Penulisan buku baru SENARAI AJAIB sudah bermula. Buku ini bukan sambungan RAHSIA AJAIB UNTUK BERJAYA tetapi seakan-akan begitu. Temanya pencarian SENARAI AJAIB. Pencarian bermula di Banting, membawa kepada kampung-kampung sekitar Banting, Pantai Morib, Jugra, Langkawi, Kota Bharu.
Kisahnya — suatu masa dahulu, seorang yang kaya tinggal di Pantai Morib (sekitar tahun 60-an, khabarnya hanya yang kaya sahaja tinggal di Pantai Morib) telah meninggalkan manuskrip berjudul SENARAI AJAIB. Beliau berasal dari orang miskin, papa kendana, banyak hutang (berhutang untuk hidup), dengan menggunakan SENARAI AJAIB telah berjaya ke puncak jaya. SENARAI AJAIB khabarnya tercipta secara tidak sengaja. Soalnya sekarang, di mana manuskrip yang sangat berharga itu. Dan di mana hendak memulakan pencarian?
Pencarian bermula dari tapak rumah orang kaya di Pantai Morib. Pencarian juga bermula dari cerita mulut orang-orang kampung di sekitar Morib seperti Kampung Tali Air, Kampung Indah, Kampung Tongkah. Sesungguhnya seperti mencari jarum di hutan tebal. Manuskrip SENARAI AJAIB tersebut mesti diperoleh kerana ia mengandungi rahsia amat penting untuk didedahkan kepada umum. Apa ajaibnya senarai, atau senarai apa yang ajaib sebenarnya?
Sebelum mula menulis buku ini saya telah pergi ke Banting dan tempat-tempat yang saya sebutkan tadi untuk menjejaki manuskrip SENARAI AJAIB.
Industri buku tidak dapat diramalkan pada tahun hadapan. Sudah ada syarikat penerbitan yang nyawa-nyawa ikan, apatah lagi jikalau tidak mempunyai judul yang menarik dan penulis yang ternama.
Ini sudah tentu merisaukan saya dan kaum penulis lain. Kerana, apabila terjadi kemelesetan ekonomi buku bukan lagi pilihan. Namun risau sahaja tidak akan mengubah keadaan menjadi lebih baik. Marilah kita sama-sama memikirkan bagaimana melakukan produk yang selalunya menjadi pilihan terakhir ini.
Jangan percaya kata-kata bohong bahawa ekonomi negara kita kekal stabil. Kita manusia berakal. Jikalau ekonomi dunia goyang, goncang, bergegar, bagaimana mungkin ekonomi Malaysia kekal kukuh? Mengarut!
Buku SENARAI AJAIB ini saya tulis kerana mengejar Pesta Buku 2009 yang sebagaimana biasa akan diadakan pada bulan April. Masih tidak pasti siapa penerbitnya tetapi lebih condong 80% kepada PTS PRO. Dan sudah tentu mengejar kebanggaan penulis. Apa sebenarnya kebanggan penulis? Apabila buku diterima dan dipesan oleh Perpustakaan Negara. Dalam industri muzik ada AIM, manakala industri buku ada pemilihan oleh Perpustakaan Negara. Kedua-duanya hampir sama dari segi anugerah dan perasaan. Dan rasanya puncak kepuasan penulis adalah apabila buku yang ditulis dengan susah-payah dipilih oleh Perpustakaan Negara pada hujung tahun.