Razzi Armansur

Sumpahan wanita tercantik

Posting pada: 23 Jun 2008 ( 3249 kali di baca )
Razzi Armansur menulis: Positioning atau Branding. Apa yang terpancar di fikiran anda apabila disebut Langkawi? Atau apa yang terpancar bila disebut Mahsuri? Saling berkaitan. Bila sebut Langkawi terpancar Mahsuri; bila sebut Mahsuri terpancar Langkawi.

Siapa Mahsuri? Mengapa dia sangat terkenal? Ramai yang tahu Mahsuri. Tetatpi siapa sebenarnya Mahsuri? Saya tak ada jawapan.

(photo)

Cerita yang dibawa dari mulut ke mulut hingga menjadi legenda ialah Mahsuri difitnah, dibuktikan bersalah walau tidak bersalah, dihukum bunuh, memancut darah putih dan sebelum menghembuskan nafas terakhir telah menyumpah “Langkawi tidak akan aman selama 7 keturunan.”

Itulah untungnya orang yang difitnah. Jangan sekali-kali menggelabah apabila difitnah, sebaliknya bersyukur pada Allah SWT. Di mana-mana sahaja, dari zaman Mahsuri hinggalah ke zaman ini, balasannya tetap sama: “Yang difitnah makin bertambah makmur, yang memfitnah makin tertekan, makin menderita dan makin mundur akhirnya dimakan fitnah itu sendiri.” Anda boleh membutikan sendiri kekuasaan dan balasan Allah SWT itu. Mahsuri difitnah, tetapi namanya harum kekal sehingga kini sehinggakan ramai yang menyebut, “Tiada Mahsuri, tiada Langkawi”. Atau teka-teki begini, “Di manakah kekuatan Langkawi? Pada bebas cukainya kah? Pada pelancongannya kah? Atau pada legenda Mahsuri?”

Pada pemandu teksi saya bertanya dan ini jawapannya, “Mahsuri itu memang cantik. Dia kacukan Siam. Tapi bukan kata cantik satu Langkawi ini.” Maksud beliau, kecantikan Mahsuri yang ketika dibunuh itu mempunyai seorang anak bernama Wan Hakim, adalah kecantikan setempat. Dari segi logiknya, pada masa itu kemungkinan sukar hendak membuat perbandingan, maklum saja pada sekitar tahun 1819 itu sukar hendak melihat perempuan atas sebab agama, adat dan budaya dan juga perempuan memang kurang atau tidak ramai.

Dalam perjalanan ke lapangan terbang (pesawat? mengapa tak tukar kepada ‘lapangan pesawat’? Pesawat asalnya adalah bahasa Indon), saya banyak bertanya kepada pemandu teksi yang peramah itu. “Dulu memang mundur. Nak ke tanah besar, ambil masa 5 jam, naik perahu.”

Menurut pemandu teksi itu, sejak dari peristiwa Mahsuri itu, memang penduduk kawasan Padang Mat Sirat dengan panduduk sekitar Pekan Kuah tidak boleh bertemu. Bergaduh sentiasa. “Yang dikatakan jadi padang jarak padang tekukur (atau gersang) bukan satu Langkawi ini, sebaliknya hanya di sekitar tempat tinggal Mahsuri.”

(photo)
Replika rumah Mahsuri binti Pandak Mayah. Pewaris Armansur.com Berhad bergaya di depannya.

Legenda mengatakan sumpahan Mahsuri memang menjadi. Siam menyerang Langkawi pada tahun 1821. Sebagaimana biasa, perang memang menyusahkan dan bukan sekejap. Menurut yang empunya cerita, Langkawi memang tidak pernah aman, sentiasa ditimpa kesusahan sejak Mahsuri dibunuh akibat fitnah.

Bolehkah sumpahan itu dikategorikan sebagai doa? Doa orang yang teraniaya memang cepat sangat makbul.

