Sama ada mengandung atau tidak. Itu saja. Tidak ada garis tengah. Tidak ada semi-mengandung atau mengandung sikit-sikit atau semi-tidak mengandung atau mengandung sikit-sikit. Hanya satu saja — sama ada mengandung atau tidak.
Mari cari persamaan perempuan mengandung dengan bisnes. Kemudian cari mesejnya sebab segala apa yang berlaku di depan mata kita ini ada mesejnya. Allah SWT mendidik kita menggunakan mesej ? dunia adalah pentas dan guru. Kita adalah murid. Kita kena belajar sepanjang hayat.
Sama ada bisnes atau tidak. Tidak ada garis tengah. Tidak ada semi-bisnes, bisnes sikit-sikit atau tidak bisnes sikit-sikit. Sama seperti perempuan mengandung tidak ada garis tengah. Ya atau tidak. Itu saja. Bisnes atau tidak. Kalau bisnes, buat cara bisnes, kalau tidak, tak payah fikirkan soal bisnes sebab tidak bisnes. Kalau nak bisnes, belajar tentang bisnes. Allah SWT menyediakan tarbiyah di depan mata tapi kita manusia ini enggan menerima. Enggan belajar sebab ego — terutamanya kita orang Melayu. Bila orang Cina maju dan berkuasa, pandai marah pula. Kenapa tak tiru Cina bisnes? Cina menerapkan “Pendidikan sepanjang hayat.” Kita? Sembang atau kedai kopi sepanjang hayat. Tak percaya? Tengok saja kedai kopi — segala lapisan umur ada — dari yang muda, sedang nak tua, hinggalah kepada yang tua. Update ini pukul 9 pagi — cubalah pusing-pusing sekejap tengok di kedai-kedai kopi, gerai-gerai — bangsa apa yang menghuninya, membina komuniti, gelak-gelak, cerita mengarut, merapu? Kemudian alihkan 180 darjah — bangsa apa yang sibuk bekerja dengan penuh bertenaga ketika ini? Boleh tak berhenti dari berkata, “Kayakan Cina”? Boleh tak ditukar kepada “Memiskinkan Melayu”?
Perempuan yang sedang mengandung adalah perempuan yang paling penyabar. Selama 9 bulan tanpa pernah merungut memikul perut yang semakin hari semakin membesar. Lebih-lebih lagi mengandung sulung — lagi banyak sangat karenah. Empat bulan pertama tak payah ceritalah, macam-macam karenah yang pelik-pelik belaka. Segalanya ditanggung dengan kesabaran. Sebagaimana biasa, kesabaran menghasilkan kemanisan. Pernah melihat wajah perempuan selepas melahirkan? Walaupun lesu tetapi ada cahaya kegembiraan di sebaliknya. Gembira kerana berjaya melahirkan satu lagi nyawa di muka bumi ini. Semestinya soalan pertama yang keluar dari mulut, “Lelaki ke perempuan?” Nampaknya, belum pernah terdengar, “Perempuan ke lelaki”? Ini menunjukkan tanggung jawab lelaki memang berat sangat walaupun Rasulullah bersabda bahawa penghuni neraka itu kebanyakannya perempuan. Rasulullah tak kata kapasitinya, jadi kena ingat juga, mungkin sebahagian besar lagi adalah lelaki.
Sepatutnya kita malu dengan perempuan yang sedang mengandung, yang begitu sengsara tetapi dihadapi dengan tabah, tanpa merungut. Kita yang tak mengandung, bila menghadapi masalah (atau masalah bisnes) rungutannya sampai ke Lautan Atlantik. Soalnya, adakah dengan merungut, masalah akan selesai? Setahu saya, makin bertambah rumit!
Itu baru sikit. Masalah yang sangat kecil. Tanggung sajalah, sambil mencari penyelesaian. Takkan dengan merungut boleh selesai masalah? Allah SWT dah berjanji, bahawa Dia tidak akan membebankan hambaNya lebih dari yang termampu dipikul. Keupayaan kita memikul katalah 10 kg masalah, Allah SWT takkan membebankan kita dengan 11 kg atau 10.5 kg masalah. Hadapi masalah bukan dengan merungut — hadapi dan selesaikannya dari akar umbi. Ia belum berakhir selagi belum berakhir.
