Razzi Armansur

Selamat Jalan BUN… (Kasih sayang manusia dengan haiwan)

Kegembiraan anak saya Ezika Armansur kerana rumah Biru menjuarai dan membolot beberapa kemenangan dalam sukan kali ini berakhir pada pukul 3 petang apabila BUN (atau nama penuhnya Arnabun, seekor arnab yang tidak dianggap arnab sebaliknya sebagai anggota keluarga) pergi untuk selama-lamanya pada 1 hb April 2006.

(photo)
BUN yang nakal

(photo)
Bun dan Berlah berinteraksi

Malam, Bun akan aktif dan nakal, mengganggu Edika dan Ezika membuat kerja sekolah, mengajak bermain-main, minta didukung, minta dipangku dan berguling-guling di lantai. Minta cokelat dan kacang, selain buah tembikai. Bun juga suka bermian lumba lari dengan Ezika. Bila Edika dan Ezika tak melayan, Bun akan mengganggu Berlah. Bila Kacang Cap Tangan dibuka, Bun akan menerpa dan menarik-narik bekas kacang tersebut. Semuanya hanya tinggal kenangan.

Orang lain mungkin menganggapnya hanya sebagai arnab, tapi kami menganggap Bun sebagai ahli keluarga.

Pada 1hb April 2006, sebelah pagi, Bun masih kelihatan sihat, cuma banyak menung seperti sebelumnya. Kepalanya seperti tidak terangkat. Sejak semalam lagi Bun sudah tidak mahu makan. Matanya berair dan nafasnya berbunyi agak kuat.

Sejam sebelum Bun pergi, ia keluar masuk. Mula-mula masuk ke bawah katil, kemudian keluar dari rumah. Selepas itu masuk semula ke dalam rumah, menjelajah rumah seolha-olah hendak mengucapkan selamat tinggal kepada tempat-tempat kesukaannya. Saya ambil Bun untuk diberi minum. Nafasnya makin kuat seperti orang lelah. Bibir dan kuku Bun seperti sudah biru. Namun Bun masih berlari. Ezika mengambilnya dan memeluknya kemudian di letakkan semula kerana Ezika sudah mula menangis. Kata Ezika dia mendengar Bun mengucapkan “Selamat tinggal…”

Bila diletakkan semula, Bun menggelupur melepaskan nafas yang terakhir. Saya yang di sebelahnya terkejut dan melaung, “Kenapa Bun ni?” Edika melihat dan meraung menangis sekuat-kuatnya. Ezika datang dan mengelus Bun sambil menangis. Bun sudah tidak bernyawa.

Edika dan Ezika terus menangis sekuat-kuatnya, sambil Ezika memeluk Bun yang sudah mati.

Setengah jam kemudian bila tangisan sudah reda, dengan linangan air mata Edika menggali lubang, Ezika memeluk Bun di sebelahnya. Lubang digali, Bun dimasukkan ke dalam lubang dengan iringan airmata, Bun dikambus. Bersemadilah Bun membawa bersama kenangan setahun bersama manusia-manusia yang menyayanginya.

Ezika menangis sampai ke petang, biila melihat semula gambar-gambar dan video Bun. Edika hanya menahan sebak dan bermuram sahaja sepetang itu. Saya menenangkan mereka dengan mengatakan, “Bun dah sampai di syurga. Dia ingat kamu semua.”

Esoknya, pagi-pagi lagi Ezika ke kubur Bun menyiram air, dan menaburkan bunga. Bun sudah pergi tak kembali. Yang tinggal bayangan ia berlari-lari dalam dan luar rumah dengan kenakalan. Kehilangannya juga turut dirasai oleh Berlah.

Begitulah kenangan setahun bersama Bun, yang kini hanya tinggal nama, kenangan, gambar, video.

(photo)
Bersama ‘abangnya’, 5 hari sebelum Bun pergi tak kembali

 

Razzi Armansur

Razzi Armansur

Once a writer always a writer.