Adakah ia kebetulan apabila lahirnya generasi ke 7 keturunan Mahsuri pada awal 80-an, barulah Langkawi membangun atau dibangunkan? Seperti ada persamaan atau mungkin kebetulan? Langkawi mula dibangunkan sebagai pusat pelancongan pada 80-an. Kebetulan?

(photo)
Selamat tinggal Langkawi, kalau ada bajet boleh datang lagi

Ada 2 versi tentang cerita legenda Mahsuri:

1. Versi pertama: Kecantikan Mahsuri telah membuatkan seorang perempuan (atau beberapa perempuan) lain cemburu dan membuat fitnah kononnya Mahsuri telah berlaku sumbang. Fitnah tersebut berjaya dan hukuman dilaksanakan ketika suami Mahsuri pergi berperang menjunjung titah sultan. Mahsuri diikat pada pokok dan dibunuh setelah ratusan rayuan gagal. Ketika hendak dibunuh, tidak ada satu senjata pun yang mampu menembusi Mahsuri. Mahsuri kemudian diikat berhari-hari pada pokok tersebut. Kerana tidak tahan dengan penderitaan tersebut akhirnya Mahsuri memberitahu beliau hanya boleh dibunuh dengan menggunakan pisau milik ayahnya. Sebelum menghembuskan nafas, Mahsuri menyumpah atau mungkin berdoa.

2. Versi kedua: Pemfitnahnya tidak dikenal pasti, sama ada lelaki atau perempuan. Mungkin juga lelaki yang gagal memperisterikan Mahsuri. Maklumlah, Mahsuri menjadi rebutan. Fitnahnya masih sama, iaitu bermukah, sumbang atau berzina dengan ‘tukang cerita’ bernama Deraman. Pelaksanaan hukuman: sama. Suimpahan: sama.

Di sini, kita musykil. Dikhabarkan Islam amat kuat pada masa itu di Langkawi. Mengapa begitu mudah menjatuhkan hukuman bunuh atas tuduhan yang amat berat tersebut. Mesti ada 4 saksi sahih dan nampak jelas “pedang masuk ke dalam sarungnya”. Ketua kampungnya di mana? Pak Imam pula di mana? Mungkinkah kisah diikat, ditikam dan keluar darah putih tersebut rekaan? Mungkinkah kejadian sebenarnya Mahsuri dibunuh secara senyap tanpa diketahui siapa pembunuhnya? Kita tidak tahu.

Satu kemungkinan yang pasti, sumpahan Mahsuri akan kembali. Maksiat, arak yang mengundang kemarahan Allah di Langkawi itu telah diketahui umum. Masalah yang saya maksudkan ialah masalah komunikasi dan sikap. Mereka yang berkhidmat di kaunter tidak bersedia untuk menyambut pelancong. Dengan gaya, bahasa, cara, body language, mereka seperti tidak suka dengan ‘gangguan’ orang yang datang bertanyakan hotel, sedangkan pelancong yang datang (asing dan tidak asing) membawa rezeki untuk mereka.

Semasa di Pantai Chenang saya merayau ke beberapa hotel dan resort (bukan yang 5 bintang) untuk bertanya. Mungkin nanti hendak datang lagi. Saya mengharapkan seperti receptionist di Kuala Lumpur yang terlatih dan begitu mengalu-alukan tetamu, rupa-rupanya jauh meleset. Kesemuanya. Kerani kaunter di klinik swasta di pekan Kuah pun begitu. Ini sudah tentu mengiyakan kata-kata rakan saya yang menjadi pemandu pelancong Arab, “Mereka belum bersedia untuk menjadikan Langkawi sebagai pusat pelancongan.”

Itulah yang dikatakan, suatu hari nanti ramai yang berhenti memilih Langkawi sebagai destinasi pelancongan. Sudah tamatkah sumpahan Mahsuri? Sudah lahirkah generasi ke 7 yang khabarnya menamatkan sumpahan?

 

Razzi Armansur

Razzi Armansur

Once a writer always a writer.