Jika tidak sabar, jangan sekali-kali bisnes. Bukan semua orang boleh bisnes, sama seperti bukan semua orang boleh menjadi penulis, penerbit, jurutera, arkitek, penyanyi. Bisnes atau apa saja karier memerlukan kesabaran, sama seperti perempuan mengandung.
Bisnes juga hendaklah semakin membesar hari demi hari, sama seperti perempuan mengandung. Bisnes juga mesti makin menonjol seperti juga perempuan mengandung. Salah satu cara menonjol adalah dengan menggunakan kontroversi. Kontroversi kemudian mendatangkan publisiti. Laman web saya ini tidak akan ada pengunjung jika tidak ada kontroversi.
Apapun, dilarang sama sekali mencari publisiti murahan dengan membuat cerita kehilangan kereta padahal kereta itu disorokkan di mana-mana, kemudian ditemui semula dalam keadaan utuh. Atau publisiti diganggu makhluk halus. Makhluk kasar tak ganggu ke? Atau baring depan TV3. Itu semua publisiti murahan dan membunuh diri.
Dua hari lepas, saya terbaca (bukan terbaca, sebaliknya sengaja mencari) entri Canselor Universiti PTS, Mbakyu Ainon Mohd. Entrinya hampir sama dengan apa yang saya katakan tadi — berniaga mesti seperti perempuan mengandung — sabar, membesar dan menonjol.
Sekarang, ramailah yang mempertikaikan saya mengapa fokus saya hanya kepada PTS sedangkan ada beribu-ribu bisnes lain. Itu saya punya pasal. Takkan saya nak fokus kepada “perniagaan internet” yang mengarut dan tak tentu hujung pangkal itu. Saya suka sekali dengan sistem dan pengurusan PTS. Saya sanjung tinggi misi PTS yang hendak memartabatkan penulis. Suatu masa dulu saya ditanya dengan soalan, “Boleh carik makan ke dengan menulis?” Satu soalan yang berunsur menghina. Saya tanya kembali, “Kamu kerja apa? Boleh carik makan ke dengan kerja kamu itu?” Sengih-sengih saja. Patutnya saya tanya kembali, “dengan sengih-sengih macam tu, boleh carik makan ke?”
Suasana sekarang berbeza. Tak ada lagi orang mempertikaikan begitu sebaliknya sekarang pertanyaannya, “Dapat berapa royalti tahun ini?” atau, “Berapa kali dah ulang cetak tahun ini?” Ini yang dikatakan persepsi baru. Dalam masa terdekat ini, “Ini beli Porsche 911 pakai duit royalti ke?”
Saya kaum Jawa. Cara kaum Jawa mengumpul kekayaan selalunya adalah melalui kebun. Saya anggap satu buku adalah satu ekar kebun. Ia terus mendatangkan hasil selagi ada bulan dan bintang. Jadi, tugas harian saya adalah menghasilkan sebanyak mungkin kebun setiap tahun — kebun yang berkualiti. Kerana, jika saya ‘berkebun’ begitu, ramailah yang dapat turut sama merasai hasilnya — dari editor, pengedaran, editorial, pengurus, pekerja biasa, kilang kertas, pemandu lori, pekerja percetakan, semuanya dapat merasai hasil dari ‘kebun’ saya selain saya sendiri dapat menikmati hasil susah payah. Saya akan terus menulis selagi masih mempunyai jari. Selagi otak belum ‘jammed’ selagi itulah saya akan berusaha menghasilkan ‘kebun’ berkualiti, yang ada impak.
Kata Canselor Universiti PTS: Modal berbayar PTS adalah RM500,000.00. Banker menasihati supaya menaikkan modal tersebut menjadi RM1 juta bagi memperolehi kemudahan kredit sebab belanja percetakan tahun 2007 adalah RM3.3 juta.
