoh lagi: Buku kanak-kanak, Bendera Di Atas Bukit dan Jangan Ikut Jalan Ini oleh SN A. Samad Said, sampai kini masih diulang cetak, dicari, dibaca, dijadikan koleksi.
Inilah juga gunanya ‘team’ pemasaran yang sentiasa sensitif dengan kehendak pembaca. Kalau terbit untuk syok sendiri, tanpa memikirkan kehendak semasa, sudah lama PTS tutup. Dalam apa saja bidang perniagaan, termasuklah penerbitan, di hujung sana, penggunalah yang berkuasa. Menerbitkan buku adalah untuk memenuhi kehendak pengguna.
Masih ingat lagi iklan McDonald, 3 — 4 tahun lepas? Siapa sasaran iklan tersebut? Kanak-kanak! Happy Meal dengan permainan percuma menjadi keutamaan. Tujuannya adalah untuk menarik dan cuba membudayakan kanak-kanak. Percubaan yang mendatangkan kejayaan. Dan lagi, apabila kanak-kanak merengek hendak ke McDonald, adakah ibu bapa akan membawa ke restoran mamak? Atau jikalau anak menelefon, “Bah, nanti singgah beli burger McDonald,” adakah si bapa akan membelikan mi goreng mamak? Sasarannya ialah kanak-kanak, permata hati ayah dan bonda.
Melalui pengamatan saya, PTS kini sedang memenuhi kehendak semasa (bahkan nampaknya kehendak evergreen) golongan pembaca terbesar di Malaysia iaitu kanak-kanak antara darjah 5 hingga Tingkatan 3. Buku-buku untuk pra-remaja dikatakan sebagai penyumbang terbesar pendapatan PTS kini. Bahkan buku agama terbitan PTS Islamika pun sedang ditujukan kepada kanak-kanak. Maksudnya, buku agama dalam bentuk cerita kanak-kanak. Pendidikan melalui cerita. Amat menarik sekali.
Sudah tentu saya agak terkejut apabila PTS PRO pun sedang menerbitkan buku cerita untuk kanak-kanak pra-remaja. Siri Usahawan Cilik dikatakan antara siri yang sangat laris. Mulai bulan depan, cetakan permulaan untuk satu judul buku Usahawan Cilik adalah 5,000 naskhah, bukan lagi 3,000 naskhah!
“Kang yang mulakan semua ini,” Kata Nazrul, pengurus PTS PRO.
“Aku? Kenapa aku?” Saya bertanya.
“Di PTS, Kang yang mulakan bisnes fiksyen, sekarang masih lagi bisnes fiksyen tetapi untuk kanak-kanak, mendidik kanak-kanak bisnes. Melentur buluh biarlah waktu rebung.” Kata Nazrul.
Saya memandang Nazrul sambil dalam hati berkata, “Bisnes fiksyen untuk kanak-kanak? Kenapa aku tak terfikir sebelum ini? Kenapa? Kenapa? Kenapa? Kalau tak, sekali lagi aku jadi trendsetter.” Nasi sudah menjadi bubur, tapi masih boleh dimakan. Durian dah jadi tempoyak, ikan bilis dah jadi budu, tapi semuanya masih boleh dimakan. Tidak ada istilah terlambat.
Cerita. Semua orang suka bercerita dan mendengar cerita. Starbuck membina empayar bukan semata-mata kerana kopinya yang sedap, tetapi menyediakan tempat selesa untuk manusia bercerita dan suka mendengar cerita. Kopi adalah kopi. Tempat minum kopi sama penting dengan kopinya.
Bahkan, cerita adalah fitrah semulajadi manusia. Buktinya, lukisan di dinding gua zaman purba adalah cerita. Tulisan-tulisan di dalam piramid adalah cerita. Saya tidak hendak berkata, al-Quran itu juga cerita tentang kisah masa lalu dan akan datang. Saya takut tersilap kerana ilmu saya mengenainya cetek. Tapi itulah yang pernah saya dengar — al-Quran mengandungi cerita dahulu dan akan datang.
Ada 2 perkara penting yang mesti diambil berat oleh penulis cerita. Tak boleh pincang salah satu, mesti kedua-duanya seimbang iaitu CERITA dan PENCERITAAN. Plot cerita (jalan cerita) mestilah menarik, fakta dan berpijak di bumi nyata. Penceritaan (cara menceritakan) pula mestilah memukau menyebabkan ia menjadi seperti buku Sidney Sheldon yang sukar diletakkan sekali telah dimulakan membaca. Dalam siri mini, “The Legend of Bruce Lee” semasa Bruce Lee hendak mencipta seni silat baru dan tidak disenangi oleh gurunya, Bruce mengatakan, “Bukan seni kung fu baru. Ia Kung fu lama, ajaran tuan guru, cuma saya buang ranting-ranting, bunga-bunga, supaya lebih ringkas dan tepat.” Apa yang boleh dikutip dari kata-kata Bruce Lee itu untuk CERITA dan PENCERITAAN?
Sebab itu saya amat tidak setuju dengan kata-kata seorang “Pakar Motivasi” yang menyebut, “Yang penting ialah cara memperkatakan, bukan apa yang diperkatakan.” Kata-kata yang merosakkan. Sebaliknya dengar kata Saidina Ali, “Janganlah memandang siapa yang mengatakannya, dengarlah apa yang diperkatakan.”
Kini, sedang dilaksanakan oleh PTS PRO, mengajar kanak-kanak tentang bisnes secara ringan, sekurang-kurangnya menanamkan minat tenrhadap bisnes dan mendidik supaya faham bahawa menjalankan bisnes mestilah berpijak di bumi nyata (ada kira-kira untung rugi dan bukan hari ini berniaga, tahun depan menjadi jutawan). Budaya berniaga mesti disemaikan sejak mereka masih lagi ‘tulang rawan’ sebagaimana anak-anak kaum Cina. Mesti dilaksanakan sebagaimana dilaksanakan oleh KFC yang membudayakan rakyat Malaysia makan ayam sebagai makanan utama, bukan lagi lauk.
Mengatasi segalanya, didiklah anak-anak kita dengan fakta bisnes tetapi dengan cara yang ringan. Jangan mengajar anak kita dengan penglipur lara bisnes. Bisnes adalah fakta dan angka.
“Tapi Nazrul, tidakkah aku punya branding nanti hilang, kalau aku menulis fiksyen bisnes untuk kanak-kanak?” Saya bertanya kepada Nazrul sesudah Nazrul mencadangkan.
“Tidak. Tak hilang. Macam satu kelebihan pulak. Ibu bapa yang membaca buku Kang akan mencari buku Kang juga untuk anak-anak mereka.” Kata Nazrul. Tiba-tiba mentol menyala di dalam kepala saya.
“OK Kang, setuju ya, 5 buku fiksyen bisnes kanak-kanak dalam masa 2 bulan? Saya tahu ada saja. Bagaimana Kang menulis saya tak tahu. Yang saya tahu — siap.” Kata Nazrul.
“Erkkkk…..”