Itu yang dikatakan bisnes mestilah makin membesar seperti perempuan mengandung. Makin menonjol, juga seperti perempuan mengandung.
Semasa remaja dulu ada menemani kawan shooting iklan minyak rambut Brylcreem. Hanya bahagian yang sangat kecil. Penggambarannya di sebuah banglo lama di Jalan Pinang / Jalan P Ramlee. Banglo itu ditukar menjadi kononnya bilik mandi lelaki. Lepas bersukan, mandi dan pakai minyak rambut, kelihatan segak. Itulah pertama kali melihat cara kerja orang putih. Dari pagi ke malam tak reti penat. Melekat di situlah jurugambar Pearl & Dean menggambar dengan penuh teliti beratus kali ‘take’ dari pagi sampai ke hampir pagi esok. Iklan itu adalah untuk memberi persepsi baru — minyak rambut Brylcreem tak melekit sebaliknya beralun walaupun berminyak. Menipu! Itulah kebijaksanaan AV Bapat (pakar mekap yang macam gay) menukar rambut berminyak kepada beralun. “Lihat alunannya, itu alunannya…” jingle yang saya ingat lagi.
Apa yang ingin saya ketengahkan ialah, salah seorang pelakon bertanya sesama mereka, “Masih ada orang pakai Brylcreem lagi ke?” “Tak ada rasanya… orang tua-tua saja yang pakai.”
Bila anda ke kedai, Brlycreem masih ada lagi bahkan makin mengembang makin membesar. Tak betul kata pelakon itu, yang mana anggapannya, Brylcreem akan tamat. Sekarang rangkaian produk Brylcreem makin bertambah. Semuanya adalah dikategorikan kepada “personal grooming” lelaki. Sudah ada gel rambut, pencuci muka, losyen lepas bercukur, bedak talkum dan berbagai, Itulah yang dikatakan “Goes Deep” yang selalu disebut oleh Tan Sri SOK Ubaidullah.
Berapa umur Beecham (pembuat Brylcreem)? Ia mula mengeluarkan minyak rambut Brylcreem pada tahun 1939. Akhirnya pada tahun 2000 bergabunglah Brylcreem dengan syarikat farmasi kedua terbesar di dunia selepas Prifzer menjadi: Glaxo Wellcome and SmithKline Beecham. Masih ingat Hazeline Snow? Ia keluaran Wellcome.
Dan jika anda ke kedai runcit atau farmasi anda pasti akan menemui minyak rambut Tancho — seingat saya dari zaman jambul dulu sampaillah sekarang masih kekal. Seingat saya Cikgu Chong yang mengajar Matematik Tingkatan 4 Sekolah Menengah Kebangsaan Telok Datok, Banting menggunakan minyak rambut itu.
Itulah satu lagi contoh berniaga mesti makin membesar. Tak kira berapa usianya. Makin ‘tua’ makin kuat.
Saya ambil satu lagi contoh: suatu hari berziarah ke rumah Gan Ah Seng di Tropicana (seperti di Australia). Sejam lepas itu dia dan keluarganya hendak keluar. Anak perempuannya, katanya, sudah bermekap dekat sejam. Dia berfatwa, “Razzi, kalau nak tahu kita dah tua ke belum, kita keluar macam ni terus. Tak ada nak tukar baju atau nak bergaya. Kadang-kadang dengan selipar kita boleh sampai mana-mana.” Gan Ah Seng muda lagi, belum pun sampai 55. Pekerjaannya mengendalikan seminar yang sudah tua — melebihi 30 tahun. Makin ‘tua’ makin kukuh makin mencengkam akarnya seperti pokok ru di Pantai Morib yang dihembus angin dan bayu laut siang dan malam.
————-
Semalam saya ke pelancaran album sahabat saya Ustaz Akhil Hayy di Saloma Bistro. Dalam majlis yang sama ialah penganugerahan Platinum untuk album sebelum ini — Nasyid Lagenda. Akhil Hayy bernaung di bawah Inteam Records. Biasalah, mesra sekali dan banyak sangat celoteh bila bertemu dengan Inteam dan Ustaz Akhil Hayy (Ustaz Rock).
(photo)
Nota: Dalam suasana industri muzik yang kian menurun, adalah sukar sekali untuk mendapat anugerah, jangankan Platinum, bahkan Emas pun amat sukar. Nota: jumlah jualan melayakkan Platinum pun sudah diturunkan oleh RIM — menjadi 25,000 unit, bukan lagi 50,000 unit. Memang dah rezeki Inteam dan Ustaz Akhil Hayy. “Saya solat istikharah dulu Kang sebelum menyertai Inteam.”
Apa yang ingin diketengahkan, Inteam Records adalah syarikat baru. Baru berusia setahun tetapi sudah mampu mengeluarkan album-album besar yang kebanyakan laris belaka. Dari ofis yang kecil di Batu Caves, kini berpindah ke ofis yang begitu luas dan optimum. Produk mereka juga telah dipelbagaikan. Itulah satu lagi contoh berniaga mestilah mengikut resmi perempuan mengandung.
Atas keikhlasan mereka juga ada badan perniagaan Melayu (DINA) yang juga ikhlas menghulurkan RM3,000 untuk majlis gilang-gemilang semalam. Syarikat itu jugalah yang akan menaja ‘road tour’ Ustaz Akhil Hayy menjajah Malaysia.
Hazamin semalam memberitahu saya beberapa strategi untuk tahun 2007 dan 2008 yang mana saya percaya mampu membawa Inteam jauh ke depan dalam bidang nasyid dan bisnes. Kini Inteam menjadi seperti “Magnet” yang menarik beberapa bakal artis nasyid yang “telah insaf” (bekas penyanyi Rock).
Semalam bertemulah saya dengan sahabat-sahabat lama dan sahabat baru. Alhamdulilah, dapat saya menabur ‘benih kangkung’ (kad bisnes) — suatu hari, entah bila, ia akan tumbuh juga. Sebagaimana biasa, untuk menjalin persahabatan, saya mulakan dengan lawak. Bila dimulakan dengan ketawa, InsyaAllah, kemesraan akan terjalin. Lawak itu saya perolehi semasa sembang-sembang di Kelantan dulu. Lawaknya agak menyinggung tetapi fakta, “Tengok anak orang teringat anak sendiri, tengok bini orang tak ingat pun bini sendiri.” Diam seketika, kemudian gelak. “Betul, betul…,” kata mereka. “Lagi satu — berkahwin idaman orang bujang… tolong sambung…” Kedengaran sambungannya, “Membujang idaman orang berkahwin…” Gelak… Memang dalam mana-mana event saya rasa, saya paling memekak, paling banyak gelak. Jadi tak betullah bila ada yang mengatakan nampak saya seperti diam dan berlagak sombong.
Semalam, sempat juga saya meminta Ustaz Akhil dengan permintaan yang agak berat. “Ustaz, bila ceramah tolong sentuh sikit-sikit pasal ekonomi Melayu kita. Orang Melayu nombor empat dalam carta ekonomi. Pertama, Cina, kedua India, ketiga pelabur asing, keempat barulah Melayu.”
Jadi bagaimana agaknya supaya bisnes kita makin membesar dan makin kukuh? Sekali lagi ikuti sunah Rasulullah SAW. Bagaimana baginda mengembangkan dakwah — mula-mula baginda beribadat untuk diri sendiri, keluarga, sahabat. Pendek kata bermula secara kecil-kecilan. Kemudian meningkat sedikit demi sedikit hinggalah Islam menguasai separuh dunia ini. Tak payah mengarut “Glokal” dan sebagainya Islam berjaya berkembang hingga akhirnya hari ini sudah berada di seluruh pelusuk bumi. Tak payah meracau, “Era globalisasi, anjakan paradigma, win win” nampaknya, berkat kesabaran Baginda dan team, Islam bukan saja diterima bahkan dijadikan agama. Berapa tahun? 23 tahun masa yang diambil. Jadi, apa khabar sahabat yang suka berkata, “Tahun depan saya jadi jutawan.”
Abdul Rahman bin Auf dalam satu-satu ketika mempunyai 700 ekor unta. Adakah tiba-tiba mendapat 700 ekor? Sudah tentu bermula dari 1 ekor. Tak payah memekak dan meracau pasal “Glokal” sebaliknya berusaha dengan rajin — terjadilah peningkatan. Dengan peningkatan begitu, barulah dapat membantu perjuangan Islam. Setiap perjuangan memerlukan dana. Dananya bukan “Glokal” tetapi wang!
Mengikut sunah satu hal. Satu hal lagi, tengok pada misi. Atau, adakah bisnes kita ini tidak ada misi? Jika mahukan bisnes yang makin membesar, mesti ada misi yang sebaik-baiknya. Setiap hari diarahkan untuk mencapai misi tersebut. Seminggu sekali, sebulan sekali, setahun sekali semak balik ke arah mana misi tersebut. Sudah berapa peratus tercapai? Apa langkah seterusnya?
Mencipta misi bukannya susah. Sangat mudah. Bincangkan dengan rakan kongsi anda, senaraikan sebanyak mungkin misi yang murni berkaitan dengan bisnes anda. Potong, potong, potong, tinggalkan hanya satu saja. Contoh-contoh misi murni:
- Kami berniaga dengan tekun dan berjaya kerana hendak berkongsi rezeki kami dengan pekerja-pekerja kami.
- Melalui perniagaan kami yang maju, sebahagian keuntungan kami salurkan untuk orang yang memerlukan.
- Kami berniaga dengan kesungguhan dan ketekunan supaya dapat membayar zakat dalam jumlah yang besar
- Perniagaan kami sebagai contoh dan imej supaya dijadikan contoh dan ikut-ikutan.
———————–
Suatu malam, di depan kedai, bertemulah dengan kawan lama. Orang tua ini membeli barangan untuk jualan nasi lemak. Dia pun mula ‘boasting’ pasal jualan nasi lemaknya dengan kenyataan yang hampir standard:
“Orang dari tempat lain pun datang makan.”
“Tadi lagi ramai…”
Biasa mendengar boasting begitu? Orang tua ini berjualan di depan rumah. Jadi saya mengesyorkan supaya menyewa kedai dan membuatnya secara besar-besaran kalau betul nasi lemak dia sedap, sampaikan habis sekelip mata, sampai menjilat siku.
“Cukuplah apa yang ada.” Katanya mengubah nada boasting. “Tak ada orang nak buat.”
“Pakcik tau tak, kalau dibesarkan lagi, dapat bantu ramai orang. Boleh menggaji ramai pekerja.” Saya mengesyorkan. “Setiap sesuatu mesti ada peningkatan. Rasulullah meningkat. Dari berdakwah untuk keluarga, Islam berkembang seluruh dunia.”
“Cukuplah, istiqomah.” Katanya nak menang tanpa dia sendiri tahu apa makna istiqomah.
“Istiqomah itu penting, pasal istiqomahlah kita boleh meningkat. Istiqomah ada tujuan. Tujuannya bukan nak mendatar tapi nak meningkat.” Saya membetulkan.
“Cukuplah banyak itu. Kena bersyukur. Kau tak melawat tempat-tempat lain, sengsara hidup mereka. Kita ni dah lebih dari cukup.” Berkata dari sudut “sudah lebih dari cukup.”
Selalunya hanya kaki nombor ekor memang begitulah perangainya — jangan berbantah dengan kaki ekor sebab pasti dia nak menang saja. (tidak ada kaitan ekor dengan orang itu). Bukankah habitatnya membeli ekor itu hanya satu tujuan saja iaitu hendak menang ekor. Orang juga menasihati jangan berbantah dengan mereka yang berdampingan dengan kaki ekor sebab mereka dah dapat badi kaki ekor yang sentiasa hendak menang hadiah pertama. Walau salah faktanya, walau apa pun ia akan dibelit-belit supaya menjadi betul dan menang. Bukankah ada hikmahnya Allah SWT mengharamkan judi? Tahukah anda berapa bilion pendapatan judi dalam negara kita Malaysiaku tercinta?